Sunday, December 9, 2007

25. Hipogonadisme:Kurang hormon seks

KITA mungkin biasa mendengar lelaki mengalami masalah mati pucuk (disfungsi erektil) iaitu keadaan berkaitan dengan kemampuan seks, namun jarang didedahkan dengan hipogonadisme – satu lagi masalah berkaitan seks yang menyerang lelaki tidak kira usia. Apakah sebenarnya hipogonadisme?

Menurut Pakar Urologi dan Pembedahan Urologikal, Dr. Rajentheran Suntheralingam, hipogonadisme lelaki adalah keadaan di mana badan tidak menghasilkan hormon seks testosteron yang mencukupi.

Katanya, sebanyak lima juta lelaki di Amerika Syarikat dikatakan tidak menghasilkan hormon testosteron yang cukup, iaitu hormon yang memainkan peranan dalam tumbesaran dan perkembangan kelelakian ketika baligh.

Kesan testosteron bermula ketika janin lagi di mana ia akan merangsang pembentukan organ seks lelaki. Hormon ini berterusan memainkan peranan penting ketika baligh dan dewasa dengan membentuk karakter lelaki dan mengekalkan keinginan seks.

‘‘Anda mungkin dilahirkan dengan hipogonadisme atau ia boleh berkembang kemudian disebabkan oleh kecederaan atau jangkitan,’’ katanya dalam satu sesi khas Kempen MRT Elken untuk Kehidupan yang Sihat anjuran Elken Sdn. Bhd.

Ujarnya lagi, kesan hipogonadisme dan apa yang anda boleh lakukan untuk mengatasinya bergantung kepada punca dan pada ketika mana ia berlaku.

Namun begitu kata Dr. Rajentheran, jika hipogonadisme berlaku selepas baligh, perkembangannya lebih kepada menyebabkan masalah sementara yang boleh diatasi melalui rawatan. Sesetengah jenis hipogonadisme boleh dirawat dengan terapi gantian testosteron.

Tanda-tanda dan simptom

Hipogonadisme boleh berlaku ketika perkembangan janin, baligh atau dewasa. Bergantung pada ketika mana ia berkembang, tanda-tanda dan simptomnya berbeza.

Jika badan tidak menghasilkan testosteron yang cukup ketika perkembangan janin, tumbesaran organ seks luar akan terjejas.

Kanak-kanak yang secara genetiknya lelaki mungkin akan lahir dengan alat kelamin perempuan, alat kelamin kabur (sama ada tidak jelas lelaki atau perempuan) ataupun alat kelamin lelaki yang tidak berkembang.

Manakala jika ia berlaku ketika baligh pula, hipogonadisme akan memperlahankan tumbesaran dan mengganggu perkembangan.

Ia menyebabkan penurunan perkembangan jisim otot, suara tidak bertukar menjadi parau, pertumbuhan bulu badan terjejas, pertumbuhan zakar dan buah zakar terjejas, perkembangan berlebihan bahagian lengan dan paha dan juga perkembangan tisu buah dada (ginekomastia).

Dan, jika hipogonadisme menyerang ketika dewasa, beberapa karakter fizikal maskulin akan terganggu dan sekali gus menjejaskan fungsi reproduksi normal.

Tanda-tanda dan simptom termasuk

* Disfungsi erektil (mati pucuk)

* Ketidaksuburan

* Penurunan pertumbuhan bulu badan dan janggut

* Pertambahan lemak dan penurunan jisim otot serta kekurangan jisim tulang (osteoporosis)

* Penurunan saiz atau kekenyalan buah zakar

* Perkembangan tisu buah dada (ginekomastia)

* Hipogonadisme juga boleh menyebabkan perubahan emosi dan mental. Ketika testosteron menurun, sesetengah lelaki akan mengalami simptom serupa seperti wanita menopaus.

Ini termasuk letih, kurang keinginan seks (libido), sukar menumpu perhatian, radang, resah dan juga murung.

Punca

Terdapat dua jenis utama hipogonadisme

1. Primer - Juga dikenali sebagai kegagalan testikular utama berlaku disebabkan masalah pada buah zakar.

2. Sekunder - Ia berlaku disebabkan masalah pada hipotalamus atau kelenjar pituitari (bahagian otak yang memberi arahan kepada buah zakar menghasilkan testosteron).

Hipotalamus menghasilkan hormon pembebasan gonadotropin, yang memberi arahan kepada kelenjar pituitari untuk menghasilkan hormon penghasilan folikel (FSH) dan hormon luteinizing. Hormon ini kemudian memberi arahan kepada buah zakar menghasilkan testosteron.

Hipogonadisme primer

Punca utama termasuk:

* Sindrom Klinefelter: Keadaan ini menyebabkan ketidaknormalan sejak lahir pada kromosom seks, X dan Y. Lelaki biasanya mempunyai satu kromosom X dan satu kromosom Y.

Dalam kes ini, dua atau lebih kromosom X hadir sebagai tambahan kepada satu kromosom Y. Kromosom Y mengandungi material genetik yang menentukan jantina bayi dan berkaitan dengan perkembangan.

Kromosom X berlebihan yang berlaku pada pesakit sindrom Klinefelter menyebabkan perkembangan tidak normal buah zakar.

* Buah zakar tidak keluar: Ketika dalam kandungan, buah zakar berkembang dalam abdomen dan biasanya turun ke bawah di dalam skrotum dua bulan sebelum lahir.

Dalam kes ini satu atau dua buah zakar tidak keluar ketika lahir. Keadaan ini biasanya pulih sendiri dalam masa beberapa tahun pertama tanpa sebarang rawatan.

Jika ia tidak pulih sendiri ketika kanak-kanak, ia menyebabkan buah zakar tidak berfungsi dan mengurangkan pengeluaran hormon testosteron.

* Beguk Orkitis: Jika jangkitan beguk melibatkan buah zakar ketika dewasa, kerosakan testikular jangka panjang akan berlaku.

* Hemokromatosis: Kandungan besi yang terlalu tinggi dalam darah boleh menyebabkan kegagalan buah zakar atau disfungsi kelenjar pituitari yang mengganggu penghasilan testosteron.

* Kecederaan buah zakar: Kerana lokasinya di luar abdomen, buah zakar terdedah kepada kecederaan.

Kerosakan pada buah zakar yang telah berkembang menyebabkan hipogonadisme. Bagaimanapun kerosakan pada sebelah buah zakar tidak mengganggu penghasilan testosteron.

* Rawatan kanser: Kemoterapi atau terapi radiasi untuk rawatan kanser boleh mengganggu penghasilan testosteron dan sperma.

Kesan kedua-dua rawatan biasanya hanya sementara, namun ketidaksuburan kekal boleh berlaku.

Walaupun banyak lelaki mendapat balik kesuburan mereka dalam masa beberapa bulan selepas rawatan berakhir, menyimpan sperma sebelum memulakan rawatan kanser adalah langkah yang digalakkan.

* Faktor usia

Semakin meningkat usia, penghasilan testosteron semakin perlahan dan berkurangan. Kadar pengurangan testosteron berbeza setiap lelaki. Sebanyak 30 peratus lelaki berusia lebih 75 tahun mempunyai paras testosteron rendah di bawah normal.

Hipogonadisme sekunder

Dalam kes ini, buah zakar adalah normal tetapi tidak berfungsi dengan betul berikutan masalah pada pituitari atau hipotalamus. Beberapa keadaan boleh menyebabkan hipogonadisme sekunder termasuk:

* Sindrom Kallman: Perkembangan abnormal hipotalamus.

* Masalah pituitari: Ketidaknormalan pada kelenjar pituitari menjejaskan pengeluaran hormon dari kelenjar pituitari ke buah zakar, memberi kesan kepada pengeluaran normal testosteron.

Tumor pituitari atau lain-lain jenis tumor otak terletak berdekatan dengan kelenjar pituitari menyebabkan gangguan hormon testosteron atau hormon lain.

Juga rawatan untuk tumor otak seperti pembedahan atau terapi radiasi akan menjejaskan fungsi pituitari.

* Penyakit radang: Sesetengah penyakit radang seperti sarkoidosis, histiositosis, tuberkulosis dan sesetangah jangkitan kulat melibatkan hipotalamus dan kelenjar pituitari mengganggu pengeluaran testosteron.

* HIV/AIDS: Virus ini menyebabkan paras testosteron rendah dengan mengganggu hipotalamus, pituitari dan buah zakar.

* Perubatan: Pengambilan beberapa jenis dadah seperti ubat tahan sakit opiat dan sesetengah hormon boleh mengganggu pengeluaran testosteron.

* Kegemukan

Adakah hipogonadisme boleh diwarisi?

Ya, ia boleh diwarisi. Jika terdapat sejarah keluarga yang mempunyai hipogonadisme, beritahu doktor anda. Yang penting kesedaran dan sentiasa berjaga-jaga dengan tanda-tanda atau simptom hipogonadisme.

Bila patut berjumpa doktor?

Jumpa doktor apabila mempunyai sebarang simptom hipogonadisme. Mengenal pasti punca hipogonadisme adalah langkah penting utama untuk mendapatkan rawatan yang perlu.

Anda perlu berjumpa pakar endokrinologi, pakar dalam bidang kelenjar hormon pengeluaran (endokrin).

Jika doktor penjagaan primer anda mengesyaki mana-mana simptom berlaku, anda akan dirujuk kepada endokrinologis. Atau anda boleh meminta sendiri untuk merujuk kepada pakar.

Pemeriksaan dan diagnosis

Doktor akan memeriksa paras testosteron dalam darah jika anda ada sebarang tanda atau simptom hipogonadisme.

Pemeriksaan dan rawatan awal membolehkan pencegahan lebih baik melawan osteoporosis dan keadaan lain yang berkaitan.

Doktor melakukan diagnosis berdasarkan simptom hipogonadisme dan keputusan ujian darah yang menentukan paras testosteron.

Kerana paras testosteron berbeza dan secara umumnya tinggi di waktu pagi, ujian darah biasanya dibuat awal pagi.

Jika ujian mengesahkan anda mempunyai testosteron rendah, ujian selanjutnya akan menentukan masalah pada buah zakar atau ketidaknormalan pituitari adalah puncanya.

Berdasarkan simptom dan tanda-tanda spesifik, kajian tambahan boleh menentukan puncanya. Ujian ini termasuk ujian hormon, analisis semen (air mani), imbasan pituitari, kajian genetik dan biopsi buah zakar.

Ujian testosteron juga memainkan peranan penting dalam menentukan hipogonadisme. Ini membantu doktor menentukan dos yang betul untuk rawatan.

No comments: