Wednesday, December 19, 2007

101. Bedah hidung rawat alahan

Soalan:

Doktor, saya mempunyai masalah alahan dan hidung yang tersumbat sejak dari umur belasan tahun. Sudah puas saya berubat tetapi belum sembuh. Perlukah saya melakukan pembedahan hidung?

Jawapan:

Masalah alahan hidung atau 'allegic rhinitis' adalah suatu keadaan yang biasa mengganggu seseorang. Ia lebih kerap dihidapi individu yang mempunyai tahap alahan yang tinggi berdasarkan sejarah pendedahan kepada bahan penyebab alahan (alergen) tertentu dalam udara yang berhabuk atau pemakanan. Ia juga lebih kerap berlaku pada seorang yang menghidap asma.

Masalah ini sukar untuk dibasmi dalam erti kata mudah, untuk sembuh. Gejala yang biasa adalah selesema, bersin dan hidung yang sumbat. Adakalanya ia boleh menyebabkan gatal dan sakit di bahagian hidung.

Rawatan untuk masalah ini terdiri daripada penghindaran daripada alergen. Bagaimanapun, ini sukar dilakukan memandangkan alergen biasanya tidak dapat dipastikan dengan tepat.

Ubat-ubatan yang biasa digunakan untuk alahan hidung adalah ubat semburan. Ia biasanya berkesan untuk mengawal dan mengurangkan gejala alahan hidung.

Ubat antibiotik kadangkala diperlukan juga sekiranya ada tanda jangkitan seperti nanah di dalam rongga hidung dan sinus. Ubat-ubat ini biasanya perlu digunakan sehingga pencapaian tahap kawalan yang memuaskan.

Bagaimana dengan pembedahan hidung? Ya, fungsi pembedahan hidung untuk menangani masalah ini adalah untuk mengurangkan hidung yang tersumbat. Selain itu ia untuk mengurangkan selesema. Serentak dengan itu juga berupaya untuk memperbaiki penghantaran ubat semburan ke kawasan hidung yang bermasalah.

Jawapan disediakan oleh: Dr Abdul Razak Rahman Hamzah, Pakar Runding Telinga, Hidung dan Tekak DEMC, SHAH ALAM.

No comments: