ARTRITIS reumatoid (RA) merupakan penyakit kronik yang boleh melemahkan seseorang dan dalam keadaan tertentu menyebabkan hilang upaya. Di Malaysia, RA menyerang lebih kurang lima orang dalam 1,000 penduduk.
Kesan jangka panjang RA jelas menunjukkan betapa perlunya untuk mendidik orang ramai mengenai komplikasinya yang jauh menjangkaui aspek fizikal para penghidapnya.
Sungguhpun telah banyak kemajuan dicapai dalam menangani RA yang dapat memperbaiki keadaan pesakit, namun masih ramai yang tidak menerima rawatan sewajarnya pada tahap awal penyakit disebabkan oleh salah tanggapan dan mitos terhadap punca, diagnosis dan rawatan RA.
Sehubungan itu, Yayasan Artritis Malaysia (AFM) dengan kerjasama Kesihatan akan menerbitkan sebanyak tiga siri menjelang sambutan Hari Artritis Reumatoid Kebangsaan yang pertama di Malaysia pada 7 Julai 2007. Diharap, penyiarannya dapat meningkatkan pemahaman orang ramai tentang beban serius penyakit ini.
– PENGARANG
Siri 1
IA mungkin bermula dari satu ketegangan yang tidak ketara dan bengkak pada sendi terutamanya pada waktu pagi. Namun, ramai orang mengabaikan kesakitan itu dan berpendapat ia hanyalah satu ketidakselesaan sementara kerana kesakitan itu biasanya akan hilang selepas satu atau dua jam, atau selepas mengurut dan meletakkan kain panas.
Apa yang kebanyakan orang tidak tahu adalah, ia merupakan simptom awal RA – sejenis penyakit autoimun di mana sendi-sendi, biasanya termasuk sendi tangan dan kaki menjadi radang secara simetri dan mengakibatkan pembengkakan, kesakitan dan sering kali merosakkan bahagian dalaman sendi-sendi.
Sungguhpun RA merupakan satu penyakit yang kronik di mana ia mampu berlanjutan sehingga bertahun-tahun lamanya, pesakit mungkin tidak akan merasai simptom-
simptomnya untuk satu jangka waktu yang lama. Namun, lazimnya keadaan perubatan ini merupakan satu penyakit yang progresif dan berpotensi mengakibatkan kerosakan sendi serta hilang upaya.
*Mengidentifikasikan RA
RA boleh bermula secara tiba-tiba dengan banyak sendi menjadi radang pada masa yang sama. Namun, RA sering kali bermula secara tidak ketara, menyerang sendi-sendi secara beransur-ansur dan mungkin tidak akan dirasai atau boleh diabaikan. Keradangan ini biasanya adalah simetri iaitu jika satu bahagian badan telah ‘dijangkiti’, sendi yang sama di bahagian badan yang sebelah lagi juga akan diserang.
Lazimnya, sendi-sendi kecil di jari-jari tangan, jari-jari kaki, tangan, kaki, pergelangan tangan, siku dan pergelangan kaki akan menjadi radang terlebih dahulu. Sendi-sendi yang radang akan paling kerap merasai kesakitan dan ketegangan terutamanya selepas bangun dari tidur atau selepas ketidakaktifan yang berpanjangan.
Presiden Yayasan Artritis Malaysia (AFM), Dr. Chow Sook Khuan berkata, simptom-simptom RA akan kembali dan hilang, bergantung kepada tahap keradangan tisu. Apabila tisu badan menjadi radang, penyakit ini dikatakan aktif.
‘‘Apabila keradangan tisu mereda, penyakit ini menjadi tidak aktif atau juga dikenali sebagai remisi. Remisi boleh terjadi dengan spontan atau dengan rawatan dan boleh berlanjutan selama beberapa minggu, bulan atau tahun.
“Semasa remisi, simptom-simptom penyakit akan hilang dan pesakit akan berasa sihat. Apabila penyakit ini menjadi aktif semula, simptom-simptomnya akan kembali,” ujar beliau.
Pengembalian aktiviti penyakit dan simptom-simptomnya dikenali sebagai flare (meradang). Jangka masa jangkitan RA berbeza dari satu pesakit ke pesakit yang lain dan jangka masa meradang serta remisi adalah lazim.
Semasa meradang, individu dengan RA akan mengalami satu atau lebih dari yang berikut:
Keletihan – Hilang selera makan – Simptom-simptom seakan flu/selesema seperti demam bersuhu rendah – Kesakitan dan ketegangan otot serta sendi – Tidak bermaya – Kesakitan berkaitan dengan duduk berpanjangan – Kemurungan – Susut berat badan – Anemia/pucat – Kesejukan dan/atau berpeluh tangan dan kaki.
Lebih kurang 30 ke 40 peratus pesakit RA juga dikatakan mempunyai bonggol-bonggol tisu reumatoid di bawah kulit mereka, biasanya berdekatan dengan bahagian yang diserang.
*Mendapatkan bantuan bersesuaian
Pada tahap awal RA, seseorang biasanya mengabaikan keradangan dan simptom-simptom yang mungkin muncul seiring dengannya. Namun, seperti penyakit-penyakit lain, pengesanan awal adalah penting untuk merawat dan mengelakkan kemaraan RA.
“Kebanyakan pesakit saya hanya berjumpa dengan saya setelah tidak mampu menahan kesakitan mereka atau setelah mereka menghadapi masalah dalam menjalani tugasan seharian.
‘‘Terdapat juga keadaan di mana jangkitan RA mereka telah mencapai tahap membimbangkan dan mengakibatkan kerosakan ketara serta kecacatan pada sendi-sendi sehingga menyekat pergerakan mereka.
“Adalah sesuatu yang menyedihkan bagi seorang doktor apabila terpaksa melihat individu-individu yang sihat menjadi mangsa kepada kesan-kesan RA sedangkan ia boleh dielakkan dan ditangani dengan diagnosis serta rawatan awal,” jelas Dr. Chow.
*Rawatan
“Sehingga kini, objektif rawatan RA adalah untuk mengurangkan keradangan dan kesakitan sendi, memaksimumkan fungsi sendi dan mengelakkan kerosakan serta kecacatan sendi. Intervensi perubatan yang awal telah didapati penting untuk mencapai keputusan yang lebih baik,” tegas Dr. Chow.
Dengan kemajuan-kemajuan yang memberangsangkan dalam rawatan RA sejak beberapa tahun yang lalu, para doktor dapat merawat keadaan RA menggunakan pelbagai jenis ubat-ubatan.
Dua pilihan yang selalu digunakan termasuklah Ubat Antiradang Bukan Steroid (NSAIDs) dan Ubat Antireumatik Pengubahsuai Penyakit (DMARDs).
Biasanya, NSAIDs digunakan untuk mengurangkan kesakitan dan keradangan manakala DMARDs (yang bukan merupakan satu agen antiradang) digunakan untuk remisi penyakit dan mengelakkan kemaraan kerosakan sendi.
Namun, satu ubat lebih terkini – biologik, dipercayai merupakan satu terobosan rawatan kepada para doktor dan pesakit RA. Biologik mengurangkan kesakitan dan keradangan serta menyekat kemaraan kerosakan sendi.
Menurut Dr. Chow, penanganan yang agresif akan memperbaiki fungsi, menghentikan kerosakan sendi-sendi seperti yang ditunjukkan melalui sinar-x dan mengelakkan hilang upaya untuk bekerja.
Pun begitu, kunci ke arah penanganan RA adalah melalui rawatan optimal yang melibatkan satu kombinasi perubatan, rehat, senaman bagi menguatkan sendi, perlindungan sendi serta pendidikan kepada pesakit dan keluarganya.
“Dengan kerjasama yang rapi antara doktor, pesakit dan ahli keluarga, rawatan akan menjadi paling berkesan,” simpul Dr. Chow.
*Pengalaman pesakit RA
Pengetua prasekolah, Cheah Ley Yan, lewat 40-an, merupakan contoh pesakit RA yang hanya mendapatkan rawatan setelah tidak mampu lagi menahan kesakitannya. Keadaan RAnya bermula dengan kesakitan sendi-sendi lutut lebih kurang lima tahun yang lalu.
Namun, dia mengabaikan kesakitan itu dan beranggapan ia disebabkan oleh kehausan sendi akibat kegiatan gim dan dengan rehat serta aktiviti yang kurang membebankan, kesakitan itu akan hilang dengan sendirinya.
“Pada masa itu, RA langsung tidak terlintas di fikiran saya kerana saya tidak mengetahui bahawa kesakitan berkaitan dengan RA adalah berlanjutan, iaitu akan kembali dan hilang. Sebaliknya, kesakitan itu tidak akan hilang. Mulanya, tidak berapa sakit dan saya masih boleh menahannya.
‘‘Namun, semakin hari keadaan saya semakin mudarat dan saya sentiasa dalam kesakitan. Hanya setelah keadaan saya mencapai tahap di mana saya hampir tidak dapat bergerak dan hampir tidak mempunyai pergerakan pada semua sendi saya – kaki, tangan, leher – baru saya memutuskan untuk berbuat sesuatu mengenainya,” cerita Cheah.
Bagaimanapun, di sebalik mendapatkan bantuan perubatan yang bersesuaian, Cheah seperti kebanyakan orang lain, mendapatkan ‘rawatan’ alternatif. Dia meringankan kesakitannya melalui akupunktur dan berbagai-
bagai jenis urutan dengan harapan dapat mengurangkan kesakitannya sekali gus memperbaiki keadaannya secara keseluruhan.
Walau bagaimanapun, segala ‘terapi’ itu hanya meringankan kesakitannya untuk sementara waktu sahaja dengan kebergantungan terhadap ubat penahan sakit.
Pada masa Cheah mendapatkan bantuan pakar reumatologi (seorang doktor perubatan yang merawat artritis dan lain-lain keadaan sendi), Cheah mengalami kesulitan untuk memakai baju, menaiki tangga dan mengambil barang. Dia tidak dapat meluruskan sikunya dan memusingkan tangannya sebanyak 3600.
Pakar reumatologi Cheah memaklumkan kepadanya bahawa RA telah menyerang empat sendi utamanya – kedua-dua tangan, siku dan lututnya. Nasib menyebelahi Cheah, sendi-sendinya tidak cacat. Kini, dengan rawatan yang bersesuaian, keadaanya itu dapat ditangani dengan baik dan terkawal.
“Sebagai pesakit dengan keadaan RA yang dapat ditangani dengan baik, saya dapat meneruskan hidup seperti orang lain yang sihat dan normal. Namun, saya juga perlu amat berhati-hati terhadap sekatan-sekatan tertentu dan memberi lebih perhatian terhadap sendi-sendi saya. Ini merupakan sebahagian daripada cara-cara untuk menangani keadaan RA,” tambah Cheah.
Wednesday, December 12, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment