APABILA sakit belakang datang, secara automatik ia akan menyukarkan aktiviti seharian anda. Duduk, berjalan dan membongkok boleh menyebabkan kesakitan yang menusuk, rasa menggelenyar seperti digigit-gigit dan kebas.
Sakit belakang antara lain disebabkan oleh diska tergelincir (slipped disk) atau turut dikenali sebagai diska hernia atau diska pecah (herniated disc atau ruptured disk).
‘‘Masalah sakit belakang adalah masalah yang biasa dihidapi. Dianggarkan lebih 90 peratus akan mengalami masalah sakit belakang sekurang-kurangnya sekali seumur hidup kita.
“Struktur sokongan belakang secara kasar terdiri daripada tulang vertebra, tulang lembut/diska intervertebral, sendi, ligamen dan otot,’’ kata Pakar Bedah Tulang, Hospital Pakar Putra, Melaka, Dr. Zulkefli Abd. Rashid.
Menurutnya, pada tulang belakang terdapat satu terowong yang dilalui oleh saraf tunjang dan penghujung saraf tunjang. Masalah sakit belakang boleh berpunca daripada kecederaan pada otot, ligamen, sendi, diska dan vertebra.
Jatuh atau kemalangan, aktiviti lasak atau teknik mengangkat barang yang salah dan juga faktor usia merupakan penyebab biasa kecederaan tulang belakang.
“Diska tergelincir adalah satu masalah kecederaan pada tulang lembut/diska yang juga dikenali sebagai diska intervertebral. Masalah ini kerap berlaku pada peringkat umur 30 hingga 50 tahun.
“Diska intervertebral bolehlah diumpamakan sekeping tulang lembut di antara tulang vertebra. Ia terdiri daripada satu tisu yang kuat (annulus fibrosus) di mana di dalamnya terkandung sejenis bahan yang lembut (nucleus polposus),’’ ujar beliau.
Dr. Zulkefli berkata, kecederaan pada diska intervertebral menyebabkan kerosakan pada annulus fibrosus. Akibatnya, ia menjadi bengkak dan seringkali juga pecah pada diska intervertebral.
Bengkak yang berlaku akan menekan urat saraf yang terletak di belakangnya. Keadaan menjadi lebih serius apabila ia pecah menyebabkan isinya atau nucleus polposus keluar dan menekan urat saraf.
Ini menyebabkan sakit belakang yang teramat sangat yang akan merebak turun ke kaki. Pesakit juga akan berasa kebas dan lemah kaki.
Masalah ini dapat dipastikan dengan pemeriksaan klinikal dan juga imbasan pengimejan resonans magnetik (MRI), kata Dr. Zulkefli.
Rawatan untuk diska tergelincir bergantung kepada tahap kecederaannya terdiri daripada rehat sepenuhnya dengan berbaring untuk mengurangkan tekanan pada diska intervertebral.
Lain-lain termasuklah ubat-ubatan dan fisioterapi serta pembedahan untuk kes-kes yang teruk ataupun tidak bertambah baik dengan rawatan di atas.
“Pembedahan untuk masalah diska tergelincir yang biasa dilakukan perlu melalui luka yang besar antara 10 hingga 15 sentimeter (sm) bergantung kepada berapa bahagian yang terlibat.
“Ini menyebabkan pesakit mengambil masa yang lama untuk sembuh. Pembedahan cara begini juga menyebabkan gangguan yang besar pada otot dan ligamen yang menyokong tulang belakang,’’ jelasnya.
Gangguan dan kerosakan pada otot di tulang belakang menyebabkan kekuatan otot berkurangan. Ini boleh menyebabkan masalah sakit belakang yang berpanjangan.
Dr. Zulkefli menambah, pembedahan minimally invasive surgery (MIS) adalah satu cara pembedahan yang baru diperkenalkan. Pembedahan cara ini adalah dengan luka yang kecil sahaja.
“Pembedahan cara ini memerlukan peralatan khas, mesin sinar-x semasa pembedahan dan juga mikroskop. Kebiasaannya luka dari pembedahan cara ini hanya 2.5 hingga 3sm sahaja panjangnya.
“Kecederaan pada otot adalah minimum. Penggunaan mikroskop juga banyak membantu dari segi memberikan gambaran yang lebih jelas pembedahan yang dilakukan,’’ terang beliau.
Pesakit yang menjalani pembedahan cara MIS biasanya mengalami sakit yang sedikit sahaja selepas pembedahan dan boleh mula berjalan pada hari yang sama selepas pembedahan atau keesokan harinya.
Untuk jangka masa yang panjang, pesakit juga tiada risiko kehilangan kekuatan otot belakang yang selalunya terjadi melalui prosedur pembedahan biasa.
Gangguan yang minimum pada otot dan ligamen di tulang belakang juga dapat mengurangkan masalah sakit belakang yang berpanjangan selepas pembedahan.
Mengulas lanjut, kata Dr. Zulkefli, MIS adalah satu cara pembedahan baru yang dapat memberikan banyak faedah kepada pesakit tulang belakang.
Kemajuan teknologi yang terkini telah membolehkan pembedahan cara begini dilakukan dengan gangguan yang minima pada struktur sokongan tulang belakang.
“MIS tidak hanya terhad untuk masalah diska tergelincir. Cara yang sama juga boleh dilakukan untuk masalah tulang belakang lain seperti tulang belakang yang tidak stabil di mana ia memerlukan pemasangan implan.
“Cara begini dapat memberikan keselesaan kepada pesakit dari segi kesakitan selepas pembedahan yang minimum. Dengan itu pemulihan pesakit selepas pembedahan juga cepat,’’ katanya.
Pesakit tidak perlu tinggal di hospital untuk jangka masa yang lama dan pesakit dapat mula bekerja dengan lebih awal.
Simptom
* Siatika. Sakit yang adakalanya disertai dengan rasa digigit dan kebas, bermula pada punggung dan menjalar ke bawah, ke bahagian belakang salah satu kaki
* Sakit, kebas atau lemah pada bahagian bawah belakang dan sebelah kaki
* Sakit bawah belakang yang menjadi bertambah teruk semasa anda duduk, batuk atau bersin
Penyebab
Diska tergelincir selalunya berpunca daripada degenerasi/kemerosotan secara beransur-ansur diska yang berkaitan usia.
Seiring pertambahan usia, diska spina kehilangan sebahagian kandungan air. Ia menjadikannya kurang anjal dan lebih cenderung untuk koyak atau pecah sekali pun hanya disebabkan oleh sedikit hentakan.
Menggunakan otot-otot belakang dan bukannya otot-otot paha dan kaki untuk mengangkat bebanan yang berat boleh mendorong kepada diska tergelincir.
Dalam kes-kes yang lebih jarang berlaku, insiden traumatik atau kemalangan seperti terjatuh atau pukulan pada bahagian belakang juga boleh menjadi punca diska tergelincir.
Faktor risiko
* Usia. Diska tergelincir lebih biasa berlaku di usia pertengahan. Bagaimanapun, ia jarang terjadi selepas seseorang mencecah umur 60
* Berat badan berlebihan memberikan tekanan berlebihan ke atas diska bahagian belakang bawah
* Diabetes boleh mengurangkan oksigen dalam darah, menjadikan diska spina lebih rentan terhadap penyakit dan masalah kegelinciran
* Kajian mendapati lebih banyak kejadian diska tergelincir di kalangan individu yang bekerja dalam bidang tugas yang memerlukan fizikal seperti berladang, buruh kasar, pembungkusan makanan, kerja kuari, trak, gudang dan pembalakan.
Mengangkat secara berulang, menarik dan menolak, membongkok ke sisi, berpusing, duduk atau berdiri dalam satu posisi yang salah untuk jangka waktu yang panjang merupakan antara aktiviti kerja yang meningkatkan risiko diska tergelincir.
Komplikasi
* Sakit yang semakin kuat, kebas atau lemah yang merebak sama ada pada sebelah kaki atau kedua-duanya sekali
* Disfungsi usus atau pundi kencing termasuk inkontinens/kebocoran kencing atau sukar membuang air kecil sekalipun pundi kencing penuh terisi
* Hilang sensasi atau deria rasa secara berterusan di kawasan atau daging pada bahagian antara rusuk dengan tulang pinggul termasuklah paha sebelah dalam, belakang kaki dan sekitar rektum/usus akhir
* Tidak dapat bergerak/lumpuh
* Lemah tenaga batin di kalangan lelaki
Pencegahan
* Elakkan aktiviti berimpak tinggi seperti joging, tenis dan aerobik dalam beberapa bulan pertama selepas mengalami diska tergelincir
* Bersenam mampu memperlahankan kemerosotan diska berkaitan usia dan menguatkan otot-otot teras menstabilkan spina
* Mengekalkan postur/gaya atau kedudukan tubuh yang baik berupaya mengurangkan tekanan terhadap tulang belakang dan diska. Tegakkan dan selarikan belakang anda terutamanya apabila duduk dalam tempoh yang lama. Angkat barang berat dengan betul, jadikan kaki dan bukannya belakang anda untuk melakukan kerja yang lebih
* Dapatkan berat badan unggul. Berat berlebihan meletakkan tekanan berlebihan pada tulang belakang dan diska, menjadikannya lebih mudah tertonjol keluar
Tuesday, December 11, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment