Tuesday, December 11, 2007

67. Gejala selesema, batuk, demam sering diabaikan - Penyakit Pneumokokal

Mengenai Penyakit Pneumokokal (PnD):-

PnD menggambarkan sekumpulan penyakit yang disebabkan oleh bakteria Streptococcus (S.) pneumoniae, yang juga dikenali sebagai pneumokokus.

Patogen bakteria ini, yang menyerang kanak-kanak dan orang dewasa, ialah punca penyakit dan kematian utama di seluruh dunia.

Selepas bakteria pneumokokus menyerang dan ‘menakluki’ saluran pernafasan atas, ia boleh disebarkan secara setempat atau memasuki aliran darah atau cecair serebrospina (csf) dan menyebabkan pelbagai penyakit.

Penyakit yang serius dan invasif dinamakan penyakit pneumokokal invasif (IPD) di mana bakteria boleh diasing daripada darah, csf, cecair pleural atau bahagian lain yang biasanya steril.

IPD termasuk bakteremia (jangkitan bakteria darah), meningitis (jangkitan bakteria membran korda spina dan otak), dan pneumonia bakteremia.

Penyebaran pneumokokus dari nasofarinks ke saluran pernafasan atas dan bawah menyebabkan penyakti pneumokokal invasif, termasuk pneumonia bukan bakteremia (radang paru-paru), otitis media akut (radang telinga tengah) dan sinusitis (jangkitan sinus).

Jika tidak dirawat atau gagal dirawat, penyakit pneumokokal boleh menyebabkan kehilangan pendengaran, gangguan pembelajaran, kelewatan bertutur, palsi serebrum, kecacatan mental dan kadangkala kematian.

Beberapa faktor meningkatkan risiko kanak-kanak mengalami jangkitan pneumokokus. Bayi baru lahir sehingga berusia 24 bulan menghadapi risiko paling tinggi, kerana kandungan antibodi pneumokokus yang rendah.

Daya tahan yang lebih lemah disebabkan masalah seperti kekurangan imun kongenital atau HIV juga mengurangkan risiko jangkitan.

Kanak-kanak yang dihantar ke pusat penjagaan pada waktu siang juga mungkin dijangkiti kerana lebih terdedah kepada bakteria dalam persekitaraan pusat jagaan tersebut.

Sejak 30 tahun lepas, terdapat pertambahan dari segi strain S.pneumoniae yang mempunyai daya tahan terhadap penisilin dan antibiotik lain.

Penularan strain pneumokokus yang tahan antobiotik terus meningkat di seluruh dunia. Akibatnya peranan yang dimainkan oleh vaksin untuk mencegah penyakit kini semakin penting.

-------------------------------------------------------------------------------

PENYAKIT pneumokokal (PnD) merupakan punca penyakit dan kematian utama yang kini semakin disedari di seluruh dunia. Penyakit ini menjadi punca kematian lebih sejuta bayi dan kanak-kanak setahun.

Namun, dalam satu kajian yang dijalankan baru-baru ini mendapati, 70 peratus daripada ibu bapa Malaysia mengakui bahawa mereka masih tidak sedar tentang masalah ini, kaitannya kepada penyakit berbahaya seperti pneumonia dan pencegahan yang boleh dibuat menerusi vaksin.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) baru-baru ini mengumumkan bahawa vaksin yang sedia ada untuk mencegah PnD, iaitu Pneumcococcal Conjugate Vaccine (PCV7), harus diberi keutamaan dalam program imunisasi kebangsaan.

Keputusan ini menyusuli cadangan Kumpulan Pakar Penasihat Strategik (SAGE), yang menyokong langkah memperkenalkan vaksin.

PnD merangkumi pelbagai penyakit yang berpunca daripada bakteria Streptococcus pneumoniae yang turut dikenali sebagai pneumokokus.

Ini termasuk beberapa penyakit serius dan invasif seperti meningitis (radang lapisan membran korda spina dan otak), bakteremia (jangkitan bakteria dalam darah), pneumonia bakteremia dan jangkitan bukan invasif seperti otitis media (radang telinga tengah) dan sinusitis akut (radang sinus).

Presiden Persatuan Pediatrik Malaysia (MPA), Dr. Zulkifli Ismail menyuarakan kebimbangannya tentang tahap kesedaran yang rendah mengenai PnD di negara ini, berbanding perhatian lebih ketara terhadap penyakit yang diberikan oleh pemimpin kesihatan global.

“Sebahagian besar daripada ibu bapa Malaysia tidak sedar bahawa jangkitan pneumokokus boleh menyebabkan kerumitan seperti kehilangan pendengaran, masalah pembelajaran, gangguan pertuturan, palsi serebrum, kecacatan otak dan kadangkala membawa maut,” katanya pada majlis pelancaran kempen kesedaran penyakit PnD di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menurutnya, hasil kajian tersebut memperlihatkan betapa kesedaran tentang PnD perlu dipertingkatkan di negara ini.

“Masyarakat kesihatan global kini menggiatkan usaha memerangi penyakit serius dan membawa maut ini dan sedar bahawa kaedah paling berkesan untuk mencegah PnD ialah menerusi pemvaksinan.

‘‘Kita perlu merapat kan jurang kesedaran antara ibu bapa Malaysia dan mengajak mereka mengambil langkah proaktif untuk melindungi anak masing-masing,” tambahnya.

Kempen kesedaran PnD anjuran MPA adalah kesinambungan usaha memerangi PnD pada tahun lepas. Ia dirangka khusus bagi mendidik ibu bapa tentang pelbagai aspek PnD, termasuk beban penyakit, gejala, tanda, risiko, juga pentingnya pemvaksinan untuk menentang PnD.

Kempen ini merangkumi iklan cetak di akhbar, majalah utama dan iklan radio. Di samping itu, talian terus Perangi PnD yang dilancarkan pada tahun sebelumnya akan terus memberikan perkhidmatan kepada ibu bapa dan melengkapkan mereka dengan maklumat lanjut tentang penyakit ini.

“Tahun lalu, talian ini menjawab pelbagai soalan daripada ibu bapa yang mengambil berat tentang gejala-gejala PnD yang perlu mereka awasi.

‘‘Memang mudah untuk mengabaikan gejala PnD di kalangan kanak-kanak kerana gejala mungkin muncul dalam bentuk selesema, batuk dan demam,’’ jelas Dr. Zulkifli.

Harapannya, menerusi kempen lanjutan tahun ini, ibu bapa akan menyedari gejala PnD dan berbincang dengan doktor mengenai langkah-langkah pencegahannya.

Mengulas lanjut: “PnD ialah penyakit serius dan ibu bapa perlu memahami pelbagai aspeknya yang berbeza. Walaupun kami sedar bahawa pendidikan menyeluruh dan kesedaran penyakit ialah proses langkah demi langah yang mengambil masa, MPA komited untuk membantu ibu bapa meningkatkan kefahaman mereka tentang PnD,” katanya.

Untuk maklumat lanjut mengenai PnD, orang ramai boleh menghubungi talian Perangi PnD di 1800-882-339, kendalian profesional penjagaan kesihatan yang memberikan maklumat am mengenai PnD. Talian Perangi PnD dibuka dari Isnin hingga Jumaat, jam 9.00 pagi hingga 5 petang.

No comments: