Tuesday, December 11, 2007

56. Tekanan/Stres melawan atau lari

PELBAGAI kejadian dan tragedi yang melibatkan tekanan/stres dan kemurungan teruk sebenarnya boleh dielak dan diatasi, jika orang ramai mengambil berat mengenainya. Malah, ia boleh menjadi penyakit yang serius andai tidak diurus dan dikawal dengan baik.

Pakar Psikiatri Kanak-kanak, Remaja dan Dewasa, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Dr. Subash Kumar berkata, walaupun tekanan dikategorikan penyakit yang serius tetapi sayangnya ia tidak diambil berat.

Ini mungkin kerana masyarakat beranggapan bahawa stres hanya memberikan kesan seketika tanpa menyedari bahawa stres juga boleh menjejaskan seluruh badan dan minda.

Katanya lagi, ‘‘Ia boleh menjejaskan tingkah laku, fikiran, emosi, perhubungan dengan orang lain dan juga di rumah.’’

Beliau memberitahu, wanita mempunyai risiko yang lebih tinggi mengalami stres dan kemurungan berbanding lelaki. Tidak ada sebab tertentu yang mengatakan punca mengapa wanita lebih berisiko tinggi berbanding lelaki.

Bagaimanapun, ia mungkin kerana wanita lebih mudah meluahkan perasaan dan dengan cara begini mereka cepat mendapatkan rawatan.

Lelaki biasanya tidak mudah meluahkan perasaan dan ini mungkin kerana anak lelaki dididik supaya menjadi ‘lelaki sejati’, iaitu tidak boleh menangis dan sebagainya.

Banyak kes yang dirawat di hospital melibatkan pesakit yang tidak membiasakan diri menyelesaikan masalah dari peringkat awal lagi.

“Kadang-kadang masalah di tempat kerja juga memberi kesan terhadap institusi kekeluargaan sehingga memporak-perandakan perkahwinan itu sendiri,’’ ujar Dr. Subash lagi.

Terdapat satu kes di mana seorang suami yang mengalami masalah di pejabat akhirnya bukan sahaja menjadi mangsa stres dan kemurungan malah turut mengheret seluruh isteri dan anak-anaknya mengalami masalah yang sama.

“Dia bernasib baik kerana cepat sedar dan perlu mendapatkan rawatan, begitu juga isteri dan anak-anak,’’ katanya sambil menambah rawatan awal akan membuat mereka boleh menghadapi masalah dan menguruskan stres dengan baik.

Beliau menambah, walaupun kesedaran untuk mendapatkan rawatan semakin menggalakkan tetapi beliau percaya masih ada yang malu untuk berjumpa doktor dan menderita dengan stres mahupun kemurungan itu.

Bagi penghidap stres, mereka bimbang, masyarakat akan memandang serong terhadap mereka dan tidak mahu dilabel kurang siuman.

Ujar beliau, sebab itu masyarakat juga perlu prihatin dan sedar betapa stres dan kemurungan yang tidak dirawat dengan baik boleh memberi kesan kepada individu.

Beliau menambah, penyebaran maklumat yang lebih banyak akan membantu mengurangkan kes-kes yang serius seperti ini, apabila mereka yang terbabit mendapatkan rawatan.

Penyebaran maklumat secara meluas di media massa mengenai stres, kemurungan dan akibatnya diperlukan bagi mewujudkan kesedaran di kalangan masyarakat.

Beliau juga menambah, stres juga mampu menyerang kanak-kanak, apa lagi jika rungutan mereka tidak diambil peduli oleh ibu bapa. Justeru, ibu bapa perlu mengambil berat mengenai rungutan anak-anak jika sering kali dibangkitkan.

“Kadang-kadang masalah yang dibangkitkan itu sudah lama dipendam namun ibu bapa tidak mengambil berat kerana tidak peka terhadap rungutan mereka,’’ katanya.

Ujarnya, walau sibuk mana sekalipun, ibu bapa juga perlu meneliti jika terdapat perubahan dalam tingkah laku anak-anak.

Jelas Dr. Subash, “Ia mungkin merupakan satu amaran awal, kerana ramai kanak-kanak tidak menyuarakan perasaan mereka kepada ibu bapa.’’

Menjawab pertanyaan, Dr. Subash menegaskan kemungkinan besar, stres telah meningkat di negara kita berbanding 10 tahun yang lalu.

Namun, stres juga boleh diatasi, jika seseorang itu tidak memendamkan masalahnya dan dapat pula meluahkan kepada seseorang. Sekiranya masalah bertambah berat, penghidap stres perlu berjumpa pakar bagi mendapatkan rawatan.

Terdapat pelbagai cara untuk mengendalikan stres tetapi apa yang penting adalah kita perlu tahu bahawa respons terhadap sesuatu kejadian atau peristiwa itu berada di bawah kawalan.

Katanya, “Kita tidak perlu bertindak secara spontan setelah sesuatu peristiwa berlaku, perlu berfikir sejenak sebelum mengambil sebarang tindakan.’’

Kaedah lain, merancang dan membuat jangkaan untuk masalah pada masa depan dan mengambil langkah-langkah untuk mengatasi masalah yang dihadapi.

“Berfikir dengan optimis tentang masa depan dan mencari kekuatan pada diri sendiri,’’ katanya.

Selain itu, meditasi atau terapi santai boleh dilakukan di mana seseorang itu mampu menenangkan fikiran dengan memikirkan tentang imej-imej yang menenangkan.

Proses ini tidak memakan masa yang lama, sekitar dua hingga lima minit sahaja dan boleh dilakukan di mana-mana.

Dr. Subash berkata, terapi ini sangat mudah dan berkesan kerana ketika memikirkan imej tersebut, kita tidak akan memikirkan masalah lain dan apabila berasa aman, bolehlah berfikir dengan tenang dan mencari jalan penyelesaian.

Beliau menambah, “Biasanya orang yang berasa sedih, marah, berasa diri tidak berguna atau menjadi beban kepada orang lain, kemungkinan mengalami tekanan yang disebut sebagai kemurungan (depression).’’

*Biologi stres

Komponen emosi melibatkan perasaan, seperti sedih, marah, kesal dan perasaan tidak tenteram.

Dr. Subash berkata, komponen fizikal melibatkan sistem autonomik badan iaitu sistem simpatetik dan parasimpatetik. Kedua-dua sistem ini mempunyai kesan yang bertentangan.

Sistem ini biasa digunakan apabila seseorang itu mengalami kecemasan. Ia biasa disebut respond flight or fight (lawan atau lari).

Ia adalah sistem semula jadi tubuh untuk melindungi badan daripada sebarang kecederaan dengan melawan atau melarikan (menjauhkan) diri daripada sesuatu kecemasan.

Ujarnya, semasa sistem ini aktif, hormon adrenalin akan dilepaskan dalam sistem pengaliran darah. Jantung akan berdenyut dengan pantas, pengaliran darah akan meningkat, pernafasan akan menjadi pantas dan otot-otot akan menjadi lebih kejang.

Sistem parasimpatetik, pula diaktifkan pada waktu kita berasa tenang. Pada masa ia diaktifkan, denyutan-denyutan jantung menjadi perlahan, pengaliran darah dan pernafasan akan menjadi perlahan. Sistem ini digunakan untuk memulih dan menjimatkan tenaga.

Lazimnya kedua-dua sistem ini berada dalam keadaan harmoni dalam keseimbangan, namun jika seseorang itu mengalami stres, sistem simpatetik akan menjadi lebih ketara, jika tidak dikawal.

Mengulas lanjut, Dr. Subash juga memberitahu stres boleh diatasi dengan bersenam, menyertai persatuan dan bercuti. Selain itu dapatkan rawatan kaunseling atau meluahkan masalah pada orang lain bagi kes-kes yang lebih ringan.

Nasihat Dr. Subash, agar pesakit yang menghidap stres dan kemurungan ini mendapatkan rawatan di hospital bagi mengenal pasti tahap stres atau kemurungan yang dihidapi.

*Definisi tekanan perasaan

Tekanan perasaan atau stres hanyalah perasaan yang tidak terkawal. Stres – respons badan dan minda seseorang terhadap sebarang peristiwa atau kejadian yang berlaku.

Sekiranya respons seseorang adalah negatif terhadap sesuatu kejadian maka dia akan mengalami stres. Persepsi seseorang itu amat penting. Sesuatu yang harus diingat adalah stres itu hanyalah respons atau tindak balas.

Ada orang memberikan respons dengan persepsi negatif. Ada juga yang memberikan respons dengan persepsi positif.

Dengan mengaplikasikan formula ini, stres mampu diatasi. Ini kerana, walaupun peristiwa yang berlaku di luar kawalan seseorang, tetapi tetap mampu mengawal respons.


Apakah tanda-tanda amaran tekanan?


Gejala fizikal

* Degupan jantung yang cepat

* Banyak berpeluh

* Terasa loya

* Bernafas kencang

* Cirit-birit dan terasa hendak membuang air kecil

* Selera makan berubah

* Gangguan seksual

* Sakit-sakit badan yang tidak jelas puncanya

* Penyakit lelah, sakit kepala dan timbul ruam kulit.

Gejala mental

* Merasa hilang kawalan atau dihantui peristiwa lalu

* Risau dan bimbang

* Gagal menumpukan perhatian atau membuat keputusan

* Berasa tidak sihat

* Sukar untuk tidur

* Keinginan seks menurun

* Terasa amat letih

* Meminum lebih banyak alkohol dan semakin kuat merokok

* Perubahan perasaan atau fikiran seperti kemurungan, kekecewaan, sikap bermusuhan, rasa tidak berdaya dan gelisah.

No comments: