Monday, December 10, 2007

31. Darah tinggi di kalangan kanak-kanak - Satu ancaman baru


TEKANAN darah tinggi di kalangan kanak-kanak? Ya, betul apa yang anda dengar. Hipertensi menambah satu lagi senarai penyakit kanak-kanak yang sebahagiannya kini tinggal ‘sejarah’ seperti cacar air.

Tekanan darah tinggi yang selama ini sering dikaitkan dengan golongan dewasa mula menular kepada kanak-kanak malahan bayi juga boleh mendapat penyakit zaman moden ini.

Makanan ringan, minuman berkarbonat tinggi gula dan gaya hidup sedentari yang tidak banyak bergerak, menjejaskan masa depan kanak-kanak untuk membesar sihat.

Kajian terkini mendapati, fenomena hipertensi kanak-kanak dan remaja semakin meningkat dan tambah membimbangkan, doktor kerap terlepas pandang mengenainya.

Hasil penyelidikan yang diterbitkan dalam The Journal of the American Medical edisi 22/29 Ogos 2007 itu mendedahkan, daripada empat kanak-kanak yang mempunyai masalah tersebut, hanya seorang yang berjaya didiagnosis.

Pakar Pediatrik (Kanak-kanak), Pusat Perubatan Kampung Baru (KBMC), Dr. Noor Aziah Mohd. Saari berkata, hipertensi adalah keadaan di mana tekanan darah sistolik dan diastolik melebihi had maksimum (iaitu > 95 persentile) bersesuaian dengan usia, jantina dan ketinggian seseorang.

‘‘Bacaan tekanan darah perlu dibuat sekurang-kurangnya tiga kali pada waktu berlainan, dalam keadaan yang tenang dan posisi yang sama, sebelum seseorang disahkan menghidapi penyakit darah tinggi.

‘‘Manakala tekanan darah tinggi pada atau melebihi 90 percentile (120/80 mmHg) tetapi kurang dari 95 percentile bagi usia seseorang remaja dikenali sebagai prahipertensi, yang boleh menjadi hipertensi kemudian hari,’’ katanya.

Menurutnya, kadangkala kanak-kanak atau remaja dikesan mempunyai tekanan darah tinggi semasa pemeriksaan doktor tetapi normal di luar situasi hospital, mungkin disebabkan takut pada doktor dan jururawat. Dalam keadaan ini, pemeriksaan lanjut perlu dibuat untuk pengesahan lanjut.

‘‘Masalah tekanan darah tinggi di kalangan kanak-kanak semakin meningkat di Malaysia. Walaubagaimanapun, tiada statistik yang dapat membuktikan fakta ini.

‘‘Secara keseluruhannya, hipertensi di kalangan kanak-kanak Malaysia adalah kira-kira 1 peratus sahaja berbanding orang dewasa (24 peratus),’’ ujar Dr. Noor Aziah.

Sebagai negara membangun, jelas beliau, peningkatan status ekonomi keluarga dan pembangunan sosial sedikit sebanyak mengubah cara pemakanan kepada ala barat dan faktor kurang bersenam menyumbang kepada peningkatan obesiti di kalangan masyarakat termasuk kanak-kanak.

Tambahnya, peningkatan kadar obesiti kanak-kanak ini secara tidak langsung menggambarkan kemungkinan peningkatan masalah hipertensi kanak-kanak di Malaysia.

*Kategori penyakit, punca

Hipertensi terbahagi kepada primer dan sekunder. Hipertensi primer bermaksud tekanan darah tinggi di kalangan kanak-kanak terjadi tanpa sebab-sebab diketahui (kurang 5 peratus sahaja).

Hipertensi sekunder sama ada sementara atau kronik berpunca daripada penyakit-penyakit yang melibatkan buah pinggang, penyalahgunaan dadah atau ketidakseimbangan hormon.

Hipertensi primer lebih kerap terjadi pada remaja dan dewasa (lebih 85 peratus) manakala pada kanak-kanak hanya kira-kira 15 peratus. Kebanyakan kanak-kanak yang mengalami tekanan darah tinggi mempunyai sebab yang jelas (85 peratus).

‘‘Hipertensi primer di kalangan kanak-kanak dan remaja berkait rapat dengan obesiti dan adanya kaum keluarga yang menghidap penyakit itu. Ini mungkin disebabkan oleh faktor genetik, cara pemakanan seluruh ahli keluarga, aktiviti keluarga yang kurang bersenam dan sebagainya.

‘‘Obesiti di kalangan kanak-kanak dan remaja menyebabkan risiko lebih tinggi (30 peratus) untuk menghidap tekanan darah tinggi pada peringkat awal mahupun apabila menjangkau dewasa,’’ kata Dr. Noor Aziah.

Kanak-kanak yang lahir dengan berat badan yang rendah dan indeks jisim tubuh yang meningkat mendadak sebelum usia 15 tahun juga lebih terdedah kepada tekanan darah tinggi primer.

Hipertensi sekunder di kalangan kanak-kanak dan remaja kebanyakannya berpunca daripada penyakit-penyakit yang melibatkan buah pinggang (95 peratus), dadah, tumor otak atau ketidakseimbangan hormon.

Penyakit ginjal yang paling lazim adalah glomerulonefritis (kencing berdarah) akibat jangkitan, sindrom nefrotik (protein dalam kencing), jangkitan pada saluran kencing dan buah pinggang yang akhirnya menyebabkan kerosakan buah pinggang.

Penyalahgunaan dadah juga boleh menyebabkan tekanan darah tinggi di kalangan remaja misalnya penggunaan kokain, tembakau, pil pencegah kehamilan, steroid, pil menguruskan badan dan pil-pil perangsang seperti amphetamine.

‘‘Menghidu kokain boleh menyebabkan tekanan darah melonjak terlalu tinggi sehingga seseorang tidak sedarkan diri, sawan dan pendarahan otak.

‘‘Pelajar-pelajar sekolah juga kini ketagih merokok tanpa menyedari rokok juga boleh menyebabkan tekanan darah tinggi. Ketidakseimbangan hormon terjadi dalam penyakit hipertiroid, pheochromocytoma dan kongenital adrenal hiperplasia,’’ jelasnya.

*Simptom-simptom

Dr. Noor Aziah berkata, tanda-tanda tekanan darah tinggi kanak-kanak sukar dikenalpasti pada peringkat awal, atau sederhana pada dewasa mahupun kanak-kanak.

Malah ia mungkin lebih sukar dikenalpasti kerana kanak-kanak belum pandai meluahkan perubahan atau ketidakselesaan dialaminya. Oleh sebab itu tekanan darah tinggi kerap digelar salah satu pembunuh senyap.

‘‘Gejala tidak spesifik seperti perubahan tingkahlaku dan prestasi sekolah merosot mungkin ada kaitan dengan tekanan darah tinggi pada peringkat awal dan sederhana.

‘‘Pada peringkat yang lebih kronik, gejala seperti rabun, lemah jantung, kerap kencing, kencing malam akan mula berlaku,’’ sambil menambah, gejala pada peringkat lebih serius tertumpu kepada kesan tekanan darah melampau sehingga mengakibatkan sawan, tidak sedarkan diri atau strok/angin ahmar.

*Diagnosis

Kanak-kanak yang dikesan menghidap darah tinggi perlu dirujuk kepada pakar untuk mendapatkan kepastian dan mencari puncanya.. Andainya punca dirawat awal, tekanan darah tinggi mungkin hanya sementara dan tidak terlanjur menjadi kronik.

Kanak-kanak yang menghidap darah tinggi perlu menjalani ujian air kencing dan darah untuk menyelidik fungsi ginjal dan lain-lain.

Dr. Noor Aziah memberitahu: ‘‘Hipertensi pada peringkat permulaan dan sederhana lazimnya tidak menampakkan gejala khusus kecuali mungkin perubahan-perubahan kecil seperti perubahan tingkahlaku atau pencapaian sekolah.

‘‘Ia lazimnya dikesan secara kebetulan pada peringkat awal apabila kanak-kanak dibawa untuk pemeriksaan kesihatan penyakit lain atau pemeriksaan rutin sebelum memasuki sekolah atau institusi pengajian.

‘‘Hipertensi jarang disyaki di kalangan kanak-kanak dan remaja. Dengan itu pemeriksaan tekanan darah bukanlah sesuatu yang dilakukan secara rutin seperti pesakit dewasa tetapi atas sebab-sebab yang tertentu sahaja.’’

Malahan, agak sukar untuk mengambil tekanan darah kanak-kanak bawah lima tahun kerana mereka tidak duduk diam ketika pemeriksaan dibuat.

Kanak-kanak juga kerap takut dengan prosedur pengambilan tekanan darah, membuatkan bacaan tidak tepat. Kain lilitan lengan untuk mengukur hipertensi juga perlu sesuai saiz lengan kanak-kanak atau remaja.

Kemungkinan juga satu-satu pusat kesihatan tidak mempunyai kain lilitan lengan dengan saiz yang sesuai untuk kanak-kanak, menyebabkan ia tidak dilakukan secara rutin.

*Senario terburuk

Tekanan darah tinggi kanak-kanak sama bahayanya dengan darah tinggi dewasa sedangkan anak-anak mempunyai masa depan yang lebih panjang untuk dilalui.

Sekiranya mereka mengidap tekanan darah tinggi pada peringkat muda lagi, kemungkinan penyakit ini akan memberi komplikasi yang lebih teruk pada masa depan, sekaligus mengurangkan kualiti kehidupan yang bermakna bagi mereka, ujar Dr. Noor Aziah.

‘‘Tekanan darah yang tinggi boleh merosakkan organ-organ dalaman badan secara perlahan-lahan. Organ yang paling penting dan paling cepat rosak ialah buah pinggang yang pada mulanya dikesan melalui kehadiran protein dalam kencing.

‘‘Lama-kelamaan, keadaan menjadi bertambah teruk sehingga berlaku kegagalan ginjal apabila seseorang penghidap mencapai usia dewasa,’’ katanya.

Tekanan darah tinggi juga, tambah beliau, boleh merosakkan permukaan dalam saluran darah seperti yang terjadi pada orang dewasa. Saluran darah yang sangat penting dan kerap terjejas ialah saluran darah ke jantung, menyebabkan penyakit lemah jantung.

‘‘Kejadian serangan jantung akibat darah tinggi kebanyakannya terjadi apabila menjangkau dewasa. Risiko strok akibat tekanan darah tinggi merosakkan saluran darah ke otak.

‘‘Tekanan darah yang terlalu tinggi boleh menyebabkan sawan pada kanak-kanak dan remaja. Ini bermakna proses kerosakan yang menjurus kepada penyakit jantung dan strok boleh bermula sejak usia masih kanak-kanak atau remaja,’’ tambah beliau.

No comments: