Wednesday, December 19, 2007

97. Sendi pinggul boleh diganti

Implan daripada kobalt aloi ambil alih fungsi kepala tulang paha

SECARA umumnya, prosedur penggantian sendi pinggul hanya dilakukan kepada mereka yang berusia. Ini disebabkan 'jangka hayat' prosedur itu hanya antara 15 hingga 20 tahun saja. Justeru, pesakit perlu menjalani prosedur yang sama sekali lagi.

Bagaimanapun, dalam kes trauma yang menyebabkan sendi pinggul rosak teruk iaitu kehilangan permukaan tisu rawan dan kesakitan yang melampau, prosedur ini mungkin pilihan terbaik bagi merawat pesakit muda.

Pakar Perunding dan Bedah Ortopedik, Trauma dan Penggantian Sendi, Pusat Perubatan Columbia Asia, Puchong, Dr Mohd Kamal Mohd Hisa, berkata pembedahan penggantian sendi pinggul merujuk kepada penggantian kepala tulang paha (femur) dengan implan yang dimasukkan dalam ruang tulang paha bagi menggantikan permukaan ‘acetabulum’ (sebahagian daripada tulang pelvis).

“Biasanya prosedur ini dibuat pada mereka yang mengalami kerosakan sendi pinggul atau kehilangan permukaan tisu rawan. Ia menyebabkan mereka berasa sakit apabila berjalan dan mengganggu pergerakan harian dan menjejaskan kualiti hidup,” katanya.

Dr Kamal berkata, secara umum prosedur penggantian sendi pinggul dilakukan kepada golongan berusia kerana penyakit yang dikaitkan dengan masalah penuaan seperti arthritis. Malah, ia adalah sebab utama mengapa pesakit memerlukan prosedur penggantian sendi pinggul.

Bagi kes kemalangan jalan raya, jatuh atau kerosakan sendi pinggul disebabkan oleh penyakit seperti rheumatoid arthritis atau Gout, ia selalunya membabitkan pesakit muda.

Dr Kamal berkata, prosedur penggantian sendi pinggul terbahagi kepada dua jenis dan bergantung kepada sejauh mana kerosakan sendi pinggul yang dialami pesakit.

Bagi kerosakan teruk yang menimbulkan kesakitan berpanjangan, prosedur penggantian sendi pinggul sepenuhnya (Total Hip Replacement) akan dibuat. Ini membabitkan penggantian kepala tulang paha dan permukaan acetabulum.

Untuk kerosakan sendi yang sederhana dan membabitkan mereka yang berusia kurang dari 60 tahun, pembedahan sendi pinggul 'Hip Resurfacing' akan dicadangkan pada pesakit.

Dr Kamal berkata, teknik dengan teknologi baru Hip Resurfing ini tidak akan menggantikan keseluruhan tulang paha sebaliknya hanya mengikis permukaan kepala tulang paha yang rosak dan menggantikannya dengan implan berbentuk hemisfera.

“Kalau dibandingkan dengan penggantian sendi pinggul sepenuhnya, pergerakan sendi secara pembedahan Hip Resurfacing ini lebih baik. Hampir semua pesakit yang menjalani pembedahan ini boleh melakukan aktiviti harian seperti berjalan, naik turun tangga dan mencangkung.

“Lebih bagus, pembedahan ini juga boleh dilakukan dengan bantuan komputer bagi membantu pakar bedah ortopedik mendapatkan kedudukan implan dengan tepat,” katanya.

Dr Kamal berkata, walaupun sesetengah orang percaya kemasukan benda asing seperti implan yang diperbuat daripada kobalt aloi akan menyebabkan rasa sakit dan ngilu terutama ketika hujan, ia tidak benar sama sekali.

Katanya, kobalt aloi tiada kesan alahan dan reaksi tindak balas pada tisu tubuh.

“Pesakit perlu tahu pembedahan ini berhadapan dengan komplikasi ia menjadi longgar dalam tempoh 15 hingga 20 tahun selepas pembedahan. Ini kerana ia selalunya dibuat kepada mereka yang berusia dan mengalami masalah kerosakan sendi pinggul yang teruk.

“Selepas 15 atau 20 tahun, pembedahan selanjutnya akan dibuat tetapi ia bergantung pada keadaan sendi pinggul pesakit dan nasihat pakar ortopedik,” katanya.


INFO: Pesakit yang perlu jalani prosedur penggantian sendi pinggul

Pesakit yang berhadapan dengan penyakit penuaan seperti osteoarthritis. Disebabkan usia yang meningkat, berlaku kehausan pada tisu tulang rawan sendi pinggul.

Pesakit yang mengalami kecederaan atau patah pada tulang sendi disebabkan kemalangan.

Pesakit 'avascular necrosis' iaitu kematian atau kerosakan sebahagian tulang disebabkan kekurangan bekalan darah pada kepala tulang paha.

Pesakit yang mengalami jangkitan kuman pada sendi pinggul seperti jangkitan kuman penyakit batuk kering (tuberculosis) pada sendi tulang.

Pesakit rheumatoid arthritis

Obesiti.


Mengenali osteoarthritis

Osteoarthritis juga dikenali sebagai penyakit sendi disebabkan penuaan dan ia adalah masalah arthritis yang paling biasa.

Ia dikaitkan dengan kemerosotan tisu tulang rawan dalam dan boleh terjadi pada kebanyakan sendi di seluruh badan. Bagaimanapun, ia lebih kerap terjadi di pinggul, lutut dan tulang belakang, selain pada jari, ibu jari dan tengkuk.

Biasanya ia tidak menjejaskan sendi yang lain kecuali terdapat sejarah kecederaan masa lalu atau membabitkan lebihan tekanan pada sendi berkenaan.

Rawan (cartilage) bersifat anjal dan seakan getah yang melindungi hujung tulang di setiap sendi normal. Fungsinya mengurangkan geseran pada sendi dan bertindak sebagai penyerap kejutan. Sifatnya sebagai penyerap kejutan adalah kualiti normal yang membolehkan ia bertukar rupa apabila ditekan.

Osteoarthritis menyebabkan rawan dalam sendi menjadi keras dan hilang anjal malah rosak. Dalam satu jangka masa, ia akan berkurangan dan tidak boleh lagi bertindak sebagai penyerap kejutan,

Apabila rawan ini berkurangan, tendon dan ligamen bergeser dan menyebabkan kesakitan. Dalam keadaan yang lebih teruk, tulang akan bergeser sesama sendiri.

1 comment:

Mohd Affsan said...

Assalam..
Bagaimana saya hendak hubungi doktor ye?

Kepala sendi pinggu saya tidak berbentuk bulat di sebab kan pelvis saya patah akibat kemalangan. Saya baru berumor 32 tahun.

Itu kata doktor di hosp sg buloh. Tapi saya kurang percaya. Dan tidak mahu menerima kes saya lagi sbb hosp sg buloh tidak mempunyai kepakaran bahagiqn pelvis.

Jika betol kepala sendi saya ada masalah. Apa yang harus saya laku kan?

Yang benar
ejard
0176216433
ejardtenuk@gmail.com