Dr. Rosli Allani Abdul Kadir (Pegawai Perubatan Neurosains/Pensyarah Pelatih Rehabilitasi
Jabatan Neurosains Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan)
REHABILITASI atau pemulihan di dalam bidang perubatan merujuk kepada satu proses berterusan untuk mengembalikan keupayaan seseorang pesakit dengan mengurangkan ketidakupayaan fizikal (dan mental) akibat dari sesuatu penyakit, kecederaan ataupun peristiwa yang berlaku.
Perubatan rehabilitasi merupakan antara pengkhususan yang baru di dalam dunia perubatan yang mana di negara membangun seperti United Kingdom sekalipun, ia wujud hanya sekitar 30 tahun yang lepas.
Antara pakar perubatan awal yang mengkhususkan diri di dalam bidang ini adalah pakar runding reumatologi yang berhadapan dengan penyakit-penyakit yang menyerang sendi-sendi secara kronik dan periodik.
Kini, rehabilitasi telah berkembang luas. Terdapat pelbagai jenis pengkhususan dalaman termasuklah pemulihan saraf dan saraf tunjang, pemulihan jantung, pemulihan paru-paru dan pemulihan selepas amputasi (kehilangan anggota badan).
Rehabilitasi juga dikaitkan dengan pemulihan dari ketagihan termasuk dadah, arak dan pelbagai ubat-ubatan. Ini memerlukan kemahiran khusus terutamanya dari sudut psikologi.
Proses rehabilitasi bermula apabila doktor dapat menentukan bahawa pesakit adalah stabil dari segi perubatan dan akan menerima manfaat dari rehabilitasi.
Kebanyakan perkhidmatan rehabilitasi memerlukan arahan dari doktor untuk dimulakan. Perkhidmatan rehabilitasi boleh disediakan di pelbagai tempat seperti hospital yang memberikan rawatan penyakit akut, kemudahan pesakit luar dan di rumah, melalui bantuan agensi kesihatan
Keberkesanan proses rehabilitasi
Rehabilitasi memerlukan penyertaan yang aktif dari penerimanya dengan bantuan jurupulih terlatih untuk memastikan keberkesanannya. Ini termasuklah jurupulih fizikal (fisioterapi), jurupulih cara kerja, jurupulih percakapan dan jurupulih mental (psikologi).
Doktor berfungsi untuk memastikan input dan penyelerasan proses pemulihan serta jangka masa yang dikira optimum untuk kesinambungan dan rawatan susulan.
Ini termasuk melibatkan pakar-pakar yang diperlukan seperti memeriksa penglihatan, pendengaran dan rawatan susulan dari kecederaan dan masalah lain yang timbul.
Penggunaan ubat seperti Botulinum Toxin A untuk spastisiti, ubat-ubatan penahan sakit saraf dan pelbagai lagi kaedah perawatan seperti pam intratekal baclofen memerlukan kemahiran spesifik dan melibatkan kos yang agak tinggi.
Adalah menjadi tanggungjawab pakar runding rehabilitiasi untuk memastikan pesakit yang sesuai dan layak sahaja mendapat rawatan tersebut.
Di samping itu, jururawat dan pegawai kebajikan terlatih merupakan dua lagi individu penting di dalam kejayaan proses rehabilitasi.
Di peringkat hospital, tanggungjawab dan peranan yang dimainkan oleh jururawat memastikan kesihatan pesakit terjaga di samping membantu aktiviti seharian mereka.
Tugas menjaga pesakit boleh dikongsi bersama penjaga untuk memastikan mereka dapat menjaga pesakit dengan baik apabila keluar dari hospital kelak.
Penjagaan yang baik dapat menghindari pelbagai komplikasi yang boleh membahayakan pesakit, contohnya ulser dekubitus.
Pesakit yang lumpuh bahagian bawah badan akibat kecederaan saraf tunjang mempunyai risiko yang besar untuk menghadapinya jika proses menghindarinya tidak berlaku.
Antaranya, membalikkan pesakit setiap dua jam sekali. Manakala di peringkat komuniti, jururawat juga diperlukan dan berperanan membantu penjagaan pesakit dari semasa ke semasa.
Tugas pegawai kebajikan terlatih pula adalah memastikan pesakit yang dikira sebagai golongan orang kurang upaya (OKU) ini mendapat sokongan, maklumat dan bantuan yang mencukupi dalam konteks kebajikan.
Proses penyesuaian di dalam dan luar rumah, bahu jalan yang mudah dilalui dengan kerusi roda, sistem dan kemudahan pengangkutan yang disesuaikan untuk OKU merupakan sebahagian tanda keprihatinan kita untuk membantu golongan berkenaan.
Sokongan keluarga dan masyarakat
Pemulihan juga memerlukan sokongan dari pihak keluarga dan anggota masyarakat untuk memastikan pencapaian yang maksimum.
Sokongan moral dari ahli keluarga dan masyarakat, khususnya mereka yang mempunyai pengalaman hidup dan masalah yang sama memberi dorongan kepada individu yang kurang upaya untuk berfungsi dengan lebih baik sebagai ahli masyarakat.
Sasaran utama proses rehabilitasi adalah untuk menghasilkan individu yang paling minimum tahap kebergantungannya terhadap individu lain dengan penggunaan alat-
alat bantuan pemulihan (ortosis) dan pelbagai kaedah serta peralatan yang disesuaikan mengikut ketidakmampuan seseorang itu.
Di dalam proses rehabilitasi akut dan pertengahan, biasanya pasukan rehabilitasi akan berbincang dan meletakkan sasaran yang dirasakan boleh dicapai oleh pesakit selepas memeriksa mereka dan berusaha untuk mencapai sasaran tersebut.
Proses pemulihan, contohnya yang melibatkan kecederaan otak mengambil masa untuk pulih ke fungsi maksimum yang boleh dicapai oleh seseorang pesakit.
Ini dapat dilihat dalam dua tahun pertama dari masa kecederaan. Maka, amatlah wajar memberi peluang kepada setiap pesakit untuk terus berusaha mencapai yang terbaik.
Sebagai contoh, sekiranya seseorang itu terkena angin ahmar (strok) yang menyebabkan lumpuh, maka proses rehabilitasi akan dimulakan dengan mengambil kira tahap kebolehan dan meletakkan sasaran yang dirasakan boleh dicapai oleh seseorang itu.
Contohnya, menyasarkan seseorang itu dapat bergerak sendiri dengan tongkat ataupun alat bantu lain, melakukan kegiatan seharian sendiri seperti makan, minum, berpakaian, menjaga kebersihan personal termasuk mandi dan membersihkan diri mereka.
Selain itu, terapi yang dilakukan cuba untuk memberi kemahiran berkomunikasi di dalam pertuturan dan bahasa, kemahiran kognitif seperti daya ingatan atau menyelesaikan masalah dan kemahiran bersosial seperti berinteraksi dengan orang lain.
Kesan daripada serangan ke atas otak bermakna pesakit itu perlu mengubah, belajar semula atau mengatur semula cara dalam menjalani kehidupan seharian mereka.
Rehabilitasi dengan kata lain dibentuk untuk membantu mereka kembali hidup berdikari dan berfungsi sebaik mungkin sebagai ahli masyarakat tanpa prejudis.
Rehabilitasi dalam kebanyakan kes tidak akan menghapuskan seratus peratus kesan dari serangan ke atas otak itu.
Matlamatnya adalah untuk membina kekuatan, kebolehan dan keyakinan diri pesakit agar mereka mampu meneruskan aktiviti harian dengan suasana yang paling selesa walaupun pada hakikatnya mereka bukan lagi sama dari segi fizikal dan mentalnya berbanding dengan sebelumnya.
Di sinilah pentingnya peranan jurupulih psikologi dalam mengenalpasti sebarang masalah termasuk kemurungan yang dihadapi oleh pesakit dalam menerima hakikat kecacatan seumur hidup yang telah mereka alami.
Penerapan unsur-unsur kerohanian diharapkan juga dapat memberi semangat kepada mereka dalam menghadapi ketentuan itu.
Rehabilitasi bersumber daya masyarakat adalah bertujuan melatih ahli keluarga dan mereka yang akan terlibat di dalam proses menjaga pesakit agar mampu menghadapi sebarang perubahan dan cabaran, setidak tidaknya bersikap adil kepada pesakit.
Antara kemudahan yang patut disediakan adalah pusat-pusat sumber dan rekreasi untuk mereka beraktiviti dan mengenali OKU yang lain, melibatkan mereka dengan persatuan persatuan yang ditubuhkan untuk mengumpulkan pesakit pesakit tertentu seperti Cerebral Palsy, Multiple Sclerosis dan pelbagai lagi penyakit saraf.
Hal ini akan meningkatkan peluang dan proses pemulihan serta integrasi dengan masyarakat di samping memberi peluang kepada penjaga untuk bertukar tukar pandangan.
Sokongan dan pengiktirafan dari pihak kerajaan
Banyak langkah-langkah yang telah diambil oleh kerajaan melalui kementerian untuk memberi bantuan secara langsung mahupun tidak langsung kepada OKU.
Antaranya kemudahan pendidikan, bantuan kerjaya termasuklah kuota kepada mereka dan pelbagai lagi. Ini termasuklah pusat pusat pemulihan yang dibina khusus untuk memberi latihan kepada mereka.
Antara pusat pemulihan yang dibina khusus untuk membantu dalam mencapai matlamat ini adalah Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan (PLPP) Bangi.
Ia adalah sebuah institusi di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang memberikan perkhidmatan kepada OKU melalui latihan vokasional dan pemulihan perubatan.
Dibangunkan pada Mac 1999, penubuhan PLPP yang terletak di Sungai Merab, Kajang, Selangor ini memberi perkhidmatan komprehensif kepada OKU untuk mendapatkan kemahiran vokasional yang bersesuaian.
Ia juga bertujuan mengembalikan kemahiran yang telah hilang akibat kemalangan bagi meningkatkan kemampuan OKU bekerja dan berdikari serta mengambil langkah awal pemulihan bagi mengelakkan kecacatan mereka bertambah teruk.
PLPP juga menyediakan sumber latihan bagi penuntut perubatan, jurupulih anggota, juruteknik prostetik dan ortortik selain menjadi pusat sumber untuk kajian dalam bidang pemulihan OKU.
Ramai di kalangan OKU yang mendapatkan latihan kemahiran di situ dapat berdikari dengan mempunyai pendapatan sendiri setelah diambil bekerja dalam sektor-sektor swasta mahupun kerajaan
Adalah menjadi tanggungjawab semua pihak yang terlibat dengan OKU dan para pesakit sebegini untuk memastikan mereka mendapat perhatian, pembelaan dan peluang untuk merubah nasib mereka.
Monday, December 10, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment