Tuesday, December 11, 2007

41. Prakehamilan pesakit diabetes

1. SEJAK Puan Wong mendirikan rumah tangga setahun lalu, dia amat berharap untuk menimang cahaya mata. Jika dia sihat seperti wanita lain, dia tidak akan berasa ragu-ragu untuk hamil.

Kira-kira empat tahun lalu, Wong disahkan menghidap diabetes jenis 2. Ketika itu dia berumur 21 tahun. Menurut doktor, diabetes yang dihidapinya mungkin disebabkan oleh berat badan berlebihan dan kedua-dua ibu bapanya yang turut menghidap penyakit itu.

Walaupun telah menguruskan diabetesnya dengan baik, namun dia tidak konsisten mengamalkannya. Kini, apabila dia ingin hidup berkeluarga, dia bimbang akan menjejaskan bayi yang akan dikandungnya.

Wong banyak mendengar khabar angin yang menakutkan mengenai komplikasi kehamilan, kecacatan bayi dan keguguran.


2. Fatimah, 25, memahami kebimbangan Wong. Beliau didiagnosis dengan diabetes jenis 1 ketika berusia 12 tahun dan sejak itu telah mengambil suntikan insulin.

Fatimah juga pernah hamil dua tahun lalu tetapi gugur. Oleh kerana pengalaman yang buruk itu, beliau tidak pasti sama ada patut mencuba semula untuk hamil.

Apa yang pasti, wanita yang mempunyai diabetes yang tidak dikawal baik berisiko tinggi menghadapi komplikasi kehamilan berbanding wanita yang tidak menghidap diabates.

Diabetes juga pernah menjadi salah satu sebab utama kematian sebelum kelahiran. Keguguran, kecacatan jantung, sumbing lelangit dan kecacatan anggota badan, tulang belakang atau usus adalah antara komplikasi lain yang mungkin akan berlaku.

Walaupun ia agak menggerunkan, namun jangan cepat mengalah. Kehamilan yang normal dan melahirkan bayi yang sihat masih boleh berlaku kepada wanita yang menghidap diabetes.

Rujuk doktor anda

Maklumkan doktor anda jika anda merancang untuk menimang cahaya mata dan dapatkan nasihatnya.

Doktor akan meyakinkan anda untuk menguruskan diabetes dengan baik dan kerelaan anda untuk melaksanakan segala peraturannya sebelum kehamilan, tiada sebab kenapa anda tidak dapat menikmati kehamilan yang normal.

Doktor juga akan menjalankan pemeriksaan terperinci untuk menentukan sama ada badan anda sudah bersedia atau tidak untuk hamil.

Doktor anda mungkin memulakan dengan memeriksa tekanan darah dan jantung anda kerana tekanan darah tinggi dan penyakit jantung boleh memburukkan lagi kehamilan.

Dia mungkin akan meminta anda untuk membuat ujian ECG atau ujian tekanan untuk memastikan anda sihat secara fizikal untuk hamil. Ini penting terutama sekali jika anda membuat keputusan untuk hamil pada usia lanjut.

Doktor anda juga akan memeriksa mata anda. Sebagai seorang pesakit diabetes, anda berisiko mengalami retinopati, satu keadaan di mana terdapat perubahan di dalam salur darah di dalam membran yang nipis dan halus di belakang anak mata.

Retinopati boleh menjadi lebih serius semasa kehamilan dan anda berisiko untuk menjadi buta. Dalam kebanyakan kes, laser photocoagulation perlu dijalankan sebelum kehamilan.

Sampel air kencing anda juga akan diambil untuk memastikan buah pinggang berfungsi dengan baik kerana protein di dalam air kencing anda boleh menyebabkan atau memburukkan tekanan darah tinggi dan penahanan bendalir ketika anda hamil.

Terdapat juga kemungkinan kerosakan saraf terutama yang membekalkan organ-organ dalaman (neuropati autonomik) boleh merumitkan kehamilan anda.

Doktor akan merujuk anda kepada satu panel pakar-pakar perubatan bagi memastikan anda menerima rawatan yang terbaik dan nasihat pengurusan diabetes sebelum anda hamil.

Kawal paras glukosa darah anda

Perkara paling penting yang anda perlu lakukan adalah memastikan paras glukosa darah pada paras normal.

Tetapkan matlamat ini dalam tempoh enam bulan sebelum anda hamil bagi melaraskan kembali program prakehamilan anda jika anda tidak berjaya mencapai paras glukosa darah yang ditetapkan.

Apabila anda mencapai sasaran ini, anda perlu mengekalkannya sepanjang tempoh kehamilan. Ini amat penting terutamanya pada awal kehamilan sehingga minggu kelapan.

Pada saat ini, sekiranya paras glukosa dalam darah anda meningkat, bayi berisiko tinggi untuk mengalami kecacatan kongenital semasa dilahirkan dan menghadapi masalah-masalah kesihatan yang lain kepada bayi yang belum dilahirkan.

Sama ada anda merancang untuk hamil atau tidak, individu yang menghidap diabetes perlu mencapai paras HbA1c kurang daripada 6.5 peratus.

Anda perlu kerap berjumpa dengan doktor, setiap satu hingga dua bulan supaya beliau dapat memantau tahap kesihatan anda dan memeriksa tahap HbA1c.

Ini dapat membantu mengenal pasti masa yang terbaik untuk anda hamil. Untuk mencapai paras HbA1c yang menghampiri normal, anda perlu mengawal paras glukosa darah anda dengan baik.

Matlamat untuk paras glukosa darah ketika berpuasa adalah dalam lingkungan 3.8 hingga 6.1 mmol/L manakala paras untuk 2 jam selepas makan adalah kurang daripada 7.8 mmol/L.

Bagi memastikan anda sentiasa atas sasaran, anda perlu memeriksa paras glukosa darah dengan kerap di rumah, seelok-eloknya enam kali sehari; sebelum dan (dua jam) selepas sarapan pagi, makan tengah hari dan makan malam.

Dalam usaha untuk mencapai paras HbA1c yang dikehendaki, doktor mungkin akan mengesyorkan penggunaan insulin memandangkan pil-pil diabetes tidak selamat untuk digunakan apabila hamil atau sebelum kehamilan.

Keputusan harian paras glukosa darah menggunakan meter glukosa darah dapat membantu anda membuat langkah terbaik dalam mencapai paras glukosa darah yang ditetapkan.

Ambil makanan yang sesuai

Pakar diet anda akan merancang dengan teliti makanan yang seimbang bagi membantu anda mengurangkan berat badan (jika ada) dan mengawal paras glukosa darah.

Secara umumnya, diet ini terdiri daripada pelbagai jenis makanan yang kaya dengan khasiat seperti buah-buahan, gandum dan bijirin. Anda juga dinasihatkan supaya mengambil tiga hidangan penuh setiap hari dan pengambilan snek di antara hidangan tersebut.

Makan mengikut nafsu dan tidak mengikut masa perlu dielakkan kerana ia akan memberi kesukaran kepada anda untuk mencapai paras glukosa darah yang ditetapkan.

Rokok, alkohol dan ubat-ubatan tertentu contohnya ubat untuk mengawal tekanan darah tinggi atau paras kolestrol darah tinggi, boleh mengganggu kebolehan anda untuk hamil sekali gus menjejaskan perkembangan bayi secara normal sejurus anda hamil.

Berusaha untuk bersenam

Jika anda telah menjalani aktiviti fizikal dengan kerap, teruskanlah usaha anda ini kerana ia dapat membantu mengekalkan paras glukosa darah dalam lingkungan yang ditetapkan dan mengawal berat badan.

Walau bagaimanapun, jika anda tidak begitu aktif, masih ada masa untuk anda memulakannya sekarang.

Sebelum anda memulakan program aktiviti fizikal, doktor anda patut menjalankan pemeriksaan kesihatan untuk mengelakkan sebarang komplikasi yang mungkin berlaku berpunca daripada diabetes.

Berpandukan keputusan ini, doktor akan dapat menasihatkan anda jenis aktiviti fizikal yang sesuai untuk diri anda. Amnya, anda digalakkan untuk menjalani aktiviti senaman ringan ke sederhana.

Mulakan senaman anda secara perlahan dan sedikit demi sedikit tingkatkan tempoh dan kekerapan senaman.

Cuba lakukan senaman sederhana aktif seperti berenang atau berjalan pantas selama 20 hingga 30 minit, tiga hingga lima kali seminggu. Tetapi, sila berhenti serta-merta jika anda berasa tidak selesa terutama sekali sakit dada atau kesukaran untuk bernafas.

Anda patut berhati-hati dengan memeriksa paras glukosa darah sebelum dan selepas bersenam untuk memastikan anda tidak mengalami hipoglisemia (paras glukosa yang sangat rendah). Ini paling penting jika anda mengambil suntikan insulin.

Kuasai diri untuk kehamilan selamat

Untuk memastikan kehamilan yang selamat, anda perlu mengambil berat tentang penjagaan diri sebelum hamil.

Anda perlu berdisiplin untuk menjaga diet yang seimbang dengan kalori dan nutrien mencukupi, termasuk vitamin dan mineral serta memastikan rutin senaman termasuk kerap memantau paras glukosa darah anda bagi memastikan anda mencapai sasaran.

Gunakanlah ahli-ahli penjaga kesihatan anda dengan sebaik mungkin; kekalkan perhubungan dengan mereka dan rujuk nasihat mereka serta bincanglah segala kebimbangan dengan mereka jika ada.

Prof. Mustaffa Embong ialah Pakar Perunding Diabetes, Institut Diabetes Negara (NADI).

Dua minggu dari sekarang: Hasil kehamilan yang sihat untuk penghidap diabetes.

Artikel ini merupakan sumbangan Program Menangani Wabak Diabetes (FAD) anjuran NADI dengan usaha sama Kementerian Kesihatan Malaysia, Persatuan Pemakanan Malaysia, Persatuan Dietitian Malaysia dan Persatuan Kajian Obesiti Malaysia.

Program ini juga disokong dengan geran pendidikan tanpa syarat daripada program Taj Mahal Rice For Life, Pharmaniaga Berhad, dan Gardenia Breakthru. Untuk pertanyaan, sila hubungi NADI di talian 03- 78761676.

Senarai persediaan sebelum hamil

1. Saya bebas daripada komplikasi diabetes seperti retinopati (kerosakan di belakang mata), kerosakan buah pinggang atau neuropati (kerosakan saraf) atau saya ada komplikasi tetapi ia telah dikawal baik.

2. Saya bebas daripada penyakit-penyakit yang berkaitan seperti tekanan darah tinggi atau paras kolesterol darah tinggi atau saya mempunyai masalah- masalah berkaitan tetapi ia telah dikawal baik.

3. Saya tidak mengambil sebarang ubat-ubatan yang boleh memudaratkan bayi jika saya mengandung.

4. Saya tidak pernah merokok atau mengambil alkohol atau dadah yang diharamkan atau saya sudah berhenti merokok atau mengambil alkohol atau dadah yang diharamkan (untuk tempoh tiga bulan yang lepas).

5. Keputusan HbA1c saya adalah stabil kurang 6.5 peratus untuk tiga bulan yang lepas.

Jikalau respons anda untuk senarai di atas adalah positif dan telah disahkan oleh ahli penjaga diabetes, anda sepatutnya telah bersedia untuk hamil.

Jika tidak, anda perlu menangguhkan kehamilan. Minta doktor anda untuk mempreskripsi ubat pencegah kehamilan yang efektif untuk mencegah kehamilan yang tidak dirancang.

No comments: