PEMBEDAHAN tanpa persediaan bekalan darah untuk dipindahkan kepada pesakit semasa prosedur surgeri sedang berlangsung atau ringkasnya pembedahan tanpa darah. Mencabar dan agak magik bunyinya.
Apatah lagi jika ia melibatkan pembedahan organ jantung yang sememangnya dikaitkan dengan kehilangan darah yang meluas dan memerlukan banyak darah dalam keadaan stand-by.
Menjadi satu amalan standard di seluruh dunia apabila semua surgeri utama perlu dibekalkan dengan beberapa unit darah sekurang- kurangnya dua unit dan lain-lain produk darah seperti sel darah merah, plasma dan platelet, yang akan diberikan kepada pesakit apabila perlu.
Maka, tidak hairanlah sekiranya prospek bagi pembedahan jantung menjadi sesuatu yang menakutkan bagi kebanyakan pesakit. Namun kini, ada cara yang lebih mesra dan baik sifatnya.
Seperti lazimnya, pembedahan tanpa darah termasuklah pembedahan jantung, sudah sekian banyak dilakukan di luar negara atas pelbagai alasan.
Kalau dahulu, ia dirintis bagi memenuhi tuntutan agama Jehovah’s Witnesses yang melarang penganutnya daripada menerima pemindahan darah, penggunaannya kini kian popular di luar pertembungan kepercayaan dan sains perubatan.
‘‘Pada dasarnya, pemindahan darah adalah selamat memandangkan semua darah akan melalui proses penyaringan daripada jangkitan penyakit.
‘‘Bagaimanapun, tiada jaminan ia selamat sepenuhnya kerana sekalipun penyaringan telah dibuat, terdapat juga penyakit yang tidak diketahui dan keadaan yang dikenali sebagai window period,’’ kata Dr. Pau Kiew Kong.
Menurut Pakar Perunding Bedah Kardiotorasik, Institut Jantung Negara itu, window period bermaksud seseorang itu membawa penyakit tertentu di dalam tubuhnya tetapi ia tidak kelihatan semasa ujian darah.
‘‘Ujian darah tersebut hanya akan menjadi positif beberapa bulan kemudian. Dalam tempoh ini, darah tersebut sebenarnya boleh menjangkiti pesakit yang menerima pemindahan darah,’’ katanya.
Dua dekad lalu, katanya, AIDS tergolong dalam kategori penyakit yang kurang dikenali dan banyak yang telah dijangkiti semasa pemindahan darah sebelum ujian penyaringan HIV/AIDS menjadi satu rutin.
‘‘Walaupun kini situasi sama boleh dikatakan kes-kes terpencil sahaja namun, ia boleh menjadi satu bencana yang sungguh malang.
‘‘Hepatitis merupakan satu lagi kebimbangan utama pemindahan darah yang dikaitkan dengan kanser hati. Banyak subjenis hepatitis yang baru ditemui dan selalunya ia tidak boleh dikesan dengan mudah pada peringkat awal,’’ ujar beliau.
Secara amnya, Dr. Pau membahagikan insidens tidak diingini yang berkaitan dengan pemindahan darah sebagai berjangkit dan tidak berjangkit – mewakili antara 0.5 hingga tiga peratus daripada kesemua pemindahan darah.
Ditanya kelebihan prosedur itu kepada pesakit, tujuan utamanya adalah untuk menghindari daripada kesemua risiko yang berpotensi dikaitkan dengan pemindahan darah.
Dalam masa yang sama, jika lebih banyak pembedahan tanpa darah dilakukan, ia boleh mengurangkan permintaan terhadap darah dari Pusat Darah Negara (PDN).
‘‘Sepanjang Januari hingga September 2006, sebanyak 85 peratus daripada pembedahan pintasan jantung yang dilakukan di IJN memerlukan pemindahan darah. Jika kita mengambil kira lain-lain produk darah, ia mungkin menjangkau melebihi 90 peratus.
‘‘Dalam tempoh yang sama, IJN menggunakan 7,097 unit darah (kira-kira 800 unit darah sebulan) selain 4,648 unit plasma beku segar dan 2,791 unit platelet. Anda lihat sendiri, jumlahnya agak tinggi, bukan?’’
Itu pun, berdasarkan maklum balas yang diberikan oleh PDN, angka-angka berkenaan adalah lebih rendah jika dibandingkan dengan unit-unit kardiak lain di seluruh negara.
Sebetulnya, jika kita amati, darah yang didermakan oleh orang ramai yang berhati mulia begitu berharga nilainya dan bolehlah dianggap sebagai komoditi yang terhad.
Jadi, adalah lebih baik sumber sedia ada yang tinggi permintaannya itu digunakan hanya untuk kes-kes kecemasan seperti trauma iaitu luka atau kecederaan fizikal.
*Pembedahan pertama selepas 10 tahun
Dan jika tiada aral, esok, IJN akan memulakan kembali pembedahan jantung tanpa darah yang pernah dipeloporinya di negara ini kira-kira 10 tahun yang lalu.
‘‘Tidak tahu kenapa ia tiba-tiba hilang begitu sahaja selepas saya melakukannya buat julung kali sedekad nan lalu. Mungkin kerana orang ramai tidak tahu mengenainya.
‘‘Bagi sesetengah pesakit pula, rasa gerun untuk menjalani pembedahan dan pemindahan darah menghalang mereka daripada mendapatkan rawatan yang sewajarnya,’’ kata Dr. Pau.
Sepanjang pengetahuannya, tidak ada unit kardiak lain yang pernah melakukan surgeri tanpa darah yang seumpamanya di negara ini.
Pihaknya kini berhasrat untuk ‘menghidupkannya’ kembali terutamanya setelah mendapat permintaan daripada seorang pesakit berusia 56 tahun yang mengalami masalah injap jantung.
Atas alasan keagamaan, lelaki tersebut yang berasal dari Setapak, Kuala Lumpur tidak boleh menerima sebarang pemindahan darah mahupun produknya yang lain, seperti plasma dan platelet.
‘‘Bagi menghormati kehendaknya itu, kami tidak akan memberikannya sebarang darah atau menyediakan apa-apa jua produk berkaitan darah semasa pembedahan.
‘‘Inilah yang dikatakan pembedahan jantung tanpa darah,’’ katanya sambil tidak menafikan ia merupakan satu cabaran yang besar bagi pakar bedah kardiak (jantung) di mana kebanyakan pakar bedah selalunya akan menolak surgeri sebegini.
Kenapa? ‘‘Kerana pembedahan jantung melibatkan memotong dan menjahit jantung dan pendarahan bukanlah sesuatu yang luar biasa. Selalunya, kami ada jaringan keselamatan pemindahan darah.
‘‘Tambahan pula, pembedahan ini sangat teliti dan kesemua tempat yang berdarah, sekalipun amat kecil perlu dikawal,’’ jelas Dr. Pau.
*Langkah keselamatan
Sebelum pembedahan, Dr. Pau berkata, pesakit akan diberikan ubat-ubatan tertentu bagi meningkatkan darah mereka.
‘‘Kira-kira sebulan sebelum pembedahan tanpa darah, ujian darah akan dilakukan. Kebanyakan pesakit mengalami keadaan anemik di mana tubuh kekurangan jumlah pigmen hemoglobin yang membawa oksigen dalam darah.
‘‘Ubat-ubatan oral iaitu suplemen besi dengan Ferrous Sulphate dan asid folik akan diberikan kepada pesakit bagi meningkatkan jumlah darah mereka,’’ ujar beliau.
Ubat-ubatan lain seperti Erythropoietin merangsang sum-sum tulang untuk menghasilkan sel-sel darah merah yang akan meningkatkan hemoglobin pesakit dengan ketara.
Ia selalunya diberikan secara suntikan di bawah kulit bersama-sama dengan suplemen besi bagi memastikan penyimpanan besi yang memadai dan seharusnya dimulakan sekurang-kurangnya 10 hari sebelum pembedahan dijadualkan (sebaik-baiknya, tiga minggu).
Selain itu, doktor juga akan memberikan ubat-ubatan kepada pesakit dengan tujuan mengurangkan kehilangan darah semasa prosedur pembedahan sedang berlangsung.
Ubat-ubatan memberhentikan pendarahan seperti Trasylol dan Transamin berupaya menolong mengurangkan kehilangan darah.
Menggunakan teknik penyelamat sel pula, darah pesakit akan dikitar semula semasa pembedahan.
Dr. Pau memberitahu: ‘‘Penyelamat sel membolehkan pengumpulan kesemua darah yang hilang semasa surgeri, darah dibersihkan sebelum dikembalikan semula kepada pesakit.
‘‘Gam tisu yang digunakan secara bersesuaian boleh mengurangkan pendarahan mikro dengan ketara semasa pembedahan kardiak.’’
Mengulas lanjut, cecair intravena yang disuntik ke dalam pembuluh darah boleh diberikan sebelum dan semasa pembedahan bagi meningkatkan kuantiti darah pesakit. Dengan cara ini, tekanan darahnya dikekalkan pada paras selamat.
Suhu badan pesakit akan dikekalkan dalam keadaan hangat, begitu juga dengan cecair yang memasuki badannya. Kedudukan tubuh pesakit juga perlu diberikan perhatian.
*Risiko
Di SEBALIK tindakan berjaga-jaga seperti disebutkan di atas, dalam situasi yang jarang- jarang berlaku, pemindahan darah mungkin diperlukan juga.
‘‘Dalam situasi di mana darah diperlukan, ia boleh membahayakan nyawa anda. Kita mesti ingat, pemindahan darah sebenarnya boleh menyelamatkan nyawa dalam keadaan- keadaan tertentu.
‘‘Pesakit perlu memahami risiko-risiko yang berpotensi dan bersetuju untuk menanggungnya. Mereka juga perlu menandatangani dokumen penepian bagi mengesahkan kehendak mereka yang tidak mahukan darah atau produk-produknya,’’ ujar Dr. Pau.
Tuesday, December 11, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment