Tuesday, December 11, 2007

69. Lelaki 50-an perlu jalani pemeriksaan prostat

SEKIAN lama kanser prostat dipandang enteng oleh orang ramai dengan menggunakan alasan bahawa simptom-simptom yang berkenaan itu sebagai penyakit orang tua.

Walau bagaimanapun, di abad 20-an ini, para saintis, doktor dan komuniti perubatan telah bangkit dan mula mengakui keseriusan kanser prostat sebagai penyakit lelaki yang boleh dicegah, dikawal dan dihapuskan.

Kebarangkalian kaum lelaki menghidapi kanser prostat bertambah dengan peningkatan usia. Sembilan puluh lapan peratus daripada keseluruhan kes yang dilaporkan atau dikesan berlaku pada kaum lelaki yang berusia 55 tahun ke atas.

Purata umur kaum lelaki yang kebiasaannya dikenal pasti menghidapi kanser prostat ialah lebih kurang umur 68 tahun.

Walau bagaimanapun, disebabkan kelenjar prostat mengalami pengembangan dan perubahan dari tahap baligh lagi, adalah wajar dan digalakkan agar lelaki berumur 50 tahun ke atas menjalani pemeriksaan saringan kanser prostat setahun sekali.

Bagi kaum lelaki yang mempunyai sejarah kanser prostat di dalam keluarga, mereka dinasihatkan supaya membuat saringan kanser prostat pada usia 45 tahun.

Secara global, lelaki berkulit hitam (warga Afrika) mempunyai kebarangkalian yang lebih tinggi untuk meninggal dunia akibat kanser prostat.

Hormon testosteron merupakan pemangkin berlakunya kanser prostat. Diet seseorang juga merupakan punca berlakunya kanser prostat.

Hubung kait antara pemakanan dan kanser prostat belum boleh dibuktikan sepenuhnya oleh para pengkaji dan ahli saintis, namun terdapat data yang menunjukkan bahawa mereka yang mempunyai pemakanan yang kaya dengan daging merah dan barangan tenusu mempunyai kebarangkalian menghidap kanser prostat lebih tinggi.

Saranan doktor agar menjalani pemeriksaan pembengkakan kelenjar prostat berbeza dari individu ke individu.

Mereka yang mempunyai ahli keluarga atau saudara yang pernah atau sedang menghidapi kanser prostat perlulah lebih awal dan lebih kerap menjalani pemeriksaan kerana kemungkinan yang lebih tinggi menghidapi kanser prostat.

Lelaki yang mempunyai ahli saudara rapat, contohnya bapa, datuk, atau bapa saudara yang sedang atau pernah menghidapi kanser prostat mengalami risiko lima hingga sepuluh kali lebih tinggi berbanding seseorang yang tiada sejarah keluarga kanser tersebut.

Sebagai garis panduan, adalah disarankan agar semua kaum lelaki yang berumur 50 tahun ke atas mendapatkan nasihat doktor tentang menjalani pemeriksaan untuk mengesan kanser prostat.

Sudah tentu menjalani pemeriksaan ini merupakan sesuatu yang mungkin mendatangkan sedikit kesakitan, boleh juga memalukan, namun begitu mencegah jauh lebih baik daripada mengubati, bukan?

Kanser prostat merupakan satu kanser yang boleh diubati dan dibasmi sepenuhnya jika dikesan awal.

Oleh yang demikian, adalah lebih baik seandainya kita dapat mengenal pasti kanser tersebut pada tahap awal agar rawatan setimpal dan sewajarnya dapat dijalani.

Sekiranya kanser prostat dapat dikesan awal, kita mempunyai banyak pilihan rawatan berbanding dengan kanser yang dikesan lambat. Gunakanlah kemudahan yang ada di negara kita untuk membuat saringan kanser prostat.

- Artikel disumbangkan oleh Dr. Sulaiman Tamanang, Pakar Radiologi dan Perubatan Nuklear di Pusat Kebangsaan Kanser, Kuala Lumpur. Beliau merupakan salah seorang daripada ahli MayFirst Health and Wellness Council (MHWC), panel pakar yang ditubuhkan oleh syarikat MayFirst Gold Sdn. Bhd. untuk memberi kesedaran kepada orang ramai tentang kanser prostat, melalui kempen CEgah KAnser Prostat (CEKAP).

Sebarang soalan mengenai prostat dan kanser prostat bolehlah dihantar melalui e-mel ke kesihatan@utusan.com.my.

No comments: