AZMAN, 19 dan Ikram, 16, merupakan adik beradik. Mereka hampir sebaya tetapi sangat berbeza. Azman, seorang yang cergas dan bertenaga serta banyak mewakili sekolahnya dalam bidang sukan manakala Ikram, anak muda dengan muka berjerawat, postur tidak baik serta mempunyai berat badan berlebihan.
Ini tidak menghairankan kerana dia sangat menggemari makanan yang manis dan sentiasa memakan snek makanan rapu. Namun begitu, adik beradik ini mempunyai satu persamaan; iaitu diabetes. Ibu bapa mereka menghidapi diabetes.
Azman didiagnos menghidap diabetes jenis 1 semasa usianya mencecah enam tahun. Diabetes jenis 1 bukanlah penyakit keturunan tetapi terjadi apabila sistem imun menyerang sel-sel beta di dalam pankreas yang menghasilkan insulin dalam badan.
Azman mula mengambil serius tentang diabetes dan menguruskan keadaan dia dengan teliti sejak beberapa tahun lalu setelah penglihatannya semakin kabur. Sebaliknya, Ikram tidak menghidap diabetes pada usia yang sebegitu muda dan tidak pula mengambil berat tentang kesihatan dia sehinggalah baru-baru ini.
Semasa menjalani pemeriksaan kesihatan rutin, Dr. Tan, doktor keluarga mereka telah mengesahkan bahawa Ikram juga kini telah menghidap diabetes jenis 2.
Apakah diabetes jenis 2?
Diabetes jenis 2 terjadi akibat rintangan terhadap insulin dalam badan dan ini menyebabkan peningkatan jumlah insulin yang diperlukan untuk mengawal paras glukosa darah.
Tetapi, pankreas tidak dapat membekalkan insulin dalam kuantiti yang mencukupi. Insulin merupakan hormon yang membenarkan glukosa memasuki sel-sel badan dan ditukarkan kepada tenaga.
Oleh yang demikian, badan sedang kehilangan sumber utama tenaganya tetapi pada masa yang sama glukosa berkumpul di dalam darah dan menyebabkan kerosakan pada organ-organ penting badan.
Walaupun dikelilingi oleh ahli keluarga yang menghidap diabetes, namun Ikram masih kurang berpengetahuan tentang keadaannya itu. Apabila diberitahu bahawa dia sedang kehilangan ‘bateri’ untuk badannya, Ikram tertanya-tanya sama ada beliau akan terlantar sakit di katil untuk sepanjang hayat.
“Itu tidak benar. Lihat Azman, dia menghidap diabetes hampir keseluruhan hidup, namun masih seorang atlet. Hidup anda tidak akan berubah tetapi tabiat pemakanan anda sahaja yang perlu diubah.
“Anda juga perlu bersenam untuk mengawal paras glukosa darah dan mengurangkan risiko dari terkena tekanan darah tinggi dan kolesterol darah yang tinggi,” jelas Dr. Tan.
Untuk membantu Ikram memahami betapa serius keadaannya jika dia tidak menguruskan diabetes dengan baik, Dr. Tan turut menerangkan bahaya-bahaya yang boleh disebabkan oleh keadaan ini.
“Ingat semasa Azman mendapati bahawa penglihatan beliau menjadi kabur? Jika kamu tidak menjaga diabetes dengan baik, ia boleh menyebabkan perubahan pada saluran-saluran darah di dalam mata kamu yang dikenali sebagai retinopati. Ini boleh menyebabkan mata menjadi buta jika tidak dirawat dengan segera,’’ kata Dr. Tan
Beliau turut mengutarakan peri pentingnya mengawal paras glukosa darah demi untuk mengelakkan komplikasi-komplikasi diabetes selain dari retinopati seperti penyakit jantung, kerosakan saraf, kerosakan buah pinggang serta masalah pada kaki, di mana bagi kes-kes yang teruk boleh mengakibatkan kaki dipotong (amputasi).
Situasi yang dialami Ikram bukanlah sesuatu yang baru. Statistik menunjukkan bahawa diabetes jenis 2 semakin meningkat di kalangan golongan muda, kadang-kadang semuda 5 hingga 6 tahun.
Ini kerana diabetes jenis 2 merupakan penyakit keturunan di mana jika ibu bapa anda menghidapi diabetes jenis 2, anda juga berisiko mendapat diabetes jika tidak mengambil berat untuk menjaga diri anda.
Kemungkinan besar juga ia adalah hasil daripada tabiat pemakanan yang tidak baik.Makanan yang tinggi kalori boleh menyebabkan berlebihan berat badan dan menjadi obes seterusnya tubuh menghasilkan rintangan terhadap insulin.
Diet yang sihat
Setiap hari, ambil diet seimbang yang terdiri daripada karbohidrat (seperti nasi, roti dan capati), lemak dan protein serta serat, vitamin dan mineral yang mencukupi.
Berbincanglah dengan pakar diet tentang bagaimana caranya untuk mempelbagaikan diet dan mengambil makanan dalam kuantiti yang disarankan.
Elakkan makan mengikut nafsu atau pada waktu yang luar dari biasa atau tidak bermasa kerana ini akan menyukarkan anda mencapai matlamat paras glukosa darah anda.
Untuk snek pula, jika anda menggemari makanan yang kaya dengan lemak, berkalori tinggi atau mengandungi banyak gula, maka anda mestilah ketepikan makanan- makanan ini dan berjanji untuk berpantang.
Jika anda berasa lapar di masa antara waktu makan, pilihlah makanan yang lebih sihat seperti yogurt atau buah-buahan segar.
Sentiasa Bergerak!
Lakukan senaman anggaran 30 minit pada setiap hari untuk lima hari atau lebih dalam seminggu. Anda perlu bersenam untuk jangka masa yang lebih lama (40-60 minit) setiap hari jika anda berazam untuk mengurangkan berat badan.
Anda boleh melakukan dalam satu sesi atau mengagihkan kepada sesi yang lebih pendek iaitu dalam 10-20 minit sekali. Ini bukan sahaja akan membantu anda menurunkan paras glukosa darah (dan berat badan yang berlebihan), ia juga membuatkan anda kelihatan dan rasa lebih segar.
Memantau paras glukosa darah anda
Paras glukosa darah anda pada waktu pagi (semasa berpuasa) perlu berada di dalam lingkungan 3.8 hingga 6.1 mmol/L. Manakala bagi dua jam selepas makan, ia sepatutnya berada kurang daripada 7.8 mmol/L.
Dengan sentiasa memeriksa glukosa darah, anda akan tahu sama ada matlamat anda tercapai. Selain itu, ia turut menunjukkan sama ada anda mempunyai paras glukosa darah yang sangat tinggi (hiperglisemia) atau paras glukosa darah sangat rendah (hipoglisemia).
Kedua-dua keadaan ini adalah merbahaya kerana boleh mengakibatkan komplikasi diabetes yang serius.
Anda juga perlu mendapatkan doktor untuk membuat pemeriksaan HbA1c, sekurang-kurangnya tiga kali setahun untuk menentukan purata paras glukosa darah dalam lingkungan yang baik. Paras HbA1c sebaiknya adalah tidak melebihi 6.5 peratus.
Ingat, menghidapi diabetes pada usia muda bermakna anda perlu menjaga dan mengawal paras glukosa darah untuk jangka masa yang lama berbanding yang mendapat diabetes pada usia lebih tua.
Jadikan ahli penjagaan diabetes anda sebagai kawan rapat. Pelajari dan fahamilah sebanyak mungkin tentang diabetes anda. Bacalah buku-buku dan layarilah laman-laman web yang boleh dipercayai di Internet.
Berjumpalah dengan doktor anda seperti yang dijadualkan dan berbincang bersama pasukan penjagaan diabetes anda.
Berani untuk menjadi normal
Walaupun anda didiagnosis dengan diabetes, namun anda tidak berbeza daripada remaja-remaja yang tidak mempunyai diabetes. Anda hanya perlu memastikan amalan pemakanan yang sihat berserta gaya hidup aktif dan mengambil ubat-ubatan yang dipreskripsikan oleh doktor anda.
Janganlah memberontak dan berhenti daripada mengikuti program pengurusan diabetes anda dan menganggap bahawa diabetes anda tidak serius atau ingin mencuba mencari sejauh mana batasan anda atau lebih teruk lagi, kerana anda berkeinginan untuk menjadi sama seperti rakan-rakan sebaya yang lain.
Pengurusan diabetes secara teratur adalah penting untuk membolehkan anda menjalani kehidupan yang normal. Ia boleh dilakukan.
Sesetengah rakan remaja anda mungkin menganggap bahawa merokok atau mengambil alkohol sesuatu yang ‘hebat’, tetapi ini merupakan tabiat buruk, tidak kira sama ada anda menghidap diabetes atau pun tidak. Sebagai penghidap diabetes, anda perlu mengelakkan diri daripada merokok serta meminum minuman beralkohol.
Dengan sokongan daripada ahli keluarga dan juga rakan-rakan, bersama dengan nasihat dari kumpulan pakar penjagaan diabetes anda, maka tiada sebabnya mengapa anda tidak boleh menikmati ‘tahun-tahun teristimewa’ anda ini sebagai seorang remaja.
Adakah anda menghidapi diabetes jenis 2?
Untuk mengetahui sama ada anda berisiko, berikut adalah beberapa faktor yang anda perlu pertimbangkan.
1. Saya mempunyai keluarga terdekat seperti ibu bapa, abang atau kakak yang menghidap diabetes.
2. Saya mempunyai berat badan berlebihan atau obes untuk umur saya (disahkan oleh doktor keluarga).
3. Saya sering berasa letih dan penat.
4. Saya mempunyai penglihatan yang kabur.
5. Saya berasa kebas-kebas pada kaki.
6. Saya sering berasa dahaga dan kerap membuang urin.
Jika anda menjawap ‘Ya’ untuk salah satu kenyataan di atas, sila lakukan ujian glukosa darah. Untuk mengesan diabetes awal, adalah lebih baik anda periksa peningkatan glukosa darah anda selepas makan dan bukannya ketika berpuasa.
* Prof. Datuk Mustaffa Embong adalah Pakar Perunding Diabetes, Institut Diabetes Negara (NADI)
- Artikel ini merupakan yang terakhir daripada 10 siri sumbangan Program Menangani Wabak Diabetes (FAD) yang dianjurkan oleh NADI, dengan usahasama Kementerian Kesihatan Malaysia, Persatuan Pemakanan Malaysia, Persatuan Dietitik Malaysia dan Persatuan Kajian Obesiti Malaysia. Program ini juga disokong dengan geran pendidikan tanpa syarat daripada program ‘Taj Mahal Rice For Life’, Pharmaniaga Berhad, dan Gardenia Breakthru’. Untuk pertanyaan, sila hubungi Institut Diabetes Negara (NADI) di talian 03-7876 1676/78761677.
Tuesday, December 11, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment