Wednesday, December 12, 2007

88. Belajar membaca label, hidup lebih sihat

SEJAK Mac 2004, pengeluar kebanyakan makanan komersil yang dijual di Malaysia dikehendaki meletakkan label agar pengguna boleh membuat pilihan berasaskan maklumat yang diberikan pada label pembungkusan makanan.

Apakah manfaat membaca label?

* Khasiat dan kesihatan makanan

Label adalah saluran bagi pengeluar untuk memberitahu anda tentang manfaat kesihatan, serta jumlah dan jenis nutrien yang terkandung dalam makanan.

* Penilaian makanan

Memahami apa makna maklumat pada label membolehkan kita membandingkan makanan seperti kandungan nutrien dan kualiti ramuan yang digunakan.

* Jaminan kualiti produk

Dengan paparan maklumat pada label, pengeluar perlu bertanggungjawab dan mengambil langkah-langkah untuk memastikan segala maklumat yang dipaparkan adalah betul terutama kandungan nutriennya.

Elemen label makanan

* Kandungan Nutrien: Maklumat ini biasanya boleh didapati daripada Panel Maklumat Pemakanan pada label. Ia memberitahu kita jumlah nutrien yang kita perolehi apabila kita mengambil makanan ini.

* Senarai Ramuan: Ramuan yang digunakan untuk menghasilkan produk.

* Tarikh Luput: Kita sentiasa perlu menyedari tarikh ini dan mengambil makanan sebelum tarikh yang dinyatakan; kerana kualiti dan kandungan nutrien makanan merosot atau rosak jika diambil selepas tarikh luput.

* Pengeluar: Siapa dan di mana produk dibuat.

* Asal produk.

* Dakwaan Label: Apabila label pada pembungkusan sesuatu makanan membawa dakwaan “tinggi” kandungan nutrien; ini bermakna bahawa makanan ini dirumus khas untuk memberi kita nutrien tertentu yang dinyatakan.

Dakwaan label yang perlu diketahui

* Free atau ‘Tanpa’ bermakna makanan tidak mengandungi sesuatu bahan atau kandungannya terlalu sedikit untuk membawa mudarat

* ‘Rendah lemak’ bermakna 3 gram lemak atau kurang dalam setiap hidangan.

* ‘Sumber’ bermakna setiap hidangan mesti mengandungi 5 hingga 10 peratus Nilai Rujukan Nutrien bagi sesuatu nutrien yang ditetapkan oleh pihak berkuasa kesihatan.

* ‘Tinggi’ bermakna ia mengandungi 10 hingga 20 peratus atau lebih nilai Rujukan Nutrien berkenaan.

Panel Maklumat Pemakanan

Saiz hidangan

Saiz hidangan adalah berasaskan jumlah yang biasa kita makan. Jika anda makan dua kali ganda hidangan yang dinyatakan pada label, anda perlu menggandakan semua bilangan dalam bahagian Fakta Pemakanan.

Tenaga

Oleh kerana tenaga adalah kiraan kalori, anda perlu memberi perhatian kepada jumlah kalori daripada setiap hidangan. Tanpa lemak tidak bermakna tanpa kalori. Ramuan rendah lemak mungkin mengandungi sama banyak kalori dengan ramuan lemak penuh.

Lemak

Jika anda mahu cuba mengurangkan lemak, atau anda hanya ingin memastikan jumlah lemak yang anda makan, anda boleh membandingkan label produk makanan yang berlainan dan pilih produk yang kurang mengandungi lemak dan lemak tepu.

Karbohidrat

Karbohidrat boleh diperoleh daripada bijirin penuh, beras, kentang, gula dan sebagainya. Kita bukan sahaja perlu mengawasi jumlah karbohidrat, tetapi juga sumbernya.

Vitamin & Zat Galian

Dengan undang-undang makanan yang baru diwartakan di Malaysia, syarikat pengeluar makanan hanya dibenar mengisytiharkan kandungan vitamin & zat galian jika tahap kandungannya adalah sebagaimana yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan.

Natrium & Kolesterol

Natrium adalah sebahagian daripada garam. Jadi, adalah wajar bagi orang yang mahu mengurangkan pengambilan garam atau menguruskan tekanan darah mencari makanan yang kurang mengandungi natrium.

B. Apa yang diberitahu ‘senarai ramuan’?

Semua label makanan menyenaraikan ramuan produk mengikut beratnya. Ramuan dengan kandungan paling tinggi disenaraikan di tempat pertama, manakala ramuan dengan kandungan paling rendah di senaraikan di tempat terakhir. Semak senarai ramuan untuk mengesan ramuan yang anda ingin elakkan atas sebab kesihatan atau perubatan.

Petua & Kesimpulan

Membaca dan memahami maklumat pada label memang mengambil masa. Anda boleh mula membaca label bila anda ke kedai untuk membeli sesuatu produk dan membiasakan diri dengan lokasi maklumat tertentu; seperti panel mana yang perlu dicari bila anda ingin mengetahui kandungan lemak.

Untuk menjaga kesihatan, anda perlu mendapatkan nasihat daripada pakar diet dan kemudian menggunakan pengetahuan membaca label makanan untuk membantu anda membuat pilihan makanan yang betul.

No comments: