Wednesday, December 19, 2007

94. Dialisis peritoneal pilihan pesakit buah pinggang

Cara rawatan semakin popular berbanding haemodialisis kerana boleh dilakukan di rumah, masa fleksibel

SEHINGGA kini, pemindahan ginjal adalah rawatan terbaik bagi kegagalan buah pinggang. Bagaimanapun berikutan pendermaan organ di Malaysia yang tidak begitu menggalakkan, pesakit selalunya memilih dialisis.

Sebelum kewujudan dialisis peritoneal atau Peritoneal Dialysis (PD), haemodialisis (HD) adalah pilihan terbaik. Rawatan haemodialisis bagaimanapun terhad di hospital atau di pusat dialisis yang memerlukan pesakit mendapatkan rawatan tiga kali seminggu. PD pula memberi pilihan yang lebih baik kepada pesakit kerana ia boleh dibuat di rumah dan pada waktu malam.

Pakar Perunding Nefrologi, Universiti Perubatan Antarabangsa, Datuk Dr Zaki Morad, berkata jumlah pesakit yang memerlukan dialisis di Malaysia meningkat secara drastik sejak 20 tahun lalu.

Malah setiap tahun, 2,500 orang berhadapan dengan kegagalan fungsi ginjal tahap akhir (ESRF). Justeru jika pada 1980 hanya 43 orang saja yang memerlukan dialisis tetapi angka itu bertambah kepada 3,152 pada 2006.

Selain pemindahan ginjal, pilihan rawatan yang lain adalah HD dan PD. PD kebelakangan ini semakin popular kerana ia lebih fleksibel dan pesakit boleh mengatur sendiri jadual dialisis.

Berbanding di Malaysia, PD begitu popular di negara lain. Di Hong Kong misalnya, hampir 85 peratus kes kegagalan fungsi buah pinggang mendapatkan rawatan PD. PD juga menjadi pilihan utama di Eropah dan Utara Amerika. Di sana, lokasi HD yang jauh, jumlah pesakit yang ramai menyebabkan PD lebih popular. Pada peringkat global, seramai 115,000 pesakit memilih PD.

“Tidak dinafikan pemindahan ginjal adalah rawatan terbaik. Tidak seperti di negara lain yang kebanyakan penderma ginjal adalah orang awam yang mati otak, di Malaysia pendermaan ginjal masih di sekitar ahli keluarga,” katanya.

Sehingga kini, selain pemindahan ginjal HD adalah rawatan dialisis yang paling biasa. Bagaimanapun ia tidak pula bermaksud HD adalah rawatan terbaik. Terbaik atau tidak rawatan dialisis itu sebenarnya bergantung kepada keadaan pesakit, rekod perubatannya, keperluan gaya hidup dan pelbagai faktor lain.

Kerana itu sebelum pesakit memilih HD atau PD, doktor akan mengambil kira semua faktor itu terlebih dulu.


Mengenali HD

Secara perbandingan, HD adalah dialisis yang membersihkan darah dengan mengalirkan darah keluar dari badan dan membersihkannya menerusi penapis yang dinamakan ginjal tiruan (dialyzer)

Tiga sesi dialisis setiap minggu di hospital atau pusat dialisis

Setiap sesi dialisis mengambil masa tiga atau empat jam

Memerlukan bantuan jururawat membantu melakukan dialisis untuk pesakit

Tiada barangan dialisis disimpan di rumah

Cucukan dua jarum bagi setiap sesi dialisis

Pesakit perlu mematuhi sekatan makanan dan minuman yang tegas

Risiko jangkitan kuman

Risiko pendarahan


Mengenali PD

PD dilakukan dalam badan anda. PD berfungsi dengan menggunakan membran di ruang abdomen yang menempatkan hati, perut dan usus (peritoneum) sebagai penapis.

Bagi mendapatkan akses, kateter atau tiub kecil dimasukkan secara pembedahan melalui dinding ruang peritoneal. Di situ juga larutan dialisis akan dimasukkan.

Melalui proses osmosis dan pembauran (diffusion), toksin dan lebihan cecair akan terkumpul di larutan dialisis. Selepas satu tahap larutan berkenaan keluar menerusi kateter.

Tidak menggunakan jarum

Kurang sekatan makanan dan minuman untuk pesakit

Kawalan tekanan darah yang lebih selesa dan boleh berfungsi seperti ginjal biasa

Bebas membawa peralatan rawatan dialisis setiap kali pesakit perlu ke luar daerah

Memerlukan ruang menyimpan peralatan dialisis di rumah

Memerlukan kawasan bersih untuk dialisis

Risiko jangkitan kuman

Tiub silikon (kateter) yang kekal dipasang.


PD dan jenis

Ada dua jenis PD iaitu Dialisis Pertioneal Bergerak Berterusan atau Continuous Ambulatory Peritoneal Dialysis (CAPD) dan Dialisis Peritoneal Automatik atau Automated Peritoneal Dialysis (APD).

CAPD berfungsi secara manual bebas mesin menggunakan graviti bagi mengisi larutan dialisis dan mengosongkan larutan yang sudah digunakan daripada ruang peritoneum.

APD pula menggunakan mesin bagi menukar larutan dialisis sebanyak beberapa kali sebelum pesakit tidur. Pesakit akan disambungkan dengan mesin APD pada setiap malam sebelum tidur. Sambungan hanya akan diputuskan pada keesokan paginya.

Mesin berkenaan akan mengawal semua fasa penukaran serta memantau tempoh larutan berada dalam peritoneum.

Sepintas mengenai kegagalan fungsi buah pinggang tahap akhir (ESRF).

Mengikut carta masalah buah pinggang, ESRF adalah tahap kelima. Mereka yang didiagnos dengan ESRF menderita kegagalan buah pinggang secara kekal dan tidak boleh sembuh. Apabila buah pinggang gagal berfungsi, tubuh berada dalam ‘keracunan’ maksudnya ia dipenuhi dengan lebih air dan bahan buangan.

Keadaan ini dikenali juga sebagai ‘uraemia’ menyebabkan bengkak pada tangan, kaki dan membuatkan pesakit berasa letih dan lemah. Jika tidak dirawat, uraemia boleh membawa kepada koma dan boleh membawa maut. Rawatannya untuk ESRF adalah dialisis atau pemindahan ginjal.

No comments: