Soalan:
SAYA berusia 23 tahun. Empat tahun yang lalu, saya merupakan seorang pesakit kanser Limfoma Hodgkin. Syukur alhamdulillah, sekarang saya sudah kembali sihat seperti sediakala. Saya juga berjaya menamatkan pelajaran, bekerja dan sekarang sudah pun mendirikan rumah tangga.
Apa yang menjadi kemusykilan saya di sini doktor, adakah saya boleh mendapat zuriat? Ini kerana, semasa saya dalam rawatan dahulu, saya telah menjalani sebanyak 22 kali kemoterapi. Malah, saya juga telah melakukan prosedur pemindahan sumsum tulang. Saya menggunakan sumsum saya sendiri. Adakah semua ini membuatkan saya tidak ada peluang langsung untuk memiliki cahaya mata saya sendiri?
Untuk pengetahuan doktor, kitaran haid saya adalah normal. Saya juga ingin tahu, dengan sejarah rawatan saya yang lalu, adakah boleh saya mengambil pil perancang? Adakah dengan mengambil pil tersebut ia akan lebih memburukkan diri saya lagi?
Doktor, saya terlalu mengharapkan untuk menimang bayi saya sendiri. Saya harap segala kemusykilan hati saya ini akan terjawab jua. Harap Kesihatan dapat membantu saya yang merupakan pengikut setia akhbar ini. Buat doktor berkenaan, terima kasih di atas perhatian yang diberikan.
Jawapan:
Tahniah dan syukur ke hadrat Ilahi kerana anda berjaya mengharungi kehidupan semasa menderita penyakit Limfoma Hodgkin.
Persoalan sama ada puan boleh mendapat zuriat atau tidak adalah sebenarnya sukar untuk dijawab kerana ia bergantung kepada respons ovari terhadap rawatan yang diterima yang mana ia bersifat individu.
Secara klinikalnya, tidak ada cara yang tepat untuk menentukan kuantiti benih yang ada di dalam ovari puan sekarang.
Dan secara amnya pula, kemoterapi dari kumpulan agen pengalkil contohnya cyclophosphamide dan radioterapi keseluruhan badan pada dos yang tertentu boleh menyebabkan gangguan fungsi gonad (ovari bagi wanita dan testis atau buah zakar bagi lelaki), sama ada dari segi penghasilan hormon atau benih untuk persenyawaan.
Kedua-dua rawatan ini mungkin digunakan dalam rawatan puan empat tahun yang lepas.
Kenyataan bahawa puan mempunyai kitaran haid yang teratur menunjukkan bahawa ovari puan dapat berfungsi dengan baik dari segi pengaturan hormon. Walau bagaimanapun, ini tidak menjamin kemungkinan puan boleh hamil.
Dalam satu kajian di United Kingdom terhadap 32 wanita yang pernah menerima kemoterapi sahaja untuk penyakit limfoma (tidak ada radioterapi), sebanyak 17 wanita (53 peratus) mengalami kegagalan fungsi gonad secara total.
Sementara itu, sembilan wanita lagi hamil dan melahirkan bayi yang sihat. Selebihnya mempunyai kitaran haid yang normal tetapi tidak dapat melahirkan zuriat.
Saya mencadangkan supaya puan mendapatkan nasihat dengan berjumpa pakar perbidanan yang mahir dalam bidang kesuburan secara peribadi.
Pemeriksaan fizikal, ultrasound dan analisis hormon mungkin dapat membantu untuk menganggarkan status ovari dan sekali gus kemungkinan puan untuk hamil.
Ini baik dilakukan dalam masa yang terdekat kerana semakin tinggi umur seseorang wanita, semakin rendah tahap kesuburannya.
Berkenaan pil perancang, secara teori tidak ada kaitan antara sejarah penyakit puan dengan kesan ubatan ini. Setakat ini, tidak ada kajian dibuat untuk melihat hubungkait kedua- dua keadaan ini.
Untuk penyelesaian, puan seharusnya mendapat nasihat dari pakar onkologi tentang keadaan puan sekarang dan jika beliau berpendapat tidak ada halangan untuk puan mengunakan pil perancang, barulah puan mendapatkannya dari pakar ginekologi.
- Jawapan-jawapan disediakan oleh Pakar Perunding Perbidanan dan Sakit Puan, Hospital Pakar Puteri, Johor Bahru, Johor, Dr. Laila Shikh A. Rahman
Tuesday, December 11, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment