Sunday, December 2, 2007

23. Pupuk kesedaran jangkitan HI

SETAHUN selepas kematian suami, itu pun secara tidak sengaja tergerak hatinya untuk menjalani pemeriksaan kesihatan secara percuma di kaunter yang dibuka berhampiran tempat tinggalnya, barulah Jamalia mengetahui yang dia selama ini hidup dengan HIV.

Apabila disahkan positif HIV - sukar untuk dia mempercayainya. Ini kerana wajahnya yang ditatap di cermin - bukan cengkung dan pucat seperti yang kerap ditonton dalam drama televisyen.

Apatah lagi dia bukan penagih dadah atau pengamal seks rambang seperti diuar-uarkan dalam iklan - jadi tidak mungkin dia dijangkiti wabak senyap itu.

Namun setelah membuat sedikit penyelidikan dan ditemukan pula dengan orang lain yang juga hidup dengan HIV, barulah dia menerima yang itu nasibnya.

Jamalia - suri rumah yang setia dengan satu pasangan hidup - dijangkiti virus itu daripada arwah suaminya yang merupakan bekas penagih dadah suntikan.

Jamalia ialah antara 5,373 wanita di negara ini yang hidup dengan HIV dan AIDS yang jumlah keseluruhannya termasuk kanak-kanak mencecah 67,234 orang.

Sejak kes pertama didiagnosis di negara ini pada 1986, sebanyak 9,155 kematian akibat penyakit berkaitan AIDS dicatatkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

Pada 2006 sahaja, sebanyak 5,830 kes baru jangkitan HIV dilaporkan dengan 976 kematian.

Mengikut profil KKM, 73 peratus orang yang hidup dengan HIV (OHIV) di negara ini ialah pengguna dadah suntikan dengan 37 peratus berusia 29 tahun ke bawah.

Dengan 11, 780 kes baru dilaporkan di seluruh dunia setiap hari dan di Malaysia sahaja purata 16 kes, tidak ragu-ragu lagi HIV dan AIDS merupakan ancaman wabak yang utama bagi manusia.

Mengambil pengalaman Jamalia, tahap pemahaman yang rendah dan salah faham tentang HIV dan AIDS terutama di kalangan kumpulan yang berisiko tinggi dijangkiti menjadi punca peningkatan kes saban tahun.

Menurut Penasihat HIV dan AIDS Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) bagi Rantau Asia Timur dan Pasifik, Wing-Sie Cheng, dianggarkan sebanyak 45 juta kes baru akan dicatatkan menjelang 2010 sekiranya langkah-langkah pencegahan yang lebih berkesan tidak diambil.

Pada tahun lalu sahaja, katanya, 4.3 juta orang dijangkiti HIV dengan 530,000 daripadanya kanak-kanak.

‘‘Malaysia merupakan negara kelima terpantas dari segi pertumbuhan epidemik HIV di rantau Asia Pasifik dengan transmisi (pemindahan) virus melalui hubungan seks menunjukkan trend membimbangkan.

‘‘Dalam hal ini, masalahnya bukan kekurangan infrastruktur kerana kerajaan Malaysia telah melaksanakan sebaik mungkin untuk meningkatkan kesedaran tentang bahaya HIV dan AIDS malangnya rakyat yang kurang memberi perhatian,’’ katanya dalam satu pertemuan anjuran UNICEF di Subang Jaya baru-baru ini.

Kebanyakannya enggan dan liat menjalani ujian HIV - kerana merasakan ‘tidak mungkin aku’ yang dijangkiti.

Wabak AIDS secara senyap membarah di negara ini ekoran salah tanggapan yang melabelkan hanya orang tidak bermoral atau secara kasarnya - pelacur dan golongan homoseksual sahaja yang akan dijangkiti HIV.

Hakikatnya walaupun bukan pekerja seks atau pengamal seks sejenis mahupun penagih yang berkongsi jarum suntikan - anda juga tidak selamat.

Lebih-lebih lagi jika anda ialah pasangan yang setia kepada tiga kumpulan di atas atau anak kepada OHIV.

Mungkin sukar diterima tetapi sebenarnya sudah tidak lagi menjadi rahsia kata Cheng, peningkatan kes HIV di Malaysia juga akibat semakin ramai lelaki kini pengamal biseksual.

‘‘Hidup dengan dua identiti - secara terbuka sebagai lelaki normal, berkahwin dan mempunyai anak tetapi secara sembunyi terus mengamalkan kehidupan tidak selamat - lalu memindahkan HIV kepada isteri dan anak,’’ ujarnya.

Dalam hal ini, vaksin terbaik menangani wabak HIV ialah melalui pendidikan.

Katakan ‘Tidak, kepada AIDS!’ dengan menjauhi perlakuan yang mendedahkan kita dan orang yang tersayang kepada risiko jangkitan, bukannya meminggirkan OHIV.

Utusan Malaysia 1/12/07

No comments: