Saturday, December 22, 2007

126. Pneumokokus: Kenali penyakit berbahaya ini

Jika anda bertanyakan seseorang tentang penyakit pneumokokus, anda mungkin mendapat jawapan “Pneumo apa?”. Tidak dikenali suatu ketika dulu, penyakit pneumokokus kini mula menarik perhatian ibu bapa di Malaysia.

Ini kerana masih ramai tidak mengetahui atau memahami penyakit ini yang amat mudah berjangkit kepada kanak-kanak melalui titisan yang disebar ketika bersin atau batuk.

Kanak-kanak di bawah umur 24 bulan amat mudah terdedah dengan penyakit ini, terutama sekali bagi mereka yang berada di tempat asuhan kanak-kanak atau mereka yang rendah sistem imuniti badan.

Pakar Perunding Pediatrik dan ahli panel Positive Parenting, Dr. Mary Marret menjawab beberapa soalan penting tentang penyakit ini dan mengapa ibu bapa perlu ambil tahu mengenainya.

Adakah penyakit ini sesuatu yang baru muncul dan tidak pernah dihadapi sebelum ini? Apa perbezaan dalam rawatan pneumokokus kini?

Dr. Marret: Komuniti perubatan telah lama mengetahui tentang bakteria pneumokokus dan penyakit yang disebabkan bakteria ini, maka ia bukanlah perkara yang baru. Apa yang baru ialah sekarang sudah ada vaksin yang boleh melindungi bayi dari penyakit ini.

Sebelum ini, vaksin tersebut masih belum ada. Vaksin lebih penting sekarang kerana didapati terdapat semakin banyak rintangan (pertahanan) bakteria kepada antibiotik kini.

Apakah tanda-tanda awal kanak-kanak yang dijangkiti pneumokokus?

Dr. Marret: Penyakit pneumokokus akan menyebabkan terjadinya penyakit-penyakit berbahaya seperti radang paru-paru (pneumonia), jangkitan pada telinga tengah, jangkitan pada darah (bakteraemia) dan meningitis. Oleh itu, tanda-tanda awal bergantung kepada jenis jangkitan serta umur kanak-kanak tersebut.

Sebagai contoh, kanak-kanak yang mengalami radang paru-paru (pneumonia) akan batuk dan sukar bernafas. Bagi mereka yang mendapat jangkitan telinga tengah pula mungkin mengalami demam panas, dan kadang-kadang telinganya akan bernanah.

Selalunya jangkitan pneumokokus tidak mempunyai simptom-simptom khusus, terutama sekali bagi kanak-kanak yang mendapat bakteraemia dan meningitis.

Simptom-simptom yang biasa dilihat termasuklah demam panas, keletihan, muntah-muntah dan sakit badan. Kadangkala, kanak-kanak itu juga mungkin mendapat sawan atau kekejangan otot.

Kesemua simptom yang saya nyatakan di atas adalah sama dengan penyakit yang disebabkan oleh bakteria atau virus lain.

Oleh itu, diagnosis penyakit pnemokokus boleh dicapai dengan mengenal pasti bakteria yang terdapat dalam darah, kahak atau sampel cecair yang diambil dari kanak-kanak yang dijangkiti itu.

Apa yang terjadi pada kanak-kanak yang dijangkiti penyakit pneumokokus?

Dr. Marret: Ini bergantung pada jenis jangkitan, diagnosis awal dan rawatan awal yang diberikan. Kanak-kanak sihat yang mendapat radang paru-paru (pneumonia), jangkitan telinga tengah dan juga jangkitan pada darah boleh sembuh sepenuhnya sekiranya jangkitan dikenal pasti dan dirawat pada peringkat awal lagi.

Namun, jangkitan seperti radang paru-paru (pneumonia) amat berbahaya kepada bayi yang tinggal di kawasan yang terpencil terutamanya jika tidak boleh mendapat rawatan segera.

Kes malang seperti ini banyak berlaku di kalangan kanak-kanak yang tinggal di kawasan pedalaman yang sukar mendapat bantuan perubatan dengan pantas.

Salah satu jangkitan serius yang disebabkan oleh penyakit pneumokokus ialah meningitis, atau jangkitan pada selaput yang melindungi otak.

Meningitis pnuemokokus boleh menyebabkan kerosakan yang teruk pada otak yang menyebabkan komplikasi seperti kecacatan mental, hilang upaya fizikal seperti palsi serembrum, sawan, dan juga masalah pendengaran.

Walaupun antibiotik digunakan sebagai rawatan, ia bukan suatu yang mudah untuk mengelakkan komplikasi sampingan, terutama sekali di kalangan bayi kecil.

Mencegah lebih baik daripada mengubati. Apakah reaksi ibu bapa mengenai vaksin baru untuk jangkitan pneumokokus?

Dr. Marrett: Persatuan Pediatrik Malaysia telah mula memberi maklumat melalui media tentang vaksin ini. Ia mula memberi kesedaran kepada ibu bapa yang turut memberi maklum balas kepada kami untuk memberi perlindungan kepada anak-anak mereka.

Bagaimanapun, masih ada ibu bapa yang tidak sedar tentang masalah ini atau ragu-ragu untuk membawa anak mereka mendapatkan vaksinasi disebabkan masalah kos.

Sementara kos masih menjadi isu, penting untuk anda fikirkan bahawa kebaikan yang diterima lebih bermakna dari jumlah wang yang dikeluarkan. Risiko komplikasi-komplikasi dan penderitaan yang disebabkan oleh penyakit ini adalah serius.

Perkara yang paling utama untuk ibu bapa pertimbangkan sekarang adalah pencegahan penyakit ini daripada berlaku kepada anak mereka.

Artikel pendidikan ini adalah daripada Program Positive Parenting yang diurus oleh Persatuan Pediatrik Malaysia dengan sumbangan geran pendidikan tanpa syarat dari Wyeth Pharmaceuticals. Untuk maklumat lanjut, sila kunjungi www.mypositiveparenting.org

No comments: