Wednesday, December 19, 2007

116. Merokok antara punca semput, saluran pernafasan sempit



IBU saya mengalami batuk yang kerap dan sangat teruk. Batuknya juga berkahak dan dia mudah semput. Saya ingin tahu, adakah batuk seperti ini normal atau tanda sesuatu penyakit. Untuk pengetahuan doktor, ibu saya kuat merokok.

Jawapan:

DARIPADA cerita yang anda berikan saya percaya ibu anda menghidap penyakit penyempitan saluran pernafasan yang kronik (COPD). COPD terbahagi kepada dua keadaan iaitu emfisema dan bronkitis kronik.

Dalam keadaan emfisema, pelampung paru-paru (alveoli) bercantum antara satu sama lain dan mengembang manakala dinding pelampung ini menebal akibat jangkitan yang berulang. Dengan ini penukaran gas oksigen dan karbon dioksida terjejas. Ini menyebabkan pesakit mengalami sesak nafas yang kronik dan mudah semput.

Bronkitis kronik pula adalah keadaan yang memperlihatkan sel-sel dinding saluran pernafasan (bronki) menebal dan mengeluarkan kahak yang banyak. Ini mengakibatkan saluran pernafasan itu menjadi sempit. Pesakit akan mengalami batuk berkahak yang berpanjangan dan mudah semput. Pesakit juga mudah mendapat jangkitan paru-paru disebabkan oleh takungan kahak yang banyak.

Oleh itu, saya berpendapat ibu saudara mengalami bronkitis kronik.

Antara penyebab keadaan ini adalah tabiat merokok, jangkitan saluran pernafasan yang berulang atau kronik selain pendedahan yang berpanjangan kepada bahan alahan dan jerebu.

Lazimnya penyakit ini muncul apabila berlaku jangkitan paru-paru. Kerosakan pada saluran pernafasan ini adalah kekal. Ia akan berlarutan dan berkembang kepada kegagalan sistem pernafasan.

Cara merawat keadaan ini adalah dengan mengambil ubat pengembang saluran pernafasan (bronkodilator) seperti ventolin atau ipratropium bromide yang berkala, ubat cairkan kahak (mukolator).

Perlu juga untuk pesakit melakukan rawatan fisioterapi paru-paru untuk memudahkan kahak dikeluarkan. Bila berlaku jangkitan, pesakit perlu mengambil antibiotik. Bila keadaan menjadi tenat pesakit akan memerlukan oksigen berpanjangan secara berterusan.

Kita juga perlu mengambil rawatan pencegahan daripada mendapat jangkitan paru-paru seperti mengambil antibiotik secara pencegahan dan vaksin selesema dan pnuemococcus. Jauhi daripada terdedah kepada jerebu, debu, khalayak ramai yang meningkatkan risiko mendapat jangkitan saluran pernafasan. Harap jawapan ini membantu anda.

1 comment:

Angin Selat Melaka said...

As'kum.

Untuk mereka yg mengalami hidung tersumbat atau masalah saluran pernafasan tersekat, boleh cuba cairkan kahak, lendir dan kotoran dalaman melalui sini:

Rawatan Melancarkan Saluran Pernafasan Tersumbat

Semoga berjaya. Thanks.