Wednesday, December 19, 2007

109. Pereputan makular punca utama buta



AMD merosakkan penglihatan tengah.
Penglihatan diganggu titik hitam, sukar kenali orang ada kaitan dengan simptom AMD

JIKA ibu bapa anda mengadu penglihatannya 'bengkang bengkong' atau diganggu titik hitam, jangan biarkan dia jadikan tua sebagai alasan. Semakin anda berlengah membawanya bertemu pakar mata, semakin tinggi risikonya menjadi buta. Malah, tanpa rawatan, dia boleh buta dalam masa dua tahun.

Ketua Jabatan Ophtalmologi, Pusat Perubatan Prince Court Kuala Lumpur, Prof Che Muhaya Mohamad, berkata masalah penglihatan yang diganggu titik hitam, herot atau kesukaran mengenal wajah orang lain adalah berkaitan dengan 'age related macular degeneration (AMD)'.

AMD atau disebut sebagai pereputan makular berkaitan umur adalah penyakit mata kronik yang menjadi punca utama kehilangan penglihatan serius di kalangan mereka yang berusia 60 tahun ke atas. Ia juga adalah satu daripada punca buta di kalangan orang dewasa.

"AMD merosakkan penglihatan tengah dengan memusnahkan makular, kawasan kecil di belakang bola mata. Makular ini membekalkan warna dan perincian yang diperlukan pada penglihatan tengah," katanya.

Prof Muhaya berkata, penglihatan tengah penting untuk aktiviti membaca dan mengenal wajah.

Risiko seseorang itu untuk diserang AMD meningkat apabila semakin tua, bermula pada usia 50 tahun. Berbanding tanggapan ramai, masalah penglihatan yang merosot khasnya AMD tidak semestinya satu kesan penuaan yang tidak dapat dielakkan.

Bagi mencegah AMD, langkah awal yang perlu dilakukan ialah bertindak aktif dalam penjagaan kesihatan dan kerap mendapatkan rawatan mata.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan pada 2020, sekitar 75 juta orang akan buta manakala 270 juta berhadapan dengan masalah penglihatan yang terhad. Daripada jumlah itu, AMD menjadi punca utama (8.7 peratus) buta selain glukoma dan diabetik retinopati. Di Malaysia, AMD menjejaskan 120,000 orang yang berusia 50 tahun ke atas.

Prof Muhaya berkata, ada dua jenis AMD iaitu AMD kering dan AMD basah. Kedua-dua jenis AMD ini hanya akan menjejaskan sebelah mata tetapi jika sebelah mata diserang AMD, sebelah lagi mata mungkin boleh berhadapan dengan masalah sama.

AMD kering

AMD kering adalah masalah yang biasa ditemui dalam kes AMD (90 peratus). Ia terjadi dengan perlahan-lahan dan tidak menyebabkan kehilangan penglihatan serius. Dalam kes AMD kering, sel dan salur darah di bawah makular pecah dan menyebabkan mendapan di belakang mata disebut 'drusen'. Kerosakan ini menjejaskan makular dan keupayaan menghantar isyarat ke otak. Penglihatan tengah secara perlahan-lahan menjadi suram dan kelabu dalam satu jangka masa.

AMD basah

AMD basah kurang berlaku. Ia menyebabkan kerosakan kekal makular dalam tempoh sebulan atau seminggu. AMD basah biasanya berlaku selepas AMD kering. Salur darah yang rapuh dan abnormal tumbuh di belakang mata. Salur darah ini bocor menyebabkan makular pecah. Ia juga menyebabkan makular berubah daripada kedudukan asalnya menyebabkan penglihatan tengah menjadi herot.

Rawatan

DUA kaedah lama yang digunakan adalah pembedahan laser dan terapi photodinamik. Bagaimanapun, ia tidak berkesan untuk mencegah masalah hilang penglihatan. Selain itu, ia risiko tinggi untuk meninggalkan parut dan pembinaan salur darah baru yang menjadi penyebab utama AMD. Pesakit mungkin perlu melakukan rawatan berulang kali.

Teknik terbaru merawat AMD kini adalah penggunaan sejenis ubat yang disuntik masuk ke dalam mata.

Dikenali sebagai lucentis, ia bertindak menyekat pertumbuhan salur darah baru (disebut sebagai vascular endothelial growth factor) dengan meminimumkan risiko berparut.

Rawatan ini membantu memperlahankan kehilangan penglihatan disebabkan AMD dan dalam sesetengah kes memperbaiki penglihatan.

FAKTA: Age related macular degeneration (AMD)


Simptom

Pandangan suram atau kabur. Objek mungkin herot atau kecil daripada saiz sebenar. Pada penglihatan tengah akan terbentuk satu titik atau pandangan kosong atau pandangan herot. AMD yang progresif menyebabkan seseorang itu sukar membaca atau memandu.

Simptom AMD kering berlaku dalam masa yang panjang hingga menyebabkan anda tidak menyedarinya. Bagaimanapun, dalam kes AMD basah, simptom mungkin berlaku dalam masa seminggu atau sebulan. AMD basah menyebabkan garisan yang lurus kelihatan bengkang bengkok.

Simptom AMD basah biasanya terjadi secara tiba-tiba dan bertambah teruk dari semasa ke semasa. Ia mungkin boleh menyebabkan masalah perubahan atau kehilangan penglihatan yang serius.

Risiko

Jantina, perempuan lebih ramai daripada lelaki

Kumpulan etnik (caucasian)

Faktor genetik

Sejarah keluarga

Masalah jantung dan hipertensi

Merokok

Pendedahan kepada cahaya biru atau cahaya matahari

Nutrisi - tahap rendah carotenoids


Komplikasi

Pesakit boleh menjadi buta dalam tempoh dua tahun

Keupayaannya untuk melakukan kerja harian terganggu termasuk membaca, menjahit, melihat jam, memandu dan mengenal wajah orang lain.

No comments: