SABAN hari, jutaan manusia berhutang nyawanya kepada insan-insan yang seikhlas hati menyingsing lengan baju dan menghulurkan tangan, untuk diambil darahnya, bagi didermakan kepada orang-orang yang tidak pernah mereka kenali.
Kajian membuktikan penderma sukarela yang tidak menerima sebarang bentuk ganjaran menyediakan sumber bekalan darah dan produk darah yang paling selamat kepada para pesakit. Kekerapan penularan jangkitan penyakit yang berpotensi mengancam nyawa seperti HIV dan virus hepatitis adalah sangat rendah di kalangan mereka ini.
Ini kerana, penderma sukarela lebih jujur dalam menjawab soalan-soalan berkaitan kesihatan dan gaya hidup mereka sebelum menderma darah. Sebaliknya, pemindahan darah yang bergantung kepada penderma daripada kalangan ahli keluarga dan kawan-kawan dan di sesetengah negara, penderma darah berbayar, lebih berisiko menyebarkan jangkitan.
‘‘Kadangkala, ada juga individu yang mahu menderma darah kerana mereka sebenarnya mahu menguji darah dan status kesihatan diri secara percuma.
‘‘Yang penting dalam menderma darah adalah niat yang ikhlas. Hanya penderma itu seorang sahaja yang tahu sama ada dirinya layak untuk menderma darah ataupun tidak.
‘‘Kita tak mahu, bila ada ganjaran, ada permintaan dan bekalan, tumpuan penderma sudah jadi lain. Walaupun tahu tak sihat, mahu derma juga,’’ kata Naib Presiden, Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM), Datuk Dr. Bahari Abu Mansor.
Tanggal 14 Jun dinobatkan sebagai Hari Derma Darah Sedunia sempena tarikh lahir pemenang anugerah Nobel, Karl Landsteiner yang menemui sistem kumpulan darah ABO, dengan matlamat utama untuk mengucapkan ‘terima kasih’ kepada wira-wira tak didendang ini, khususnya mereka yang kerap menderma darah – dua, tiga kali atau lebih setiap tahun.
Kali ini, Darah yang Selamat untuk Keibuan Selamat diangkat sebagai tema selaras perubahan gaya hidup di mana lebih ramai wanita yang berkahwin dan mengandung pada usia lewat, mendorong kepada bertambahnya pembedahan caesarean dan penyakit seperti darah tinggi serta obesiti – semuanya mencetuskan risiko komplikasi lebih tinggi, sekali gus meningkatkan keperluan terhadap darah dan produk-produk darah.
Adalah dianggarkan lebih setengah juta wanita mati ketika hamil, bersalin mahupun beberapa hari selepas kelahiran. Kira-kira 25 peratus daripadanya berpunca daripada pendarahan teruk semasa beranak. Pendarahan yang teruk boleh membunuh hatta wanita sihat dalam tempoh dua jam.
Risiko komplikasi akibat pendarahan semakin meningkat di kalangan wanita hamil yang mengalami anemia (kekurangan darah), sepsis (pereputan tisu), malaria, HIV/AIDS dan gangguan organ pembiakan. Lebih satu perempat daripada semua kematian maternal (keibuan) boleh diselamatkan dengan adanya akses kepada pemindahan darah selamat.
Menurut Dr. Bahari, terdapat keperluan berterusan bagi bekalan darah memandangkan ia mempunyai jangka hayat yang terhad untuk simpanan sebelum digunakan.
Walaupun mengakui kesedaran dan jumlah pendermaan yang meningkat dari semasa ke semasa, beliau merasakan masih banyak yang boleh diberikan oleh rakyat negara ini. Dr. Bahari turut berkongsi pengalamannya ketika mengunjungi pusat darah di Bangkok, Thailand kira- kira dua tahun lalu.
‘‘Saya terperanjat. Orang ramai beratur berjela-jela sampai ke luar nak derma darah. Macam nak beli tiket wayang, walaupun pada hari-hari biasa. Tidak perlu iklan apa-apa. Mereka datang sendiri.
‘‘Apabila saya tanya, mereka kata, derma darah dianggap satu sumbangan kepada agama dan negara. Selain hendakkan pahala, ia jadi sebahagian budaya. Itulah yang mereka tetapkan di dalam pemikiran sejak dulu lagi,’’ ujarnya sambil menambah, Malaysia masih belum sampai ke tahap itu.
Sehubungan itu, Dr. Bahari menyarankan agar tanggungjawab menderma darah serta pahala melakukannya tanpa mengharapkan apa-apa balasan, turut disentuh oleh khatib dalam khutbah Jumaat.
Ditanya alasan popular di sebalik keengganan orang ramai menderma darah, takut sakit adalah sebab utama dan perasaan itu adalah normal bagi semua orang apabila melibatkan jarum suntikan. “Walaupun saya seorang doktor, saya turut merasai perasaan itu. Ia normal,’’ katanya lagi.
Cuba cubit bahagian dalam siku anda dengan kuat. Anda mungkin mendapat serba sedikit gambaran bagaimana sakit jarum suntikan semasa mengambil darah. Mengenai kebaikan menderma darah pula, Dr. Bahari menyifatkan, perasaannya sukar hendak digambarkan dengan kata-kata.
‘‘Macam kereta tukar minyak hitam. Psikologinya..., kita telah melakukan satu kebaikan, berjasa kepada negara. Badan pun akan terasa lebih segar, bertenaga dan satu kepuasan!
‘‘Bayangkan, orang itu sepatutnya meninggal tetapi dek kerana darah kita yang mengalir di dalam badannya, akhirnya dia terselamat. Bukankah itu suatu perkara yang besar?’’ jelasnya.
Hakikatnya, pada satu-satu masa di dalam hidup kita, pasti tiba saatnya di mana kita melalui satu insiden tidak terduga yang memerlukan pemindahan darah, baik kepada diri sendiri mahupun orang-orang penting yang kita sayangi dalam hidup kita.
Kebanyakan daripada kita mungkin mengambil mudah bekalan darah yang mencukupi secara automatiknya akan sampai kepada kita. Apakah kita sangat pasti bahawa tabung darah tidak bergelut pada setiap hari untuk memenuhi permintaan ini?
Tidak perlu menunggu sehingga adanya kempen derma darah dianjurkan di mana-mana untuk berbuat dahulu. Bagi warga kota, anda boleh ke Tabung Darah Negara di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur pada hari dan waktu bekerja.
Orang ramai di luar Kuala Lumpur pula bolehlah berkunjung ke hospital kerajaan di negeri masing-masing dan bertanyakan unit tabung darah untuk menderma darah. Terima kasih.
Kriteria penderma
* Anda sihat
* Berumur 18 hingga 60 tahun
* Berat badan 45kg dan ke atas
* Tidur lebih lima jam
* Tiada masalah perubatan seperti penyakit darah tinggi, jantung, kencing manis atau menjalani pembedahan kurang enam bulan
* Tidak mengambil sebarang ubat-ubatan mahupun antibiotik dalam tempoh seminggu sebelum pendermaan
* Anda telah mengambil sedikit makanan sebelum menderma darah
* Tidak tengah datang bulan atau haid
* Tidak mengandung atau menyusukan anak
* Tidak mengambil alkohol dalam tempoh 24 jam
* Pendermaan terakhir tiga bulan ke atas
* Tidak terlibat dalam kegiatan seperti melakukan hubungan sejenis (homoseksual), hubungan jenis dengan kedua-dua jantina (biseksual), hubungan jenis dengan banyak pasangan atau pelacur dan penyalahgunaan dadah secara suntikan.
Prosedur menderma darah
Anda akan ditanya beberapa soalan berkaitan sejarah perubatan termasuklah ubat-ubatan yang sedang diambil, tahap kesihatan semasa serta gaya hidup.
Seterusnya denyutan nadi, tekanan darah dan berat badan akan diukur. Setitis sampel darah juga diambil dari jari untuk mengetahui sama ada pendermaan darah akan membuatkan anda anemik (pucat).
Bahagian dalam siku anda akan dibersihkan dengan rumusan antiseptik sebelum petugas kesihatan terlatih mencucuk jarum yang telah disteril dan disambungkan ke beg simpanan darah, ke dalam pembuluh darah.
Sebaik jarum dicucuk, anda diminta menggenggam tangan beberapa kali bagi membantu aliran darah daripada pembuluh darah ke dalam beg.
Di kebanyakan negara, jumlah darah yang diambil adalah sebanyak 450 mililiter, kurang 10 peratus daripada jumlah darah keseluruhan (orang dewasa secara puratanya mempunyai 4.5 hingga 5 liter darah beredar di dalam tubuhnya).
Badan akan menggantikan semula cecair yang hilang dalam tempoh 36 jam. Prosedur menderma darah selalunya mengambil masa kira-kira 10 minit sahaja. Selepas itu, jarum akan dikeluarkan dan bekas suntikan ditutup dengan kain balutan.
Selepas berehat antara 10 hingga 15 minit dan diberikan sedikit makanan, anda boleh kembali menjalankan aktiviti normal seperti sediakala. Bagaimanapun, anda disarankan agar menghindari tugas-tugas berat sepanjang hari itu. Banyakkan minum air dalam tempoh 24 jam berkenaan.
Unit darah akan diproses kepada beberapa komponen darah iaitu platelet (sel ini membantu menghentikan pendarahan), sel darah merah (sel ini mengangkut oksigen) dan plasma (ini adalah bahagian cecair darah anda yang membawa zat-zat pemakanan, membantu menghentikan darah).
Wednesday, December 12, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment