Tuesday, December 11, 2007

75. Mengurus dislipidemia diabetik

SALAH satu perkara buruk menghidap diabetes – ia mengucar-kacirkan keseluruhan paras lemak darah anda. Ia meningkatkan paras kolesterol jahat lipoprotein berketumpatan rendah (LDL) serta paras trigliserida dan, merendahkan paras kolesterol baik lipoprotein berketumpatan tinggi (HDL) dalam darah.

Akibatnya, terbentuklah lemak darah tidak normal (lipid) yang dikenali sebagai dislipidemia yang boleh berlaku pada sesiapa sahaja terutama sekali jika gaya hidup anda adalah sedentari serta banyak makan makanan yang mengandungi lemak tepu, kolesterol serta asid lemak trans yang tinggi.

Cuma bezanya, kerosakan akibat dislipidemia lebih teruk pada pesakit diabetes kerana lazimnya mereka turut mempunyai paras glukosa darah serta tekanan darah tinggi, di mana kedua-duanya akan merosakkan dinding-dinding arteri.

*Kaitan dengan jantung

Dislipidemia merupakan faktor risiko utama bagi komplikasi kardiovaskular dalam diabetes. Kombinasi paras lipid darah yang tidak normal mengakibatkan pengumpulan kolesterol dan bahan-bahan lain dalam dinding saluran darah anda serta membentuk plak.

Akhirnya, proses aterosklerosis ini akan menyempitkan arteri dan menyekat bekalan darah. Anda mungkin akan mendapat serangan jantung jika aliran darah ke jantung tersekat. Jika di dalam otak, ia menyebabkan strok.

*Tip pengurusan dislipidemia

Mengawal berat badan

Hampir kesemua daripada mereka yang menghidap diabetes jenis 2 mempunyai berat badan berlebihan serta menjalani gaya hidup yang sedentari. Sangat penting bagi mereka untuk mengamalkan tabiat makan yang sihat dan mula menjadi aktif. Kerap bersenam akan merendahkan paras kolesterol LDL dan menaikkan paras HDL.

*Makan dengan betul

Pilih lemak tidak tepu: Jika anda perlu mengambil lemak, pilihlah lemak-lemak poli tak tepu dan mono tak tepu. Lemak poli tak tepu boleh diperoleh daripada minyak tumbuh-tumbuhan (contohnya jagung, bunga matahari, kacang soya), kekeras (contohnya badam, kacang hazel) dan sesetengah jenis ikan seperti ikan salmon dan tuna.

Kesemuanya sangat berguna untuk menurunkan paras kolesterol LDL. Pada masa yang sama ia juga lebih cenderung menurunkan paras kolesterol HDL. Sebaliknya, lemak mono tak tepu mempunyai kesan yang neutral. Lemak-lemak ini datang daripada minyak tumbuh-tumbuhan seperti zaitun, kanola dan kacang tanah.

Kurangkan lemak tepu: Lemak-lemak tepu lebih cenderung menaikkan paras kolesterol LDL. Lemak tepu yang berbahaya ini kebanyakannya terdapat dalam haiwan atau makanan bersumber haiwan termasuk makanan tenusu lemak penuh (contohnya susu penuh krim, mentega dan keju), lemak daging (contohnya minyak sapi, lemak daripada daging lembu dan ayam) serta beberapa minyak tumbuh-tumbuhan (contohnya minyak kelapa dan santan).

Katakan tidak kepada asid lemak trans: Ia menaikkan paras kolesterol LDL jahat serta menurunkan paras kolesterol HDL baik. Asid lemak trans boleh didapati dalam barangan makanan yang dibakar secara komersial, marjerin, makanan snek serta makanan yang telah diproses yang mengandungi lemak yang telah terhidrogenasi.

Hadkan makanan berkolesterol tinggi: Elakkan makanan berkolesterol tinggi yang terlalu banyak seperti udang, ketam, tiram, sotong, kuning telur dan organ dalaman (hati, buah pinggang, usus, otak) yang boleh menaikkan paras kolesterol LDL.

Kawal pengambilan karbohidrat anda: Sesetengah kajian mendapati, pengambilan karbohidrat yang berlebihan (lebih 55 peratus daripada jumlah kalori keseluruhan) akan menaikkan paras trigliserida anda. Oleh itu, pengambilan jumlah karbohidrat kompleks yang munasabah (contohnya nasi, roti, ubi-ubian dan mi) adalah sangat penting.

Lebihkan serat larut: Serat larut boleh didapati dalam oat, barli dan legum manakala serat tidak larut, terdapat dalam sayur-sayuran dan buah-buahan. Jumlah keseluruhan pengambilan serat adalah 20-30gm sehari, di mana sekurang-kurangnya 6gm daripada jumlah tersebut perlu terdiri daripada serat larut (contohnya beta–glukan).

Serat larut akan terikat kepada asid-asid hempedu yang kaya dengan kolesterol di dalam perut anda serta mengeluarkan mereka menerusi usus anda. Ini bermakna kolesterol tidak akan memasuki aliran darah anda, menyebabkan paras kolesterol darah yang lebih rendah serta mengurangkan risiko penyakit jantung.

Serat larut merupakan makanan karbohidrat rendah GI (Indeks Glisemik) yang akan melambatkan pencernaan serta penyerapan agar glukosa (gula) dalam makanan anda mengambil masa yang lebih lama untuk memasuki aliran darah anda. Ini akan mengelakkan kenaikan paras glukosa darah yang mendadak serta memastikannya kekal stabil.

*Pentingnya ubat-ubatan

Walaupun makan dengan betul serta bersenam secara kerap adalah sangat penting dalam pengurusan dislipidemia diabetik, jarang sekali ia dapat menurunkan paras kolesterol LDL sebanyak lebih daripada 10-20 peratus. Doktor mungkin mencadangkan agen-agen merendahkan kolesterol, terutama sekali jika paras lipid anda masih tinggi selepas tiga bulan menjalani terapi diet yang intensif.

Ubat-ubatan mungkin akan disyorkan pada peringkat yang lebih awal bagi mereka yang mempunyai paras kolesterol LDL yang sangat tinggi (lebih daripada 4.9 mmol/L) serta mereka yang berisiko tinggi untuk mendapat penyakit jantung. Dalam kes-kes sedemikian, terapi ubat-ubatan akan dijalankan seiring dengan diet serta bersenam dari peringkat yang lebih awal lagi.

Statin, fibrat, asid nikotinik atau niasin serta perencat serapan kolesterol merupakan ubat-ubatan yang akan membantu menurunkan paras kolesterol LDL. Sesetengah ubatan juga akan mengurangkan paras trigliserida dan/atau menaikkan paras kolesterol HDL.


Terapi ubat-ubatan, tidak kira bagaimana keberkesanannya sekalipun, bukanlah pengganti diet dan juga senaman. Suatu pendekatan yang menyeluruh diperlukan untuk membantu memastikan kejayaan keseluruhan sebarang pelan rawatan.

*Berhenti merokok

Merokok akan merosakkan arteri-arteri serta menaikkan paras kolesterol dan ini akan mengakibatkan anda mempunyai dua kali lebih cenderung untuk mendapat serangan jantung berbanding dengan mereka yang tidak merokok.

Ciri-ciri dislipidemia diabetik jenis 2

- Kenaikan serum trigliserida, lazimnya 1.5 – 3.0m

mol/L dan kolesterol HDL adalah 10-20% lebih rendah dari populasi kawalan

- Paras kolesterol LDL yang normal atau lebih rendah dari populasi am. Kualiti LDL yang tidak normal. Ini adalah LDL berketumpatan rendah yang sangat aterogenik. Ia tidak boleh diukur menggunakan ujian kolesterol LDL yang biasa

l Kekurangan ketidaknormalan yang menonjol mungkin akan memberikan perasaan selamat yang tidak benar serta menyebabkan kecuaian terapeutik yang tidak benar oleh pakar perubatan klinikal.

Dislipidemia diabetik merupakan suatu masalah besar biarpun dengan pengawalan glukosa darah yang baik. Mereka yang menghidap penyakit ini merupakan calon-calon berpotensi untuk terapi penurunan lipid yang khusus. Walaupun mempunyai kepekatan kolesterol LDL yang normal, namun masih terdapat jumlah LDL berketumpatan rendah yang banyak serta modifikasi pada LDL: Pengoksidaan dan pengglikosilan.

LDL berketumpatan rendah akan menembusi dinding arteri dengan lebih senang berbanding partikel-partikel besar dan kemudiannya akan bergabung dengan proteoglikan. Glikosilasi LDL akan menjejaskan penyingkiran menerusi laluan reseptor LDL, membawa kepada peningkatan kadar penyerapan makrofaj serta menggalakkan pembentukan sel buih. Oleh itu, beberapa mekanisme mungkin akan dapat membantu menyebabkan kepekatan LDL normal lebih aterogenik dalam diabetes.

Justeru, menurut saranan Persatuan Diabetes Amerika Syarikat untuk tahun 2007, paras sasaran kolesterol LDL bagi pesakit diabetes adalah di bawah 2.6 mmol/L, trigliserida di bawah 1.7mmol/L dan kolesterol HDL di atas 1.0mmol/L. Bagi pesakit diabetes berisiko tinggi untuk mempunyai penyakit arteri koronari, sasaran paras kolesterol LDL perlu di bawah 1.8mmol/L.

- Dr. Khoo Kah Lin merupakan Pakar Perunding Kardiologi, Yayasan Jantung Malaysia.

Artikel ini sumbangan dari Program Menangani Wabak Diabetes (FAD) Penjagaan Jantung yang dianjurkan oleh Institut Diabetes Negara (NADI). Program ini disokong dengan geran pendidikan tanpa syarat daripada Roti Gardenia Breakthru.

No comments: