Sunday, December 2, 2007

21. Menyokong pesakit kanser prostat

BERAPA ramai lelaki sanggup membuang rasa malu untuk menjalani pemeriksaan alat sulit bagi mengesan kehadiran kanser prostat? Hakikatnya, perasaan rendah diri dan bimbang jika disahkan menghidap penyakit ini menyebabkan ramai lelaki lebih rela menanggung kesakitan dalam diam dari berusaha mendapatkan rawatan awal.

Bagi kebanyakan orang, pengalaman penyakit kanser memang susah. Mereka mendapati diri mereka menghadapi rawatan yang susah, gangguan kepada cara hidup serta mengalami cabaran menghadapi kehidupan yang tidak menentu.

Kadang-kadang mereka begitu tertekan dengan keadaan yang mereka lalui. Perasaan takut merupakan perasaan yang menakutkan.

Seseorang yang dibelenggu perasaan takut terhalang daripada berfikir secara logik dan waras. Perasaan tersebut juga menyebabkan seseorang terburu-buru membuat keputusan.

Kebanyakan orang mula-mula mengharapkan sokongan keluarga dan kawan-kawan. Tetapi terdapat sejenis sokongan yang ramai pesakit kanser (di antara lima sehingga 12 orang) mendapati, paling memuaskan adalah sokongan daripada seorang pesakit yang pernah melalui pengalaman yang sama.

Terdapat pelbagai cara di mana seseorang pesakit atau penghidap kanser prostat boleh mendapat sokongan moral dan spiritual. Antaranya daripada ahli keluarga terdekat dan mereka yang tersayang, rakan- rakan dan sahabat karib, komuniti keagamaan, doktor perubatan, komuniti-komuniti sokongan atau kumpulan sokongan.

Ramai antara pesakit kanser amnya dan kanser prostat khususnya menggunakan kombinasi sistem sokongan yang dinyatakan seperti di atas. Ahli-ahli keluarga merupakan orang yang penting dan dapat memberi sokongan yang amat bermakna kepada si pesakit.

Selain memberi sokongan moral, ahli keluarga juga perlu melengkapkan diri dengan maklumat yang relevan tentang penyakit kanser prostat.

Mereka juga perlu sentiasa memberi galakan kepada pesakit dan mempunyai perwatakan yang positif supaya pesakit mendapat perangsang daripada mereka yang dikasihi. Pesakit perlu digalakkan berkomunikasi dan membincangkan perasaan mereka.

Ada sesetengah daripada pesakit kanser mendapati bahawa mereka mendapat kekuatan melalui kepercayaan agama dan bersembahyang.

Dalam soal ini, komuniti keagamaan dapat membentuk sistem sokongan yang penting juga kerana terikat dengan kepercayaan agama yang sama.

Bergantung kepada tahap keseriusan penyakit, pesakit seharusnya digalakkan untuk keluar dari rumah dan berjumpa dengan orang lain serta menjalani kehidupan seperti biasa.

Hal ini adalah kerana adalah perlu untuk pesakit agar tidak terlalu berfikir tentang penyakitnya kerana keadaan sedemikian dapat menjejaskan perasaan dan emosinya.

Pendidikan dan kegiatan penyelidikan yang mendalam dapat membantu pesakit serta kaum kerabat yang terdekat mempelajari tentang kanser prostat.

Pengetahuan ini seterusnya akan dapat membantu pesakit membuat pilihan-pilihan gaya hidup, diet, dan sebagainya yang terbaik bagi dirinya. Dalam hal ini, doktor perubatan boleh membantu memberi tunjuk ajar dan nasihat yang terbaik untuk pesakit menghadapi cabaran Tuhan.

Dengan adanya Internet pada zaman sekarang, adalah menjadi lebih mudah bagi seseorang mencari maklumat secara dalam talian.

Bahan-bahan rujukan dari seluruh dunia dapat diakses dengan hanya beberapa klik pada tetikus. Walau bagaimanapun, pesakit perlulah berbincang dengan doktor tentang pilihan mereka.

Kajian juga menunjukkan kebaikan yang ketara daripada menyertai kumpulan sokongan rakan sebaya pesakit kanser untuk membantu mereka menghadapi krisis hidup mereka.

Mereka boleh membantu anda mencari azam dan tekad dalaman yang baru serta cara menghadapi masalah yang timbul akibat kanser bersama rakan yang lebih berkesan.

Kumpulan sokongan ini dapat membuka jalan kepada si pesakit untuk mempelajari lebih banyak tentang penyakit yang mereka hidapi kerana ahli-ahli yang lain sememangnya pernah atau sedang mengalami situasi yang sama.

Mereka dapat memberikan galakkan dan dorongan kepada satu sama lain untuk menguatkan azam demi sembuh dari penyakit.

Seorang fasilitator (kaunselor professional) yang layak serta berpengalaman akan mengendalikan kumpulan ini sekali seminggu selama satu jam. Semua perkara yang dibincangkan dianggap peribadi.

Di Malaysia, kumpulan-kumpulan sokongan lazimnya diadakan di hospital-hospital. Walau bagaimanapun, ada juga pertubuhan-pertubuhan lain yang menawarkan perkhidmatan sedemikian, misalnya Persatuan Kebangsaan Kanser Malaysia.

Untuk maklumat lanjut, Persatuan Kebangsaan Kanser Malaysia boleh dihubingi di talian 03-26987300 atau e-mel: contact@cancer.org.my.

Apa itu prostat?

Prostat adalah kelenjar sistem pembiakan lelaki. Ia menghasilkan sebahagian penting cecair seminal, yang membawa air mani dan sperma sewaktu lelaki mengalami ejakulasi.

Kelenjar prostat terletak di antara/hadapan rektum, dan dasar pundi kencing yang mengelilingi uretra/saluran kencing, iaitu saluran yang menyalurkan air kencing dari pundi kencing ke penghujung zakar. Prostat merangkumi 30 peratus tisu otot dan selainnya terdiri daripada tisu glandular.

Masalah-Masalah Prostat

* Prostatitis: Kelenjar prostat mengalami radangan atau inflamasi. Prostat menjadi bengkak, merah dan panas. Apabila lelaki mengalami Prostatitis, beliau akan dapat merasai kesakitan ketika membuang air kecil dan mungkin berlaku kekerapan kencing, keletihan serta demam.

* Hiperplasia prostatik benigna (BPH): Sering berlaku kepada lelaki berumur 50 tahun ke atas. Apabila seorang lelaki semakin meningkat usia, kelenjar prostat kian membengkak dan menjerut uretra menghasilkan gejala seperti mengalami kesukaran dan kerumitan untuk membuang air kecil.

Lain-lain; kerap kencing (pada waktu malam), keinginan secara tiba-tiba untuk membuang air kecil dan aliran air kencing perlahan dan terputus-putus.

* Kanser prostat: Keadaan di mana terdapat pembesaran sel-sel prostat yang luar biasa.

Apakah itu Kanser Prostat?

Kanser prostat merupakan tumor barah yang merbahaya yang mula tumbuh dalam kelenjar prostat.

Sewaktu tumor membesar, ia mungkin merebak dari satu bahagian daripada prostat ke bahagian yang bersebelahan atau mengelilingi bahagian tersebut.

Kanser prostat boleh merebak dari prostat sehingga ke nod limfa, dan juga pada bahagian yang jauh seperti tulang belakang, tulang rusuk atau bahagian tulang yang lain.

Apakah Tahap Keseriusan Kanser Prostat?

Kanser prostat merupakan penyakit yang amat serius dan boleh membawa maut kerana keupayaannya merebak ke bahagian badan yang lain apabila mencapai peringkat lanjut.

Faktor-Faktor Risiko Kanser Prostat

Keturunan: Lelaki dari negara Amerika dan Eropah berisiko tinggi berbanding lelaki Asia

Umur: Bilangan pesakit kanser prostat tertinggi berada dalam lingkungan lelaki 50 tahun ke atas

Hormon: Paras hormon testosteron tinggi menggalakkan perkembangan tisu kanser prostat

Diet: Mengambil diet tinggi lemak, kurang sayur-sayuran dan makanan mengandungi kandungan serat dan zink serta protein yang rendah boleh meningkatkan risiko menghidap kanser prostat

Sejarah Keluarga: Lelaki yang mempunyai sejarah ahli keluarga lelaki yang disahkan menghidapi kanser prostat dan ahli keluarga wanita yang menghidap kanser berisiko tinggi menghidap kanser prostat

Gejala Kanser Prostat

Sekiranya penyakit ini dikesan pada peringkat awal, kebanyakan lelaki tidak akan mengalami sebarang gejala. Selain daripada gejala BPH, gejala bagi kanser prostat adalah:

* Terdapat darah dalam air kencing

* Terasa sakit atau panas semasa membuang air kecil

* Daya pengaliran air kecil yang atau hilang kawalan terhadap pembuangan air kecil

* Ejakulasi yang menyakitkan

* Penurunan dari segi keinginan seksual

* Kurang upaya dalam mengalami rangsangan seksual

* Kesakitan pada bahagian belakang, pelvis (tulang pinggul), atau bahagian atas paha

* Hilang selera makan

* Kesakitan tulang yang berlanjutan

Cara-Cara mengesan Kanser Prostat

* Pemeriksaan rektal digital (DRE): Memasukkan jari ke dalam rektum (dubur) untuk merasai tisu keras (ketumbuhan) atau saiz prostat.

* pengesanan prostat spesifik antigen (PSA): Ujian ini mengukur paras PSA di dalam sampel darah pesakit. PSA adalah protein yang dikeluarkan oleh prostat.

* Ultrasound: Menggunakan alat menerusi gelombang bunyi untuk mengesan kebengkakan prostat melalui imej di skrin

* Biopsi: Menggunakan jarum mengambil tisu prostat dan melihat bawah mikroskop untuk mengesahkan tisu kanser

Rawatan Kanser Prostat

Terdapat banyak jenis rawatan untuk kanser prostat. Pilihan utama ialah:

* Tunggu dan Lihat: Melihat perkembangan simptom kanser prostat dari masa ke semasa

* Pembedahan: Pembuangan keseluruhan kelenjar prostat

* Radiasi: Menggunakan sinar-X untuk memusnahkan tisu kanser prostat

* Terapi Hormon: Merencatkan aktiviti testosteron. Testosteron menggalakkan perkembangan tisu kanser prostat

* Terapi Kimia (kemoterapi): Menggunakan ubat-ubatan kanser untuk merencat atau memusnahkan tisu kanser prostat

Kesan Sampingan Kanser Prostat

Sebilangan lelaki mungkin mengalami satu atau lebih kesan sampingan berikut yang berpunca daripada rawatan kanser atau dari penyakit itu sendiri iaitu masalah pembuangan air kecil, masalah usus, masalah ereksi dan ketidaksuburan atau kemandulan.

Langkah-langkah pencegahan

Kesan awal kanser prostat boleh menyelamatkan nyawa anda, maka kerap melakukan pemeriksaan perubatan dan lebihkan pemakanan sayur-sayuran dan makanan yang mempunyai zat fiber yang tinggi.

Selain itu, kurangkan pengambilan makanan yang tinggi kandungan lemaknya serta, bersenam dan amalkan gaya hidup yang sihat.

- Dr. Sulaiman merupakan Pakar Radiologi dan Perubatan Nuklear di Pusat Kebangsaan Kanser, Kuala Lumpur. Beliau juga merupakan salah seorang daripada ahli MayFirst Health and Wellness Council (MHWC) – panel pakar yang ditubuhkan oleh syarikat MayFirst Gold Sdn. Bhd. untuk memberi kesedaran kepada orang ramai tentang kanser prostat, melalui kempen CEgah KAnser Prostat (CEKAP).

No comments: