Sunday, December 9, 2007

26. AIDS/HIV

AIDS pertama kali dilaporkan pada pertengahan 1981 di Amerika Syarikat (AS), dipercayai berasal dari Afrika Sub-Sahara.

HIV yang menyebabkan AIDS dikenal pasti pada tahun 1983, dan menjelang tahun 1985, ujian untuk mengesan virus tersebut mula diperkenalkan.

Penemuan AIDS dikongsi bersama oleh Dr. Robert Gallo, penyelidik di National Cancer Institute dan Luc Montagnier dari Pasteur Institute, Perancis.

Tahun 2007 ini merupakan tahun ke-20 Hari AIDS Sedunia diraikan sejak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyeru semua orang agar ‘Sertai Usaha Seluruh Dunia’, yang diangkat sebagai tema sambutan.

Sejak itu, AIDS telah menjadi salah satu isu penting dalam sejarah manusia. Jika pada tahun 1988, kebanyakan kes HIV yang dilaporkan masih tidak melangkaui sempadan AS manakala rata-rata mangsanya adalah lelaki.

Pada waktu itu, dunia sedang berada di puncak huru-hara bahana AIDS dan impak bencananya. Hari ini, HIV menjelmakan wajah hodohnya di setiap pelosok dunia. Apa yang menyedihkan, separuh daripada mereka yang positif HIV terdiri daripada wanita, tidak ketinggalan kanak-kanak.

Walaupun sudah banyak kemajuan dicapai dalam mengurangkan kadar jangkitan yang memuncak sekitar 1990-an (menurun sejak tahun 2001), dunia tidak sepatutnya mudah berasa selesa dengan perkembangan ini.

Perangkaan terkini yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendapati, kes-kes AIDS semakin berkurangan daripada hampir 40 juta pada tahun 2006 kepada 33.2 juta tahun ini.

‘‘Ini kerana, angka-angka jangkitan HIV baru masih lagi mendahului jumlah individu yang sedang menerima rawatan penyakit ini.

‘‘Statistik yang rendah ini mencadangkan bahawa program pencegahan telah berjaya mengurangkan kadar jangkitan.

‘‘Aliran ini satu perkembangan yang menggalakkan tetapi masih mencemaskan sebab bagi setiap seorang yang menerima rawatan, empat jangkitan baru ditemui,’’ kata Nelson Mandela.

Sejak mengundurkan diri sebagai Presiden Afrika Selatan berkulit hitam yang pertama pada tahun 1999, Mandela yang turut kehilangan anak lelakinya akibat AIDS menjadi juara dalam kempen kesedaran berkaitan.

Bersaksikan 50,000 penonton, lelaki berusia 89 tahun ini berjalan perlahan-lahan ke tengah pentas yang dipenuhi bintang-bintang rock antarabangsa terkemuka, sambil melemparkan senyuman.

Karisma Mandela dalam menyatukan rakyat semasa pemerintahannya dahulu masih terserlah sepanjang Konsert 46664 (nombornya ketika berada di penjara), pada 1 Disember lalu di Johannesburg.

Hari AIDS Sedunia pada mulanya dianjurkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai HIV/AIDS (UNAIDS) sebelum tanggungjawab itu diserahkan kepada The World AIDS Campaign (WAC), dua tahun lalu.

WAC memilih slogan Hentikan AIDS: Kotakan Janji yang akan


ULUSAN:

Masih ramai yang tidak tahu, tidak betul-betul faham mengenai HIV/AIDS. Akibatnya, mereka sering memulaukan para pesakit HIV/AIDS

Apa yang sepatutnya mereka lawan adalah penyakit AIDS itu sendiri dan bukannya menjadikan pesakit sebagai musuh mereka.

Pada masa itu, sekitar awal 1990-an, terlalu banyak ketakutan, rasa syak-wasangka dan kepercayaan karut-marut yang mengelilingi ruang lingkup virus tersebut.

Tidak ramai yang tahu bahawa ia tidak boleh berjangkit menerusi sentuhan, sebaliknya lebih ramai yang percaya, begitulah caranya virus itu ditularkan.

Sejak sambutan Hari AIDS Sedunia julung kali diadakan pada tahun 1988, tanggal 1 Disember ditandakan untuk menggalakkan setiap orang berhenti sekejap dan merenung sejenak tentang penderitaan mangsa-mangsa HIV/AIDS.

Bagi sesetengah individu, ini merupakan satu-satunya hari dalam setahun mereka memikirkan tentang AIDS. Namun bagi sesetengah yang lain pula, AIDS menjadi sebahagian daripada hidup mereka.

Tanpa menafikan usaha semua pihak yang membuahkan hasil dalam meningkatkan kesedaran dan mengubah sikap masyarakat sekali gus mengurangkan jangkitan HIV di seluruh dunia, perjalanannya masih panjang dan berliku.

Hari ini, masih ramai mangsa HIV/AIDS yang menerima layanan sama seperti Munirah.

Selain perdebatan isu vaksin dan antiretroviral yang memanjangkan hayat, stigma masih menjadi salah satu daripada batu penghalang terbesar kepada orang awam dalam tindakan menentang AIDS.

Itulah sebabnya kenapa AIDS masih mengekalkan kedudukannya selaku epidemik yang paling membinasakan pernah direkodkan dalam sejarah.

AIDS berpunca daripada virus HIV yang menyebabkan kegagalan sistem imun tubuh ataupun kebolehan semula jadi tubuh untuk melawan penyakit.

HIV menyerang dengan perlahan-lahan dan memusnahkan sesetengah sel darah putih di dalam badan (sel T CD4+). Dalam keadaan normal, sel-sel ini membantu tubuh melawan jangkitan kuman dan penyakit yang disebabkan oleh virus dan bakteria. Apabila HIV telah menyerang badan seseorang, sel-sel ini tidak lagi mampu melaksanakan tanggungjawab mereka kerana telah dimusnahkan secara perlahan-lahan oleh HIV,’’ ujar beliau sambil menambah, ini bermaksud bahawa HIV akan turut memusnahkan keupayaan tubuh badan untuk melawan penyakit.

AIDS bukanlah satu penyakit yang tersendiri. Dengan lumpuhnya keupayaan ini, mereka yang dijangkiti lebih mudah terdedah kepada pelbagai jenis kuman, termasuklah yang tidak membahayakan manusia normal serta mendapat jenis-jenis kanser yang jarang berlaku.

AIDS merupakan peringkat lanjutan bagi jangkitan HIV. Perkembangan penyakit ini melalui beberapa fasa:

Fasa 1. Bermula dengan HIV menjangkiti seseorang individu

Fasa 2. Di mana virus tersebut membiak tetapi pesakit masih tidak mempamerkan sebarang tanda-tanda atau gejala-gejala yang tertentu

Fasa 3. Membiak dan berkembang membawa kepada kewujudan beberapa tanda dan gejala yang memburukkan lagi mekanisme pertahanan tubuh

Fasa 4. Pesakit mula mengalami penyakit-penyakit yang jarang berlaku yang digelar ‘infeksi oportunistik’ seperti Pneumocystis Carinii Pneumonia dan kanser termasuk Sarkoma Kaposi

Fasa 5. Pesakit tersebut disahkan sebagai pesakit AIDS. Di dalam fasa ini, mekanisme pertahanan mengalami kemusnahan yang teruk dan sudah tidak mampu lagi untuk melawan serangan bakteria, virus dan kuman-kuman lain.

Penularan

Dr. Chua berkata, HIV tidak dapat hidup di luar tubuh manusia dan hanya boleh dipindahkan apabila bendalir badan daripada individu yang telah dijangkiti memasuki tubuh individu yang belum dijangkiti.

‘‘HIV berjangkit melalui pemindahan sebarang bendalir dari tubuh mereka yang telah dijangkiti kepada orang lain.

‘‘AIDS merebak terutamanya melalui darah, semen (air mani) dan rembesan faraj mereka yang telah dijangkiti virus AIDS. AIDS juga boleh merebak dari ibu yang telah dijangkiti kepada bayi yang dikandungnya,’’ jelasnya.

Berdasarkan fakta-fakta di atas, aktiviti-aktiviti yang boleh menyebabkan seseorang terdedah kepada jangkitan AIDS adalah seperti berikut:

* Melakukan hubungan seks tanpa perlindungan kondom dengan berbilang pasangan dari kedua-dua jantina

* Melakukan hubungan kelamin dengan pekerja seks

* Berkongsi jarum dan picagari di kalangan penagih dadah

* Daripada ibu yang dijangkiti kepada janin yang dikandung.


Beliau turut menegaskan bahawa seseorang itu tidak boleh dijangkiti AIDS melalui:

* Sentuhan ataupun konteks biasa seperti berpegangan tangan, bersentuh-sentuhan di kawasan yang sesak, berjabat tangan, bekerja bersama-sama, bermain dan ciuman ringan

* Berkongsi makanan, menggunakan kemudahan awam seperti kolam mandi atau tandas ataupun melalui gigitan nyamuk

* Menderma darah kerana peralatan yang digunakan untuk mengambil darah tersebut adalah steril dan hanya digunakan sekali sahaja. Mereka yang tiada risiko AIDS adalah digalakkan untuk menderma darah

* Proses pemindahan darah kerana pada masa sekarang, semua darah yang didermakan di Malaysia telah disaring untuk mengesan kehadiran antibodi AIDS. Antibodi AIDS adalah bahan yang dihasilkan oleh tubuh mereka yang dijangkiti sebagai tindak balas terhadap jangkitan virus AIDS

* Menggunakan pinggan, sudu dan gelas yang digunakan oleh pesakit AIDS kerana virus AIDS tidak boleh hidup lama di luar tubuh manusia. Peralatan tersebut apabila dibasuh seperti biasa akan membunuh virus AIDS.

Tanda dan gejala

Pesakit AIDS akan mengalami gejala-gejala seperti:

* Penurunan berat badan sehingga 10 peratus yang tidak diketahui puncanya

* Cirit-birit dan batuk yang kronik dan berterusan

* Demam yang berpanjangan. Demam ini berlaku sama ada secara berkala ataupun berterusan

* Pembengkakan nodus limfa terutamanya di leher, ketiak dan kelengkang

* Jangkitan herpes zoster yang berulang-ulang. Herpes zoster merupakan infeksi saraf oleh virus yang dicirikan oleh kehadiran lepuhan pada kulit

* Kandidiasis di mulut dan tekak. Kandidiasis merupakan sejenis penyakit yang disebabkan oleh sejenis kulat (fungus)

* Infeksi herpes simpleks yang berulang-ulang. Herpes simpleks merupakan jangkitan virus pada kulit yang dilihat sebagai lepuhan di sekeliling mulut dan alat kelamin.


KOMPLIKASI

Oleh kerana pesakit AIDS telah mengalami kelumpuhan fungsi sistem imun, mereka lebih mudah jatuh sakit berbanding dengan mereka yang memiliki tindak balas imun yang sihat.

Komplikasi-komplikasi yang mungkin berlaku termasuklah:

* Pneumocystis Carinii Pneumonia (sejenis penyakit radang paru-paru) yang boleh membawa maut. Penyakit ini memusnahkan paru-paru pesakit AIDS

* Cytomegalovirus Retinitis merupakan penyakit mata berkaitan AIDS yang serius dan boleh menyebabkan buta

* Sarkoma Kaposi merupakan kanser berkaitan AIDS yang menyebabkan ketumbuhan/tumor pada kulit. Ia berwarna merah jambu atau ungu

* AIDS Wasting Syndrome melibatkan penurunan berat badan yang ketara, cirit-birit yang kronik atau rasa lemah dan demam yang berpanjangan atau berkala selama sekurang-kurangnya 30 hari.


DIANOSIS

Bagi memastikan kewujudan kuman HIV dalam tubuh seseorang, satu ujian darah antibodi dan ujian oral menggunakan contoh mukus daripada bahagian dalam pipi dan gusi boleh dijalankan.

Ujian-ujian ini boleh dilakukan di semua klinik dan hospital kerajaan mahupun swasta.

Apabila virus telah memasuki tubuh, satu sebatian yang dikenali sebagai antibodi akan terhasil. Antibodi inilah yang dikesan di dalam ujian-ujian darah yang dijalankan

Ujian HIV dapat mengenal pasti kewujudan antibodi di dalam darah, seawal dua minggu selepas jangkitan, tetapi tubuh mungkin mengambil masa selama enam bulan untuk mengeluarkan antibodi secukupnya. Purata masa yang diambil ialah 25 hari.

Keputusan seropositif bagi ujian HIV ini membawa maksud antibodi HIV wujud di dalam saluran darah seseorang dan dia adalah HIV positif.

Untuk mendapat penyakit AIDS, ia mungkin mengambil masa sehingga 10 tahun atau lebih. Rawatan menggunakan ubat-ubatan untuk melambatkan perkembangan AIDS boleh didapati, tetapi tidak boleh sembuh sepenuhnya.

Keputusan seronegatif biasanya menandakan bahawa anda tidak diijangkiti oleh HIV. Walau bagaimanapun, anda perlu diuji semula dalam masa enam bulan jika berisiko tinggi untuk mendapat AIDS, kerana ia mengambil masa begitu panjang untuk menghasilkan antibodi yang mencukupi.

Sesiapa yang menerima keputusan HIV perlulah mendapatkan kaunseling sebelum dan selepas ujian ini supaya mereka dapat memahami keputusan ujian, membincangkan kaedah pencegahan dan jika perlu, bincangkan pilihan rawatan yang ada.


RAWATAN

Rawatan untuk HIV melibatkan pemusnahan kuman virus tersebut dan merawat simptom yang dialami oleh pesakit seperti ubat antiretrovirus yang menyerang dan memusnahkan retrovirus, termasuklah HIV.

Beberapa tahun kebelakangan ini, para penyelidik telah mencapai kemajuan besar dalam penghasilan pelbagai rawatan pilihan AIDS/HIV.

Sejak akhir tahun 1980-an, para profesional perubatan di Amerika Syarikat telah menggabungkan ubat antiretroviral ke dalam rejimen rawatan yang dipreskripsikan kepada pesakit yang dijangkiti.

Kombinasi tiga atau lebih ubat antiretroviral, yang biasanya dipanggil ‘dadah koktel’, didapati berkesan dalam menurunkan paras jangkitan HIV dalam tubuh individu yang dijangkiti, dengan cara memperlahankan perebakan HIV.

Lain-lain termasuklah perencat protease, Nucleoside Reverse Transcriptase Inhibitors (NRTI) dan Non-nucleoside Transcriptase Inhibitors (NNRTI) serta gabungan ubat-ubatan di atas.

Di samping terapi ubat-ubatan dan kaunseling, pemakanan yang sihat boleh menyumbang ke arah kehidupan yang lebih panjang dan sihat untuk pesakit AIDS.

Makanan berkhasiat membantu pesakit AIDS mengekalkan kesihatan mereka dengan memberikan perlindungan daripada komplikasi jangkitan berkaitan HIV.

Pengambilan makanan berkalori tinggi bersama protein dan karbohidrat yang cukup, boleh mempertahankan diri dari kekurangan zat makanan, malserapan nutrien, penurunan sistem imun dan susut badan.

Pemakanan yang baik akan membantu mengurangkan kesan buruk dadah dan juga meningkatkan kebolehan tubuh untuk menyerap ubat-ubatan tertentu.

Terdapat bukti yang kukuh mengenai senaman yang dapat memperbaiki mood dan kualiti hidup individu HIV positif – menjadikan mereka lebih kuat, meningkatkan daya ketahanan dan melindungi mereka daripada infeksi.

Pencegahan AIDS memerlukan disiplin dan kekuatan diri. Keperluan ini kadang-kadang sukar untuk dipenuhi, tetapi ia berkesan dan mampu menyelamatkan nyawa.

No comments: