JATUH organ peranakan (JOP) adalah satu perkara yang biasa berlaku di kalangan kaum wanita. Dianggarkan, hampir separuh daripada mereka yang pernah melahirkan anak akan mengalaminya di kemudian hari.
Namun begitu ramai yang enggan berjumpa doktor atas alasan malu, ditambah dengan keadaan JOP itu sendiri yang tidak mengganggu kehidupan hariannya.
Pakar Perbidanan dan Sakit Puan, Kampung Baru Medical Centre (KBMC), Kuala Lumpur, Dr. Rosilawati Abd. Ghani berkata, JOP berlaku dalam keadaan di mana ligamen dan otot-otot di pelvis (pinggul) menjadi lemah atau rosak dan tidak boleh lagi menampung organ pada bahagian itu.
‘‘Apabila ini berlaku, rahim akan jatuh keluar faraj, pundi kencing akan menonjol ke dinding faraj dan usus besar menonjol arah belakang faraj.
“Walaupun tidak sampai mengancam nyawa tetapi ia mendatangkan ketidakselesaan dan penderitaan emosi. Kadang- kadang seseorang itu boleh mendapat lebih dari sejenis JOP,’’ katanya.
Jenis-jenis JOP
Bahagian atas/bumbung faraj
Sekiranya bahagian atas yang terlibat, maka rahim akan jatuh ke bahagian faraj (uterine prolapsed).
* Gred 1: Rahim terturun sedikit. Kebanyakan wanita mungkin tidak menyedarinya. Selalunya keadaan ini hanya diketahui apabila pemeriksaan dijalankan oleh doktor atas tujuan lain seperti pap smear
* Gred 2: Rahim jatuh lebih jauh ke bawah dan pangkal rahim boleh dilihat di muka pintu faraj
* Gred 3: Hampir keseluruhan rahim jatuh terkeluar dari faraj.
Bahagian hadapan
Pundi air kencing jatuh ke dalam faraj (sistosele). Ia akan menolak dinding faraj ke hadapan yang menonjol seperti satu benjolan.
Kebiasaannya pundi dan salur kencing akan jatuh sekali (Cystourethrocele) dan paling biasa terjadi di kalangan wanita.
Bahagian belakang faraj
“Sebahagian dari usus kecil yang mengisi ruang antara rahim dan faraj boleh jatuh di kawasan antara faraj dan bahagian akhir usus besar (rektum). Keadaan ini dipanggil enterosele.
“Jika rektum pula yang jatuh, ia akan membentuk satu benjolan di belakang faraj berhampiran dengan dubur. Ini dipanggil rektosele,’’ terang Dr. Rosilawati.
Kemungkinan besar, kedua-dua keadaan ini boleh berlaku serentak dan harus diperiksa secara menyeluruh. Ini amat penting kerana jika tidak didiagnosis, boleh meningkatkan kesengsaraan pesakit lebih-lebih lagi selepas pembedahan.
Menurutnya, ada lagi satu keadaan dipanggil vault prolapse yang berlaku selepas pembedahan histerektomi atas apa jua masalah.
“Ini mungkin mengambil masa untuk berlaku setelah sokongan oleh otot-otot keliling dan bekas jahitan pada faraj menjadi lemah lalu jatuh ke bawah.
“Ia terjadi pada 15 peratus wanita yang menjalani pembedahan histerektomi disebabkan oleh JOP dan hanya satu peratus atas alasan lain seperti fibroid,’’ ujar beliau.
Punca-punca JOP
Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan otot dan ligamen pelvis menjadi lemah, antaranya kehamilan dan bersalin; usia dan menopaus; obesiti; ketumbuhan seperti fibroid yang besar dan; batuk atau sembelit kronik.
Lain-lain termasuklah mengangkat bebanan yang berat; keturunan seperti Sindrom Marfan dan etnik; menjalani pembedahan pelvis seperti histerektomi, pembetulan pundi kencing dan; kerosakan atau kecederaan pada saraf tunjang.
Simptom dan diagnosis
Wanita yang mengalami masalah JOP yang sedikit, kata Dr. Rosilawati, ada kalanya tidak berasa sebarang simptom atau ketidakselesaan.
“Sekiranya pundi kencing yang jatuh, ia mungkin mengakibatkan wanita sukar mengawal kencing, kerap kencing atau kencing tidak puas.
“Apabila usus kecil atau besar yang jatuh, ia mungkin mengakibatkan sembelit, rasa tidak puas buang air besar sehingga kadangkala terpaksa memasukkan jari untuk mengeluarkan najis.’’
Jatuh organ rahim pula menyebabkan wanita berasa ada benda berat di celah alat sulitnya. Dalam keadaan yang teruk di mana rahim jatuh keseluruhannya, boleh menyebabkan luka, berdarah dan jangkitan kuman.
Pencegahan
* Elakkan berdiri terlalu lama. Ambil masa untuk duduk seketika dan melunjurkan kaki ke atas bangku. Ini selalu berlaku pada jururawat, guru, doktor dan juga mereka yang selalu ke kawasan kerja seperti jurutera
* Melakukan senaman pelvik adalah amat penting walaupun di zaman bujang lagi. Ia menguatkan otot-otot dalaman, membantu mempercepatkan proses pemulihan pascasurgeri, mendapatkan semula rasa mengawal kencing dan mengurangkan sakit belakang
* Amalkan pemakanan yang betul bagi mengelakkan sembelit kronik. Banyakkan makan sayur-sayuran, buah- buahan dan bijirin/bran. Elakkan dari meneran di bilik air lebih 15 minit. Puas atau tidak, sila keluar dari bilik air
* Memakai girdle/sut pelangsingan badan yang sesuai boleh membantu tetapi bukan korset yang amat ketat
* Jangan merokok dan jauhkan diri daripada perokok bagi menghindari batuk yang kronik
* Elakkan mengandung yang kerap dan rapat. Cubalah kaedah-kaedah perancang keluarga yang mempunyai peratus kejayaan tinggi.
Rawatan
Dr. Rosilawati berkata, sekiranya JOP masih di peringkat awal, pesakit akan dirujuk kepada pakar fisioterapi untuk mengajar teknik senaman pelvik.
‘‘Selain itu, pesari faraj iaitu alat berupa gelang/donut yang terdapat dalam beberapa saiz boleh digunakan untuk mengekang rahim dari jatuh.
“Ia boleh digunakan oleh wanita dari segala peringkat usia reproduktif atau yang menopaus, yang tidak boleh atau tidak memilih cara pembedahan,’’ jelasnya.
Mengulas lanjut, ini mungkin disebabkan wanita itu muda dan masih mahu mengandung dan melahirkan anak atau wanita berusia yang tidak sihat untuk menjalani pembedahan.
Cuma, ia perlu diganti setiap tiga atau empat bulan dan pesakit hendaklah berjumpa pakar sakit puan untuk memasang dan menukarnya.
Secara amnya, setiap rawatan individu adalah bergantung kepada pelbagai sebab seperti usia, simptom, jenis JOP, perancangan reproduktif dan seksual, tahap kesihatan serta kesannya terhadap kehidupan wanita itu.
Rawatan pembedahan
Merupakan pilihan terakhir setelah segalanya dilakukan. Anterior repair-colporrhaphy adalah pembedahan yang dilakukan dari bahagian hadapan faraj tanpa melibatkan insisi/belah di bahagian abdomen/perut.
Dr. Rosilawati memberitahu: “Ia digunakan untuk membetulkan pundi kencing yang sudah jatuh. Selalunya bius sepenuhnya atau bius separuh digunakan.
“Komplikasi yang mungkin berlaku (tetapi jarang) adalah sakit ketika melakukan hubungan kelamin, pundi kencing yang terlalu sensitif ataupun sukar membuang air kecil.’’
Begitu juga dengan posterior repair yang melibatkan pembedahan dari belakang faraj dengan komplikasi yang lebih kurang sama dengan anterior repair. Selain itu, terdapat teknik baru menggunakan pita khas tetapi agak mahal.
“Rawatan pembedahan untuk rahim yang jatuh adalah dengan cara mengeluarkan rahim dari faraj dipanggil histerektomi faraj.
“Selalu juga, ketiga-tiga prosedur tersebut dilakukan serentak kerana JOP melibatkan bahagian hadapan, belakang dan rahim sekali gus,’’ katanya sambil menambah, salah satu komplikasi yang boleh berlaku adalah vault prolapse yang mana pembedahan untuk mengatasi masalah ini lebih merumitkan.
Pascapembedahan
Kebiasaannya, mereka yang pernah mengalami pembedahan melalui faraj akan melalui prosedur pembedahan yang singkat, kurang memerlukan ubat tahan sakit, mengalami pemulihan cepat dan memulakan hidup seperti biasa.
Walaupun begitu, histerektomi mengambil masa tiga bulan untuk pulih sepenuhnya. “Hubungan seks boleh dimulakan kembali enam minggu lepas pembedahan. Usah risau, ia tidak akan mengganggu kehidupan seks normal.
“Yang penting, janganlah malu untuk berjumpa doktor dan menceritakan tentang segala masalah alat sulit yang dihidapi,’’ pesan Dr. Rosilawati. Lakukan pemeriksaan tahunan dan pap smear sebagaimana jadual yang disyorkan oleh Kementerian Kesihatan.
Kesimpulannya, rawatan dalam bentuk pembedahan atau bukan banyak bergantung kepada wanita itu sendiri, keseriusan masalahnya serta aspirasi masa depan reproduktif dan seksualnya.
Tuesday, December 11, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment