BUASIR (Hemoroid) atau pembengkakan vaskular merupakan satu penyakit sosial yang disebabkan oleh pengembangan vena di bahagian dubur.
Dianggarkan sebanyak 50 peratus penduduk dunia mengalami gejala yang dikaitkan dengan buasir, sekurang-kurangnya sekali seumur hidup mereka.
Malangnya, hanya sebahagian daripada jumlah itu pergi mendapatkan rawatan perubatan manakala selebihnya memilih untuk mencuba rawatan tradisional, membeli ubat- ubatan dari kedai atau farmasi kerana malu disebabkan ia terjadi di bahagian sulit.
Lama-kelamaan buasir yang dialami menjadi bertambah teruk dan mengganggu kehidupan harian pesakit sehingga memerlukan pembedahan.
Pada tahap itu pun, masih ramai yang enggan mendapatkan rawatan kerana beranggapan, pembedahan menyakitkan.
Malah, ada yang merasakan pembedahan boleh mengecilkan saluran dan mengganggu sistem pembuangan mereka.
Anggapan mereka itu mungkin benar bagi pembedahan konvensional tetapi tidak dengan teknik rawatan buasir terbaru iaitu Procedure for Prolapse and Haemorrhoids (PPH).
Menurut Pakar Runding Kolorektal dan Pembedahan Am, Hospital Pantai Putri Tambun, Ipoh, Perak, Dr. M. Sarkunnathas, melalui kaedah pembedahan PPH, kesakitan yang dialami pesakit berada pada tahap minimum, atau sama sekali tidak menyakitkan.
Katanya, walaupun kos pembedahan PPH lebih mahal berbanding pembedahan konvensional namun kesakitan tidak boleh dinilai dengan wang ringgit.
‘‘Sejak tahun 2000, saya telah melakukan lebih 700 pembedahan buasir melalui kaedah PPH dan peratus pesakit kembali mendapatkan rawatan cuma tiga peratus,” katanya.
Beliau berkata demikian pada satu sidang akhbar khas bertujuan mewujudkan kesedaran di kalangan para pesakit buasir mengenai rawatan PPH di Ipoh, baru-baru ini.
Menurut Dr. Sarkunnathas, penghidap buasir tidak perlu terus menderita tanpa mendapatkan rawatan perubatan kerana buasir sememangnya boleh diubati dengan kadar penyembuhan yang sangat cepat serta tidak menyakitkan.
Apakah rawatan PPH?
Dr. Sarkunnathas berkata, rawatan melalui kaedah PPH menggunakan sejenis alat pakai buang seperti pengokot berbentuk bulatan yang mengikat dan memotong buasir.
Katanya, PPH dilakukan dengan menarik buasir yang terkeluar kembali ke kedudukan asal, kemudiannya membuang mukosa prolaps rektal dan menyebabkan buasir yang bengkak mengecut.
‘‘Pesakit tidak akan berasa sakit kerana pembedahan berlaku pada jarak 4 sentimeter dalam saluran dubur yang kurang saraf,” katanya.
PPH juga dikenali sebagai Teknik Longo mengambil sempena nama penciptanya Dr. Antonio Longo dari Jabatan Pembedahan, Universiti Palermo Itali pada tahun 1993 untuk merawat buasir prolaps teruk.
Ia mula diamalkan sejak tahun 1998 secara meluas tetapi hanya setahun kemudian dijalankan di Malaysia.
Ia diperkenalkan sebagai usaha sama dengan Ethicon Endo Surgery, cabang Johnson & Johnson Medical yang mengeluarkan alat itu.
Kelebihan-kelebihan PPH
Berbanding pembedahan biasa, kata Dr. Sarkunnathas, PPH mempunyai banyak kelebihan dan secara keseluruhan, kosnya lebih menjimatkan. Rawatan PPH popular di kalangan para pesakit buasir kerana;
* Kesakitan pada tahap minimum atau tidak sakit langsung
* Kurang ketidakselesaan selepas pembedahan
* Tidak ada kesan luka atau meninggalkan parut di kawasan luar dubur (luka 4 sm hanya berada di dalam dubur)
* Penjagaan luka bukan satu masalah
* Masa pembedahan antara 10 hingga 15 minit sahaja dan tempoh singkat tinggal di hospital
* Boleh kembali ke aktiviti normal dalam tempoh tiga hingga lima hari
* Tidak mengganggu atau menjejaskan sistem pembuangan
* Tidak memerlukan rawatan perubatan yang lama selepas pembedahan
Pengalaman pesakit
Seorang pesakit dari Taman Kinta, Ipoh, Perak yang pernah menjalani pembedahan melalui kaedah PPH pada tahun 2005 berkata, dia kembali menjalani aktiviti normal pada hari ketiga selepas pembedahan.
Pesakit yang enggan dikenali itu berkata, sebelum ini dia telah mencuba pelbagai rawatan termasuk tradisional dan membeli ubat-ubatan dari farmasi tetapi hanya menunjukkan sedikit perubahan.
‘‘Empat minggu sebelum pembedahan, saya mengajak Dr. Sarkunnathas datang ke rumah untuk melihat sendiri buasir saya kerana saya segan untuk pergi ke klinik.
‘‘Dia cadangkan PPH kepada saya, dia beritahu saya bahawa teknik itu tidak menyakitkan dan boleh gunakan ubat pelali jika saya takut sakit,” ujarnya.
Jelas beliau, dia tidak berasa sakit langsung semasa pembedahan tetapi hanya berasa sakit sedikit semasa berada di dalam wad.
‘‘Kadang-kadang, rasa gatal pada bahagian dubur dan kurang selesa tetapi masa penyembuhannya sangat cepat, saya boleh kembali kepada aktiviti normal pada hari ketiga,” katanya.
Apakah penyebab buasir?
Terdapat banyak teori mengenai faktor-faktor yang membawa kepada buasir tetapi sehingga kini pengamal- pengamal perubatan masih tidak tahu punca sebenarnya.
Bagaimanapun, faktor-faktor seperti keturunan, mengandung, tumor pelvik, meneran ketika membuang air besar dan sembelit dianggap sebagai sebab-sebab biasa yang boleh mengakibatkan seseorang mengalami buasir.
Bagi Dr. Sarkunnathas, buasir merupakan penyakit orang-orang kaya kerana terlebih nutrisi dan darah.
‘‘Orang-orang Afrika mempunyai kebarangkalian yang rendah untuk mendapat buasir kerana mereka kurang makan.
‘‘Individu yang menggunakan tandas cangkung juga mempunyai kemungkinan lebih tinggi untuk mendapat buasir berbanding mereka yang menggunakan tandas duduk,” katanya.
Bagaimanakah buasir terjadi?
Di dalam saluran dubur manusia terdapat struktur yang dikenali sebagai vaskular endocushions yang menyebabkan otot-otot dubur kenyal. Biasanya, struktur ini kecil dan tidak ketara.
Walau bagaimanapun, apabila seseorang itu mengalami sembelit ataupun meneran semasa membuang air besar, struktur ini membengkak. Selepas beberapa lama, ia hilang sifat kenyalnya lalu terjulur keluar daripada anus (bukaan tempat najis keluar).
Proses ini sering diiringi dengan pendarahan (Greek: Haemorrhoids = pengaliran darah) dan akhirnya menjadi buasir (Latin: pila = jisim). Dalam kata lain, buasir adalah akibat langsung sembelit dan proses meneran.
Simptom-simptom buasir
Buasir dikelaskan kepada empat tahap iaitu:
Tahap 1: Ini adalah buasir tahap awal. Pesakit biasanya mengalami pendarahan semasa membuang air besar dan berasa gatal atau sakit pada bahagian dubur.
Tahap 2: Buasir sudah terjulur keluar tetapi masuk dengan sendirinya selepas proses membuang air besar.
Tahap 3: Buasir sudah terjulur keluar dan tidak akan masuk kembali selepas membuang air besar melainkan ditekan masuk ke dalam dubur.
Tahap 4: Buasir tahap ini kekal di luar anus dan boleh mengalami pendarahan dalaman, luka dan bernanah. Peringkat ini mengakibatkan sakit yang serius.
Bolehkah buasir diubati?
Buasir tahap satu dengan pendarahan biasanya diberikan ubat vasotopik dan dinasihat mengambil diet tinggi serat seperti buah-buahan, sayur-sayuran dan bijirin tinggi serat di samping ubat Daflon. Pendarahan biasanya berhenti selepas dua hingga tiga hari.
Buasir tahap dua juga akan dirawat dengan kaedah sama tetapi langkah tambahan perlu dilakukan kerana pada tahap ini, jisim sudah terkeluar dari anus.
Prosedur yang dilakukan adalah ligasi getah (rubber ligation), suntikan fenol dan fotokoagulasi. Buasir pada tahap tiga dan empat memerlukan pembedahan – biasanya menggunakan kaedah hemorhoidektomi.
Bagaimanapun, ia prosedur menyakitkan manakala proses penyembuhan mengambil masa sehingga sebulan lamanya berbanding kaedah PPH. Pesakit juga boleh kembali menjalankan rutin seharian dengan lebih cepat.
Tuesday, December 11, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment