Sunday, December 9, 2007

29. Perlindungan Pneumokokus

BAYI anda demam sepanjang pagi. Dia enggan makan, tidur sahaja dan terdapat kekejangan di bahagian leher dan kaki. Anda segera membawa bayi anda ke hospital di mana doktor telah menjalankan pemeriksaan fizikal dengan teliti dan memeriksa darah bayi anda untuk memastikan sama ada terdapat jangkitan kuman atau tidak. Keputusan telah disahkan: Bayi anda menghidap meningitis - jangkitan pada selaput otak atau saraf tunjang. Bayi anda telah dimasukkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan segera. Jika tidak dirawat dengan segera, dia mungkin akan kehilangan deria pendengaran, lumpuh anggota badan, terencat otak malahan mungkin mati.

Meningitis ialah satu pengalaman yang menakutkan dan salah satu punca utamanya di Malaysia adalah kuman Pneumokokus.

Apa itu Pneumokokus?

Pneumokokus juga dikenali sebagai bakteria Streptococcus pneumoniae. Ia adalah penyebab penyakit Pneumokokus (PnD), penyakit yang amat mudah berjangkit dan merebak di kalangan kanak-kanak melalui cecair yang dilepaskan ke dalam udara apabila mereka bersin atau batuk. Pneumokokus bukan sahaja boleh menyebabkan meningitis, malahan penyakit lain yang berbahaya seperti pneumonia, bakteremia (kuman di dalam darah) dan jangkitan telinga tengah.

Bolehkah PnD dirawat?

Ya, dengan syarat ia dikesan lebih awal dan anak anda mendapat rawatan dengan kadar segera. PnD cepat merebak dan jika rawatan ditangguhkan, ia boleh menyebabkan kerosakan yang kekal. Masalahnya ialah tanda-tanda PnD sukar dikenali atau dikesan di kalangan kanak-kanak kecil.

PnD dirawat dengan antibiotik tetapi malangnya, antibiotik kadangkala tidak bertindak cukup pantas atau penyakit itu telah merebak dengan teruk sehingga kesan-kesan yang disebabkan oleh PnD yang invasif tidak dapat dielakkan lagi. Apa yang lebih membimbangkan, tahap kekebalan Pneumokokus terhadap antibiotik semakin tinggi kini sehinggakan banyak antibiotik tidak lagi berfungsi menentang jangkitan Pneumokokus.

Adakah anak saya berisiko tinggi?

l Kanak-kanak di bawah umur 24 bulan mempunyai risiko paling tinggi menghidap PnD disebabkan oleh antibodi Pneumokokus yang rendah.

l Memandangkan 60% daripada kanak-kanak prasekolah adalah pembawa Pneumokokus, kanak-kanak yang menghadiri pusat jagaan harian juga berkemungkinan besar akan terdedah kepada jangkitan ini.

l Kanak-kanak yang mempunyai sistem imun lemah yang diwarisi secara keturunan atau disebabkan oleh penyakit seperti HIV juga turut menghadapi risiko yang tinggi.

Bagaimana saya boleh melindungi anak saya daripada PnD?

Amalkan kebersihan yang baik di rumah dan di pusat asuhan kanak-kanak. Cuci tangan dengan teliti, buang semua tisu yang telah digunakan, elakkan kanak-kanak berkongsi cawan atau sudu dan pastikan alat-alat permainan sentiasa bersih. Jangan sesekali menghantar anak anda yang tidak sihat ke pusat jagaan harian ataupun ke sekolah.

Namun begitu, cara terbaik untuk mencegah PnD adalah dengan mendapatkan suntikan imunisasi untuk anak anda. Kanak-kanak yang pernah menghidap penyakit ini hanya akan mendapat perlindungan yang terhad dan tidak mencukupi untuk melindungi mereka daripada jangkitan yang berulang.

Bagaimanakah vaksin Pneumokokus bertindak?

Vaksin Pneumokokus dihasilkan daripada lapisan luar protein dinding sel bakteria yang berupaya untuk merangsang badan bayi anda mengeluarkan antibodi. Keupayaan ini akan membantu badan bayi menghasilkan sel imun khas untuk melawan jangkitan Pneumokokus.

Faedah-faedah vaksinasi awal

Sebelum ini, hanya vaksin Pneumokokus jenis polisakarida 23-valent boleh melindungi daripada PnD yang invasif. Bagaimanapun, vaksin ini tidak mampu merangsang tindak balas imun yang mencukupi pada bayi dan kanak-kanak yang berumur kurang daripada 2 tahun. Oleh itu, dengan menggabungkan salutan gula pneumokokus dengan sejenis protein khas, vaksin Pneumokokus yang terbaru telah dihasilkan yang mampu merangsang penghasilan antibodi pada bayi yang berumur kurang daripada 2 tahun. Ia juga dapat mengaktifkan sistem imun ‘memori’ yang berpanjangan. Imunisasi awal akan membantu melindungi kanak-kanak dari jangkitan PnD dan kesemua komplikasi yang berkaitan dengan penyakit ini, termasuklah maut.

Masa terbaik untuk mendapatkan imunisasi?

Walaupun jadual untuk vaksinasi ini berlainan bagi setiap negara, pengeluar vaksin mencadangkan supaya suntikan dijalankan mengikut siri empat suntikan, tiga daripadanya ketika bayi berumur 6 bulan ke bawah. Dos pertama pada kebiasaannya dimulakan pada umur 2 bulan dan dua lagi suntikan dalam tempoh sekurang-kurangnya 1 bulan untuk suntikan yang seterusnya. Dos yang keempat pula diberikan ketika usia bayi mencecah dua tahun.

Untuk kanak-kanak yang lebih besar dan belum menerima suntikan, sila rujuk jadual berikut:

* untuk bayi berumur 7 hingga 11 bulan, dua dos perlu diberikan sekurang-kurangnya dalam tempoh selang 1 bulan, dengan dos ketiga di tahun kedua;

* untuk kanak-kanak berumur 12 hingga 23 bulan, dua dos perlu diberikan sekurangkurangnya selang 2 bulan;

* untuk kanak-kanak berumur 24 bulan hingga 5 tahun, hanya satu dos.

Vaksin Pneumokokus boleh diberikan bersama dengan vaksin untuk kanak-kanak yang lain, sejajar dengan jadual vaksinasi yang disyorkan.

IMUNITI BERKUMPULAN

Imuniti berkumpulan ialah apabila satu kumpulan yang besar menerima suntikan vaksinasi Pneumokokus, penyebaran bakteria tersebut melalui udara dapat dielakkan. Ini akan mengurangkan peluang penyakit PnD disebarkan kepada individu yang tidak pernah menerima suntikan vaksin berkenaan.

Vaksin, selain daripada mencegah penyebaran penyakit, juga turut memberi faedah-faedah yang lain. Selain mengurangkan bilangan kanak-kanak yang tidak dapat ke sekolah, ibu bapa juga tidak perlu lagi bercuti dari kerja untuk menjaga anak yang sakit.

- Artikel oleh Dr. Musa Mohd Nordin, Pakar Perunding Pediatrik & Neonatologi, dan Bendahari Kehormat Positive Parenting. Program Positive Parenting diurus oleh Persatuan Pediatrik Malaysia dengan sumbangan geran pendidikan tanpa syarat dari Wyeth Pharmaceuticals. Untuk maklumat lanjut, sila kunjungi www.mypositiveparenting.org

No comments: