Sunday, December 23, 2007

130. Saluran darah tersekat punca strok

STROK masalah kesihatan yang kerap berlaku di sekeliling kita. Ia merujuk pada keadaan pengaliran darah ke sebahagian otak terjejas akibat saluran darah tersekat. Selain itu mungkin boleh berlaku atau perdarahan dan ia mengakibatkan perubahan fungsi sistem saraf.


Siapa yang berisiko ?

Umur yang meningkat melebihi 55 tahun

Pesakit kencing manis

Tahap kolesterol yang tinggi

Pesakit darah tinggi

Tahap asid urik dalam darah yang tinggi

Wanita yang sudah putus haid.

Wanita putus haid yang mengambil rawatan hormon

Pesakit yang berhadapan dengan masalah jantung yang kembang

Perokok

Peminum arak


Gejala dan tanda

Bergantung kepada bahagian otak yang terjejas, tanda stok berbeza. Ia boleh berlaku dengan mendadak, iaitu dalam beberapa minit atau dalam tempoh 24 jam, terutama jika ia berpunca dari perdarahan. Ia juga boleh berlaku dalam beberapa hari jika berpunca dari pembekuan darah dalam saluran darah.

Selain itu strok boleh menimbulkan gejala seperti;

Pening kepala atau persekitaran berpusing

Sakit kepala yang mendadak dan berpanjangan

Muntah

Hilang sebahagian atau seluruh penglihatan

Tidak dapat bertutur dengan lancar

Kebas dan rasa tebal sebahagian muka

Tidak boleh telan

Kebas sebahagian lengan dan kaki

Tidak dapat menggerakkan sebahagian lengan dan kaki

Hilang kesedaran


Rawatan

Rawatan asas adalah merehatkan diri. Selain itu, pesakit perlu berjumpa pengamal perubatan untuk pastikan jenis dan punca strok. Doktor akan menjalankan beberapa ujian iaitu pemeriksaan darah, pemeriksaan kencing, X-ray dada, imbasan CT (CT Scan) atau imbasan magnetik resonan (MRI).

Apabila punca diketahui rawatan akan diberikan untuk mengawalnya. Jika puncanya saluran darah tersumbat, doktor akan beri ubat untuk cairkan darah. Bila pesakit stabil dia akan menjalani rawatan pemulihan fisioterapi dan pemulihan kerja.

Pencegahan

Bagi mereka yang berisiko tinggi dinasihatkan mengawal risiko yang mereka ada. Antaranya, mengawal berat badan, melakukan senaman berkala, mengawal tahap gula darah dengan sempurna, mengawal tekanan darah dan mengawal tahap kolesterol darah.

Bagi wanita putus haid berbincang dengan doktor anda sebelum mengambil rawatan hormon dan berhenti merokok serta berhenti mengambil arak.

Dinasihatkan juga, bagi mereka yang berisiko selalu berjumpa doktor untuk rawatan susulan dan mengambil rawatan dengan tepat dan disiplin supaya tahap risiko rendah. Bila berlaku tanda yang awal segera berjumpa doktor untuk pemeriksaan dan ujian dapat dilakukan. Ini membantu mengetahui punca serangan dengan cepat. Rawatan pencegahan lebih bermakna dari rawatan sesudah diserang strok.

Disediakan Kol (B) Dr Abd Rahman Mohd Ali, Pakar Perubatan Am & Kardiologi DEMC, Shah Alam

No comments: