JIKA anda merokok, kemungkinan besar anda sedia maklum ia boleh menjejaskan kesihatan anda. Tetapi, tahukah anda bahawa asap rokok yang sesedap rasa anda hembuskan ke udara itu turut mengancam nyawa mereka yang tidak merokok di sekeliling anda?
Apabila bukan perokok menghirup asap berkenaan bererti mereka turut menghirup bahan kimia beracun dan karsinogenik yang boleh menyebabkan kanser.
Antaranya, bahan-bahan yang terdapat di dalam ubat gegat, racun tikus, racun serangga, pemusnah anai-anai, pencuci lantai, bateri kereta, bahan api roket, asap kenderaan, pelarut industri dan bahan bakar pemetik api.
‘‘Asap rokok dikenal pasti mengandungi lebih 4,000 bahan kimia. Sekurang-kurangnya 250 daripada jumlah tersebut telah secara rasminya diklasifikasikan sebagai bahan beracun karsinogenik.
‘‘Apabila asap tembakau mencemari udara persekitarannya, ia akan dihirup oleh orangorang di sekeliling yang bernafas dan akan mendedahkan bukan sahaja perokok tetapi juga bukan perokok kepada risiko bahayanya.
‘‘Oleh kerana ia disedut oleh individu yang tidak aktif merokok (bukan perokok), mereka dirujuk sebagai perokok tidak sengaja atau lebih popular, perokok pasif,’’ kata Pakar Perunding Kanan Perubatan dan Ketua Jabatan Perubatan, Hospital Putrajaya, Datuk Dr. Ahmad Shukri Md. Salleh.
Hari Tanpa Tembakau Sedunia 2007 yang tahun ini genap dua dekad memberikan tumpuan kepada tema Persekitaran Bebas Asap Rokok 100 Peratus sebagai satu-satunya langkah melindungi orang awam terutamanya kanak-kanak dan wanita serta para pekerja yang tidak merokok, daripada terdedah kepada asap perokok.
Mesejnya – tanpa ragu-ragu lagi, menyedut asap rokok adalah sangat berbahaya. Hanya persekitaran yang sama sekali bebas asap rokok mampu memberikan perlindungan paling berkesan.
Menurut Dr. Ahmad Shukri, apabila disedut, racun-racun berkenaan akan meresap dan tersebar dengan cepat ke seluruh badan terutamanya paru-paru dan menjadi punca pelbagai jenis penyakit serius.
‘‘Ia juga boleh menyebabkan penyakit jantung akut dan kronik serta lain-lain penyakit kardiovaskular (berkaitan jantung) dan respiratori (pernafasan) di kalangan kanak-kanak mahupun orang dewasa yang boleh mengancam nyawa.
‘‘Lazimnya, orang dewasa lebih cenderung kepada keadaan-keadaan seperti bronkitis, pneumonia (radang paru-paru) dan asma,’’ ujar beliau.
Sementara itu, kanak-kanak lebih terdedah kepada jangkitan saluran pernafasan bawah, asma, jangkitan telinga tengah, sindrom kematian mengejut bayi dan bayi dilahirkan kurang berat badan bagi wanita yang selalu menyedut asap rokok sepanjang tempoh kehamilan.
Mengulas lanjut, perokok pasif yang selalu terdedah kepada asap rokok boleh menyebabkan pembuluh darah/arteri di jantung mengeras pada kadar yang 20 peratus lebih cepat berbanding mereka yang kurang terdedah.
‘‘Hanya setengah jam terdedah kepada asap rokok boleh menyebabkan kerosakan jantung yang sama seperti seorang perokok.
‘‘Ia boleh mengurangkan keupayaan arteri berhampiran jantung untuk mengembang, sekali gus mengurangkan kebolehan jantung menerima darah yang membawa oksigen dan zat makanan yang diperlukan oleh tubuh,’’ kata Dr. Ahmad Syukri.
Asap rokok juga boleh menyebabkan batuk, kahak, ketidakselesaan dada, gatal mata, hidung dan tekak.
Katanya lagi, tiada keadaan atau tahap tertentu yang selamat jika seseorang itu terdedah kepada asap rokok:
‘‘Sama ada menggunakan sistem pengudaraan di dalam bilik, bahan penapis pada rokok, merokok sendirian atau berkumpulan, tiada satu pun alasan yang boleh dianggap mengurangkan pendedahan seseorang kepada asap rokok.
‘‘Baik dari segi baunya yang tidak menyenangkan, jauh sekali kesannya ke atas kesihatan orang lain. Hanya persekitaran bebas asap 100 peratus sahaja yang boleh melindungi kesihatan kita,’’ jelasnya.
Ditanya alasan sesetengah perokok yang galak mendabik dada apabila menggambarkan kawan-kawan atau saudara-mara yang mampu hidup lama sekalipun merokok sejak kecil lagi, ini jawapan Dr. Ahmad Shukri:
‘‘Ada bezanya antara koleksi cerita-cerita pendek tentang orang lain yang tidak menjanjikan kepastian dengan, data-data hasil kajian saintifik melibatkan sejumlah besar penduduk yang lebih jelas.
‘‘Lagipun, hanya peratusan kecil daripada pesakit kanser paru-paru yang datang berjumpa doktor terdiri daripada bukan perokok,’’ jelas beliau.
*Pertubuhan Kesihatan Sedunia
Merokok merupakan penyebab kematian kedua yang paling utama di dunia sedangkan kematian pramatang di kalangan orang dewasa sebenarnya boleh dielakkan.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di dalam perutusannya sempena hari bersejarah ini menyatakan, kira-kira lima juta penduduk dunia atau satu daripada 10 orang dewasa mati di tangan rokok saban tahun.
Fakta yang lebih mengecewakan, betapa saban tahun, ratusan ribu manusia yang tidak pernah menyentuh rokok turut melayang nyawanya hanya kerana terpaksa menyedut asap rokok ahli keluarga mahupun rakan sekerja mereka.
Dr. Ahmad Shukri menarik perhatian, bahaya asap rokok bukanlah satu rumusan yang dibuat-buat tetapi bersandarkan kepada ratusan hasil kajian oleh autoriti di bidang perubatan antarabangsa sejak bertahun-tahun lamanya.
‘‘Antara hasil penyelidikan terbaru yang memberangsangkan mengenai bahaya yang menanti perokok pasif ini adalah tempat kerja yang dikenal pasti sebagai ruang yang paling mendedahkan kita dengan asap rokok.
‘‘Kemudian, barulah diikuti dengan tempat-tempat awam serta persekitaran kediaman terutamanya di dalam rumah sendiri,’’ terang beliau.
Malah, asap rokok boleh ‘merayap’ di bawah pintu dan tingkap yang berkunci. Bahan-bahan yang sangat beracun di dalam asap kekal berada pada pakaian, permaidani, langsir dan udara serta beredaran di sekitar bangunan sekalipun setelah rokok, cerut dan paip dipadamkan.
Asap rokok yang disedut oleh perokok pasif juga lebih padu dan mengandungi toksin lebih tinggi apabila ia berada di dalam ruang yang sempit seperti bilik atau kenderaan.
Tambah Dr. Ahmad Shukri, beban asap rokok tidak terhad kepada kesan penyakit yang ditinggalkan olehnya sahaja tetapi juga kos ekonomi terhadap individu, perniagaan dan masyarakat seluruhnya.
Ini termasuklah kos perubatan secara langsung atau tidak langsung serta kerugian produktiviti. Tempat kerja atau ruang pejabat yang tidak mengenakan larangan merokok, menghadapi kos pembersihan dan baik pulih yang lebih tinggi, risiko kebakaran yang meningkat selain terpaksa berdepan premium insurans yang mahal.
Pendek kata, setiap kali terdedah kepada asap rokok, ia akan menjejaskan kesihatan kita. Ada harga yang tinggi terpaksa kita bayar untuk perangai orang lain yang berbahaya.
Namun, anda boleh melakukan sesuatu yang mungkin nampak simple tetapi berkuasa melindungi diri anda daripada menjadi mangsa.
‘‘Bukan mudah untuk bercakap dengan perokok tentang tabiat mereka dan kesan buruknya terhadap orang lain apatah lagi ahli keluarga dan rakan-rakan sendiri.
‘‘Kita masih boleh menerangkannya secara berhemah. Ingat, kita hanyalah cuba hendak melindungi diri kita dan orang-orang tersayang seperti anak-anak dan orang tua, bukannya menghukum perokok,’’ ujar beliau.
Sekiranya anda rasa kurang senang untuk menegur perokok yang mungkin orang asing, jauhi sahaja mereka. Atau, anda juga boleh memberitahu perokok bahawa rumah anda sememangnya direka bentuk khusus sebagai tempat larangan merokok. Tanda ‘dilarang merokok’ banyak membantu.
‘‘Setiap orang berhak menyedut udara yang bersih dan bebas daripada asap tembakau,’’ kata Dr. Ahmad Shukri.
Kenapa persekitaran bebas asap rokok 100 peratus?
* Asap rokok boleh membunuh dan menyebabkan penyakit-penyakit serius
* Persekitaran bebas asap rokok sepenuhnya dapat melindungi orang awam serta para pekerja daripada kesan asap tembakau yang boleh menjejaskan kesihatan
* Kebanyakan penghuni dunia bukanlah terdiri daripada perokok dan mereka mempunyai hak untuk tidak terdedah kepada asap rokok yang disebabkan oleh orang lain
* Kajian mendapati, larangan merokok disokong bukan sahaja daripada perokok pasif tetapi perokok itu sendiri sebenarnya
* Persekitaran bebas asap rokok 100 peratus membantu mengelakkan orang lain daripada memulakan tabiat merokok khususnya golongan remaja dan belia
* Ia turut menyediakan platform kepada para perokok yang ingin berhenti merokok dengan satu insentif atau dorongan yang kuat untuk mengurangkan merokok atau menghentikannya sama sekali.
Matematik rokok
* Sejam di dalam bilik bertutup dengan seseorang yang merokok = Tiga batang rokok
* Dua jam berada di bahagian larangan merokok sebuah restoran yang turut menyediakan bahagian lain untuk merokok = 1.5 batang rokok
* Lapan jam di persekitaran pejabat yang membenarkan merokok = Enam batang rokok
* 24 jam di dalam rumah perokok tegar = Tiga batang rokok
* Dua jam dalam bar yang dipenuhi asap rokok = Empat batang rokok.
Wednesday, December 12, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment