Wednesday, December 19, 2007

122. Bedah rawatan terakhir rawat sakit belakang

Kesakitan tulang otot paling kerap dialami, punca masalah lainSELAIN demam selesema, sakit belakang adalah masalah kesihatan yang kerap dialami kebanyakan orang. Masalah ini dialami antara 30 hingga 60 peratus penduduk dalam setahun.

Tulang belakang dibentuk daripada otot, saraf, tisu lembut selain tulang. Pakar Perunding Ortopedik dan Arthritis, Dr Badrul Shah Badaruddin berkata, apabila seseorang itu mengadu sakit belakang, ia kemungkinan besar disebabkan empat faktor, tulang otot (musculoskeletal), buah pinggang dan saluran kencing, usus dan masalah sakit puan.

"Antara empat faktor ini, masalah sakit belakang berkaitan tulang otot paling kerap dialami," katanya.

Sakit belakang berkaitan tulang otot pula jelas Dr Badrul lazimnya merujuk pada bahagian bawah atau 'low backache'. Ini disebabkan tulang belakang bahagian atas jarang menimbulkan masalah kerana bahagian ini distabilkan tulang rusuk yang 'melekat' pada tulang vetebra atas.

Tulang bahagian bawah pula menanggung hampir semua beban dan tekanan tubuh. Ia juga berperanan menghubungkan bahagian atas dan bawah tubuh.

Tulang belakang bawah terdiri daripada tulang vetebra lumbar 1 (L1) hingga lumbar 5 (L5) dan sacrum 1 (S1) hingga sacrum 3 (S3).

Di antara tulang vetebra ini ada satu lapisan tisu dipanggil dis atau "intervetebral disc". Tulang vetebra ini juga berhubung antara satu sama lain dengan sendi yang dipanggil sendi permukaan (facet joint).

Kebanyakan sakit bahagian bawah tulang belakang terjadi disebabkan kombinasi faktor kekejangan otot, kecederaan otot, ligamen, dis dan terlebih penggunaan.

Ramai pakar perubatan percaya ketegangan otot boleh membawa kepada ketidakseimbangan struktur tulang belakang secara keseluruhannya. Ia kemudian membawa tekanan kepada otot, ligamen, tulang dan dis. Keadaan ini menyebabkan kecederaan atau kecederaan berulang.

Faktor menyebabkan kesakitan di bahagian bawah tulang belakang selalunya saling berkait. Misalnya jika otot kejang, anda akan berjalan dengan cara lain bagi mengurangkan kesakitan atau menggunakan otot yang tidak sakit. Tapi sebenarnya, tindakan itu menyebabkan otot lain pula kejang atau cedera.

Tetapi secara lebih terperinci, Dr Badrul berkata, selain kekejangan otot sakit bahagian bawah tulang belakang boleh juga disebabkan disc terkeluar (slipped disc atau prolapsed intevetebral disc (PID) dan stenosis spinal (laluan tulang belakang yang sempit) akibat sendi permukaan (facet joint) yang membengkak dan arthritis di sekitar tulang.

Disc terkeluar (slipped disc)

Apabila disc terkeluar, berlaku himpitan kepada akar saraf (nerve roots) di sekitar tulang vetebra. Ia menyebabkan rasa sakit atau kebas dari hujung saraf iaitu di tapak kaki, kaki, betis, paha ataupun pinggul.

Disc terkeluar kerap berlaku kepada mereka yang berumur kurang 55 tahun. Kerap kali ia terjadi selepas seseorang itu mengangkat beban berat, jatuh terduduk ataupun mengalami kemalangan yang membabitkan tulang belakang.

Kesakitan disebabkan dis terkeluar ini boleh datang mengejut berdasarkan kedudukan, sama ada disc itu terkeluar di sebelah kiri atau sebelah kanan.

Disc terkeluar juga boleh menyebabkan kekejangan otot. Kadang kala batuk, bersin atau meneran boleh menambahkan kesakitan atau kekejangan di tulang belakang. Bagi mereka yang mengalami disc terkeluar yang teruk, kesakitan boleh terjadi jika duduk terlalu lama.

Spinal stenosis

Spinal stenosis lebih kerap dialami mereka yang berusia lebih 60 tahun. Ia terjadi apabila ruang di sekitar tulang belakang yang menjadi laluan akar saraf bertambah sempit disebabkan proses arthritis sendi permukaan di sekitar tulang vetebra (degenerative process).

Selain sakit belakang, pesakit spinal stenoisi turut berasa kebas atau sakit selepas melakukan sesuatu aktiviti atau berjalan. Keadaan ini dikenali 'neurogenic claudication'.

Rawatan

Kata Dr Badrul, slipped disc boleh disahkan dengan Magnetic Resonance Imaging (MRI scan).

Tetapi dalam merawatnya, rehat di katil untuk beberapa hari dan menjalani program fisioterapi sudah mencukupi. Selain itu, ubat anti radang juga dibekalkan bagi mengurangkan kesakitan.

"Sekiranya rawatan ini tidak berkesan, suntikan steroid melalui epidural boleh dilakukan," katanya.

Kebanyakan pesakit slipped disc akan pulih dengan rawatan koservatif dalam masa tiga hingga enam minggu.

Dalam rawatan sakit belakang, pembedahan adalah pilihan terakhir. Biasanya ia menjadi penawar kepada kesakitan kronik atau mengalami kesakitan berulang. Begitupun, tidak lebih 10 peratus pesakit slipped disc memerlukan pembedahan.

Begitu juga bagi mereka yang mengalami spinal stenosis. Rawatan konservatif (rehat dan fisioterapi) akan disyorkan.

Pembedahan kata Dr Badrul hanya akan disyorkan jika tiada perubahan selepas tiga bulan rawatan konservatif, bahagian sakit bertambah kebas dan mengalami lemah anggota, sakit di kaki yang kerap dan kualiti hidup menurun.

"Pembedahan merangkumi pembesaran ruang laluan tulang belakang termasuk pembuangan sendi permukaan dan kadang-kadang "fusion" (cantuman) sekiranya berlaku ketidakstabilan selepas 'laminectomy' (pembedahan menerusi membran tulang) dilakukan.


Anda perlu tahu

Kebanyakan sakit bahagian bawah tulang belakang terjadi selama tiga bulan. Tetapi secara keseluruhan, 60 peratus pesakit akan sembuh dalam satu minggu, 90 peratus akan sembuh dalam enam minggu dan 95 peratus akan sembuh dalam 12 minggu.

Jika bahagian belakang anda pernah tercedera, kemungkinan ia terjadi lagi tetap ada. Selalunya mereka yang sembuh dari sakit bahagian bawah tulang belakang akan mendapati mereka mengalami sakit yang sama kurang setahun. Ada juga yang mengalaminya sekali lagi beberapa tahun kemudian.

Sakit yang kronik dan berpanjangan membuat anda letih, tidak aktif dan kurang produktif. Ia juga akan menjadi pencetus masalah lain.

No comments: